Celaan Allah terhadap Ahli Kitab
Surah 3: Ali ‘Imran (21 – 25)
Ayat 21
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِٱلْقِسْطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Ayat ini merupakan celaan Allah Ta’ala terhadap ahli kitab kerana mereka telah melakukan perbuatan dosa dan perkara yang diharamkan iaitu mendustakan ayat-ayat-Nya yang disampaikan oleh para rasul baik pada masa dahulu mahupun pada masa sekarang.
Sifat sombong, menentang dan tidak mahu mengikuti kebenaran telah menyebabkan mereka sanggup membunuh sebahagian daripada para nabi seperti yang mereka lakukan terhadap Nabi Zakaria as dan Nabi Yahya as yang mengajak mereka kepada kebenaran. Mereka juga melakukan percubaan untuk membunuh Nabi Isa as dan Nabi Muhammad saw, namun tidak berhasil. Allah Ta’ala telah mengangkat Nabi Isa as dan mengantikannya dengan seseorang yang hampir serupa dengannya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda:
“Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.”
(HR Muslim)
Ayat 22
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
Orang-orang yang berakhlak seperti yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini, segala amalan baik mereka akan dihapuskan oleh Allah Ta’ala baik di dunia mahupun di akhirat.
Ketika di dunia walaupun mereka berbuat baik namun disebabkan keingkaran mereka kepada ayat-ayat-Nya dan membunuh nabi-nabi, maka mereka tidak dikenang atau dipuji. Manakala di akhirat kelak mereka tidak diberikan pahala malah disediakan bagi mereka seksaan yang pedih dan mereka kekal dalam neraka.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa tidak ada siapa pun yang dapat menolong atau mempertahankan mereka daripada seksaan-Nya.
Ayat 23
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًا مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ يُدْعَوْنَ إِلَىٰ كِتَـٰبِ ٱللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ وَهُم مُّعْرِضُونَ
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).
Setelah Allah Ta’ala menyebutkan keburukan orang-orang Yahudi yang tidak mahu menerima dakwah dan membunuh nabi-nabi dalam ayat-ayat sebelum ini, maka dalam ayat ini Dia menyatakan bahawa mereka tidak mahu berhukum dengan mengikuti apa yang ditetapkan dalam kitab mereka. Apabila mereka diajak untuk mengambil hukum daripada kitab mereka, mereka berpaling. Ini kerana mereka menuruti nafsu mereka dan menganggap hukum yang ada dalam kitab mereka itu tidak sesuai.
Ayat 24
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا۟ لَن تَمَسَّنَا ٱلنَّارُ إِلَّآ أَيَّامًا مَّعْدُودَٰتٍ ۖ وَغَرَّهُمْ فِى دِينِهِم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang Yahudi berani menentang kebenaran kerana keyakinan yang mereka ada-adakan terhadap Allah. Mereka mendakwa mereka hanya akan diazab selama beberapa hari sahaja dan selepas itu mereka akan memasuki Syurga. Firman Allah:
“Dan mereka berkata: ‘Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api Neraka, kecuali selama beberapa hari sahaja.’ Katakanlah: ‘Sudahkah kamu menerima janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?'”
Al-Baqarah 2:80
Mereka telah terpedaya dengan kebohongan-kebohongan dalam agama yang mereka sendiri ada-adakan.
Ayat 25
فَكَيْفَ إِذَا جَمَعْنَـٰهُمْ لِيَوْمٍ لَّا رَيْبَ فِيهِ وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
Ayat ini menggerunkan bagi orang-orang yang memahami dan memikirkan ayat-ayat Allah iaitu bagaimanalah keadaan mereka kelak ketika dikumpulkan pada hari Kiamat untuk menghisab segala perbuatan mereka. Sedangkan ketika berada di dunia mereka mendustakan Allah Ta’ala dan rasul-Nya, membunuh para nabi dan ulama daripada kalangan mereka yang menegakkan ‘amar makruf nahi mungkar. Sesungguhnya Allah Swt akan menanyakan tentang hal ini kepada mereka dan akan mengadili serta memberikan balasan.
Setiap jiwa akan diberikan balasan dengan adil tanpa ada sedikitpun kezaliman. Masing-masing mendapat balasan sesuai dengan amal perbuatannya. Allah berfirman:
“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari Kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikitpun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.”
Al-Anbiya’ 21:47