Allah Swt Menciptakan Manusia sebagaimana yang Dikehendaki-Nya
Surah 3: Ali ‘Imran (5 – 6)
Ayat 5
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَخْفَىٰ عَلَيْهِ شَىْءٌ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.
Allah Swt menerangkan bahawa Dia mengetahui segala perkara ghaib yang ada di langit dan di bumi serta tidak ada sesuatu pun terlepas daripada pengetahuanNya. Disebutkan “di bumi dan juga yang ada di langit.” kerana penglihatan manusia tidak dapat melebihi atau melepasinya.
Ayat 6
هُوَ ٱلَّذِى يُصَوِّرُكُمْ فِى ٱلْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَآءُ ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Dia-lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah Yang Maha Berkuasa menentukan proses kejadian manusia secara berperingkat-peringkat di dalam rahim bermula daripada nutfah (mani), ‘alaqah (segumpal darah) dan mudghah (seketul daging). Dia menciptakan manusia di dalam rahim sesuai dengan yang dikehendaki-Nya sama ada lelaki atau perempuan, cantik atau buruk rupa dan sebagainya.
Dia juga Maha Berkuasa menjadikan manusia melalui proses biasa dan proses luar biasa seperti penciptaan Nabi Adam as daripada tanah tanpa ibu bapa atau melalui ibu tanpa bapa seperti Nabi Isa as.
Ayat ini mengandungi pernyataan terhadap keesaan Allah Ta’ala dan hak-Nya untuk disembah, membatalkan sembahan yang disembah selain-Nya dan membantah keyakinan orang-orang Nasrani yang menyangka bahawa Nabi Isa as berhak disembah. Ini menunjukkan bahawa hanya Allah Ta’ala sahaja yang layak diibadahi dan tiada sekutu bagi-Nya. Hanya Dia yang menetapkan syariat-syariat yang merupakan rahmat dan hidayah bagi manusia. Dia yang layak memberikan hukuman kepada sesiapa yang tidak mahu mengambil syariat yang diturunkan-Nya. Dia memiliki keperkasaan yang tidak terbatas dan ilmu yang luas serta hikmah (kebijaksanaan).