Al-Quran Diturunkan kepada Nabi Muhammad saw
Surah 3: Ali ‘Imran (1 – 4)
Ayat 1
الٓمٓ
Alif, Laam, Miim
Pengertian tentang huruf-huruf muqatta’ah ini telahpun dihuraikan dalam surah Al-Baqarah.
Ayat 2
ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.
Dalam ayat ini terdapat nama Allah yang paling Mulia, Ismul A’dzam iaitu Al-Hayyu dan Al-Qayyum dan nama-nama ini telahpun dibincangkan pada ayat Kursi dalam surah Al-Baqarah. Allah Ta’ala tidak memerlukan bantuan makhluk-Nya. Dia mengatur dan mengurus makhluk-Nya sehingga semua makhluk memerlukannya.
Ayat 3
نَزَّلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
Allah Ta’ala menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw dengan sebenarnya, tiada keraguan tentangnya. Kitab ini diturunkan dari sisi-Nya dengan ilmu-Nya dan disaksikan oleh para malaikat dan cukuplah Dia sebagai saksi.
Al-Quran adalah kitab yang membenarkan kitab-kitab yang diturunkan kepada para nabi terdahulu. Kitab-kitab terdahulu juga membenarkan Al-Quran dengan berita-berita gembira yang disebutkan di dalamnya. Al-Quran membenarkan kitab-kitab terdahulu kerana di dalamnya terdapat janji Allah Ta’ala bahawa Dia akan mengutuskan Nabi Muhammad saw sebagai rasul dan akan menurunkan Al-Quran kepadanya.
Ayat 4
مِن قَبْلُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ ٱلْفُرْقَانَ ۗ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ ذُو ٱنتِقَامٍ
Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
Ayat “Sebelum (Al-Quran diturunkan),” ini bermaksud kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa as dan Injil kepada Nabi Isa as.
“Al-Furqaan” dalam ayat ini bermaksud Al-Quran iaitu kitab yang membezakan antara petunjuk dan kesesatan, kebenaran dan kebatilan serta penyimpangan dan petunjuk yang lurus dengan hujjah-hujjah, penjelasan dan bukti-bukti yang nyata. Oleh itu, orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Allah Ta’ala iaitu tidak dapat membenarkan kitab-kitab yang diturunkan-Nya akan mendapat seksaan yang berat pada hari kiamat.
Allah Maha Perkasa memiliki kekuasaan yang Maha Besar dan Dia tidak dapat dikalahkan. Dia mempunyai balasan azab kepada orang-orang yang mengingkari hujjah-hujjah dan bukti-bukti daripada-Nya.