Surah 3: Ali ‘Imran (14) 

Hakikat Kesenangan di Dunia

Surah 3: Ali ‘Imran (14) 


Ayat 14

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَـٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ وَٱلْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔابِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Allah Swt menyatakan bahawa ada enam perkara yang dijadikan indah pada pandangan manusia dan dicintai dalam kehidupan di dunia. Semua ini tidak salah sekiranya diuruskan dengan cara yang betul dan menepati syariat Islam. Islam tidak hanya memperhatikan masalah akhirat, malah turut memperhatikan masalah keduniaan.  

Wanita

Allah Ta’ala memulai ayat ini dengan wanita kerana fitnah yang timbul daripada wanita adalah sangat besar. Rasulullah saw bersabda:  

“Tidaklah aku tinggalkan suatu fitnah (ujian) yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki, iaitu daripada wanita.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Sekiranya keinginan terhadap wanita itu bertujuan menjaga kesucian diri, memperbanyakkan keturunan dan jumlah umat Rasulullah saw yang beriman kepada Allah Ta’ala, maka ia merupakan sesuatu yang terpuji dan dianjurkan serta merupakan sunnah Rasulullah saw. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis tentang wanita, antaranya:  

“Nikahilah wanita yang penyayang dan memiliki banyak keturunan, kerana aku berbangga dengan banyaknya jumlah kalian di hadapan umat-umat yang lainnya pada hari kiamat kelak.” 

(HR. Ibnu Hibban)  

“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.” 

(HR. Muslim) 

“Dijadikan dicintai olehku daripada dunia dua perkara, iaitu wanita dan wangi-wangian dan dijadikan kesenangan dan penyejuk hatiku di dalam solat.” 

(HR. An-Nasa’i) 

Anak

Anak merupakan belahan jiwa dan penyejuk mata serta penyenang hati orang tuanya. Anak-anak yang soleh dan solehah menjadi penyebab orang tua mereka mendapat pahala apabila meninggal dunia. Rasulullah saw bersabda:  

“Jika manusia mati, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: 

Sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaatnya dan anak soleh yang selalu mendoakan orang tuanya.” 

(HR. Muslim)  

Anak juga merupakan fitnah (ujian) yang menuntut agar orang tua berhati-hati. Firman Allah Swt:  

“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.” 

At-Taghabun 64:15 

Apabila kecintaan kepada anak dimaksudkan untuk berbangga-bangga dengan ramainya anak, maka kecintaan seperti itu adalah tercela. 

Harta Benda

Sekiranya kecintaan kepada harta benda adalah untuk berbangga-bangga, angkuh dan sombong kepada orang yang lemah serta menindas fakir miskin, maka hal itu merupakan perbuatan tercela. Rasulullah saw bersabda:  

“Sekiranya keturunan Adam telah memiliki satu lembah harta, maka dia pasti akan menginginkan dua lembah, dan sekiranya dia telah memiliki dua lembah harta, maka dia pasti menginginkan lembah yang ketiga. Tidak ada yang boleh memenuhi mulut anak Adam kecuali debu (mati) dan Allah mengampuni orang yang bertaubat.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Namun sekiranya mencintai harta benda kerana ingin memberi nafkah kepada kaum kerabat, mengeratkan silaturahim, fi sabilillah dan menolong orang-orang yang memerlukan, maka kecintaan ini adalah terpuji. 

Kuda

Sekiranya kecintaan kepada kuda ini bertujuan untuk berbangga-bangga, memusuhi dan menentang Islam, maka kecintaan seperti ini adalah termasuk perbuatan dosa. Ada kuda-kuda yang terpilih, dipelihara di tempat yang mempunyai rumput yang bagus merupakan harta kekayaan yang mewah yang dibangga-banggakan. Ini juga termasuk dalam kategori yang tercela sekiranya menjadi sebab dirinya jauh daripada Allah Swt dan menjadikan dia lalai menunaikan tanggungjawab kepada-Nya. 

Manakala kecintaan dengan tujuan mengembangbiakkan untuk persiapan perang pada jalan Allah Swt iaitu kuda telah disediakan dan bila-bila masa sahaja boleh ditunggang apabila diperlukan. Mereka ini akan mendapat pahala yang besar. Firman-Nya:  

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” 

Al-Anfal 8:60 

Binatang Ternakan

Pada masa dahulu, binatang ternakan merupakan harta kekayaan manusia yang utama kerana ia merupakan sumber kehidupan mereka serta menjadi lambang kebanggaan dan kekayaan mereka. Binatang ternakan juga termasuk kategori harta yang dijadikan perhiasan. Oleh itu, sesiapa yang memilikinya dengan tujuan untuk bermegah-megah, maka ini adalah tercela. Namun, sekiranya ia adalah sebagai sumber kehidupannya, maka ini adalah termasuk kategori harta yang baik.  

Sawah Ladang

Tanaman pertanian dan tumbuh-tumbuhan, merupakan sumber tetap bagi manusia. Keperluan pada harta ini lebih besar daripada yang lain. Jika keperluannya adalah untuk memberi manfaat kepada dirinya dan manusia lain, maka dia mendapat pahala daripada harta ini. Namun sekiranya ia hanya untuk bermegah-megah maka dia mendapat dosa. 

Allah Ta’ala mengingatkan bahawa semua bentuk kekayaan dalam ayat ini adalah kesenangan dunia yang hanya bersifat sementara, sedangkan di sisi-Nya ada tempat kembali yang lebih baik. Oleh itu, orang-orang yang beriman diingatkan supaya tidak tertipu dan terpedaya dengan segala yang dipandang indah dan menjadi kecintaan di dunia ini. Namun jadikalah ia sebagai alat untuk mencari kebaikan dunia dan akhirat. Firman Allah Ta’ala:  

“Dan di antara mereka ada orang yang berdoa, ‘Wahai Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada siksa neraka.’” 

Al-Baqarah 2:201