Surah 3: Ali ‘Imran (12 – 13) 

Orang Kafir akan Dikalahkan di Dunia dan akan Dimasukkan ke Neraka 

Surah 3: Ali ‘Imran (12 – 13) 


Ayat 12

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Allah swt memerintahkan Rasulullah saw menyatakan kepada orang-orang kafir bahawa mereka akan dikalahkan di dunia manakala di akhirat kelak mereka akan dikumpulkan di dalam Neraka Jahannam. Kekalahan orang-orang kafir di dunia ini bermaksud sama ada dengan dibunuh, ditawan ataupun dengan ditetapkan membayar jizyah (cukai). 

Ayat 13

قَدْ كَانَ لَكُمْ ءَايَةٌ فِى فِئَتَيْنِ ٱلْتَقَتَا ۖ فِئَةٌ تُقَـٰتِلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَأُخْرَىٰ كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُم مِّثْلَيْهِمْ رَأْىَ ٱلْعَيْنِ ۚ وَٱللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِۦ مَن يَشَآءُ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّأُو۟لِى ٱلْأَبْصَـٰرِ

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

Peperangan yang berlaku ini adalah peperangan Badar. Maksud فِئَتَيْنِ ٱلْتَقَتَا (Dua golongan yang bertemu), ialah satu pasukan muslimin yang bertempur pada jalan Allah untuk menegakkan kalimahNya dan satu pasukan musyrik Quraisy yang bertempur pada jalan thagut.  

Ketika kedua-dua pasukan ini saling berhadapan, Allah Ta’ala menjadikan pada pandangan kaum musyrikin, jumlah pasukan muslimin dua kali daripada jumlah pasukan mereka. Hal ini agar hati kaum muslimin tetap teguh, berani, tidak gentar dan agar mereka meminta pertolongan kepada Allah swt  serta berdoa kepadaNya. 

Dalam peperangan ini, Allah Ta’ala memenangkan kalimah iman atas kalimah kufur sehinggalah kaum muslimin mencapai kemenangan dan kaum musyrikin mendapat kehinaan. FirmanNya:  

“Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Oleh itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuriNya.” 

Ali ‘Imran 3:123  

“Wahai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” 

Muhammad 47:7 

Abu Daud meriwayatkan di dalam kitab sunannya dan Baihaqi di dalam kitab Ad-Dalaa’il daripada Ibnu ‘Abbas ra: 

“Ketika Rasulullah saw berjaya mengalahkan pasukan kaum Quraisy pada perang Badar dan kembali ke Madinah, Baginda mengumpulkan kaum Yahudi di pasar Bani Qainuqa’, lalu baginda bersabda:  

“Wahai orang-orang Yahudi, masuklah Islam sebelum Allah menimpakan kepada kalian seperti yang telah ditimpakan kepada kaum Quraisy.” 

Orang-orang Yahudi pun mengatakan kepada Rasulullah saw bahawa tidak perlulah Baginda terpedaya dengan dirinya sendiri kerana berjaya membunuh beberapa orang kaum Quraisy. Mereka mengatakan lagi bahawa Baginda berjaya itu adalah disebabkan kebodohan kaum Quraisy terhadap strategi peperangan. Mereka juga bersumpah dengan nama Allah bahawa jika Baginda memerangi mereka, maka Baginda akan mengetahui bahawa mereka adalah kaum yang istimewa dan Baginda tidak pernah menemui orang seperti mereka. Lalu Allah menurunkan ayat 12 hingga akhir ayat 13.”