Surah 5: Al-Maidah (112 – 115)

Hidangan dari Langit

Surah 5: Al-Maidah (112 – 115)


Nabi Isa Hidangan dari Langit

Turunnya hidangan dari langit merupakan satu nikmat yang diberikan kepada Nabi Isa as ketika Allah Swt mengabulkan doanya atas permintaan para sahabatnya kaum Hawariyyun.

Ayat 112

إِذْ قَالَ ٱلْحَوَارِيُّونَ يَـٰعِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ هَلْ يَسْتَطِيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَيْنَا مَآئِدَةً مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ۖ قَالَ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata: “Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?” Nabi Isa menjawab: “Bertakwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman”.

Inilah kisah hidangan dari langit (Al-Ma’idah) sehingga surah ini dinamakan dengannya. Turunnya hidangan dari langit ini merupakan satu nikmat yang diberikan kepada Nabi Isa as ketika Dia mengabulkan doanya atas permintaan para sahabatnya kaum Hawariyyun. 

Sebahagian ulama mengatakan bahawa mereka meminta hidangan ini kerana mereka miskin dan sangat memerlukannya. Lalu mereka meminta Nabi Isa as menurunkan hidangan dari langit setiap hari sebagai makanan yang boleh menguatkan mereka melakukan ibadah. 

Lalu Nabi Isa as menjawab agar kaumnya bertakwa kepada Allah Ta’ala dengan tidak meminta perkara tersebut kerana mungkin akan menjadi fitnah bagi mereka. Oleh itu, Baginda mengingatkan kaumnya agar mereka bertakwa dalam mencari rezeki sekiranya mereka benar-benar orang yang beriman. 

Ayat 113

قَالُوا۟ نُرِيدُ أَن نَّأْكُلَ مِنْهَا وَتَطْمَئِنَّ قُلُوبُنَا وَنَعْلَمَ أَن قَدْ صَدَقْتَنَا وَنَكُونَ عَلَيْهَا مِنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ

Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri”

Mereka mengatakan bahawa mereka memang memerlukan makanan dan sekiranya mereka menyaksikan sendiri turunnya makanan tersebut sebagai rezeki dari langit, maka hati mereka menjadi tenang dan semakin bertambah keimanan serta keyakinan mereka terhadap segala dakwah dan ajaran daripada Nabi Isa as. Ini sama dengan permintaan Nabi Ibrahim as kepada Allah Swt untuk melihat bagaimana Allah Swt menghidupkan orang yang telah mati. Firman-Nya: 

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, ‘Wahai Rabbku, perlihatkan kepadaku, bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati?’ Allah berfirman, ‘Belum yakinkah kamu?’ Ibrahim menjawab, ‘Aku telah meyakininya, akan tetapi agar mententeramkan hatiku……………..'” 

Al-Baqarah 2:260 

Ayat 114

قَالَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ ٱللَّهُمَّ رَبَّنَآ أَنزِلْ عَلَيْنَا مَآئِدَةً مِّنَ ٱلسَّمَآءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِّأَوَّلِنَا وَءَاخِرِنَا وَءَايَةً مِّنكَ ۖ وَٱرْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Mu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki”.

Dalam ayat 113, Allah Ta’ala menyatakan bahawa kaum Hawariyyun meminta hidangan makanan dari langit. Permintaan mereka ini bukan kerana mereka meragukan kekuasaan Allah Swt tetapi mereka hanyalah menginginkan agar keyakinan dan keimanan mereka bertambah serta mereka beroleh ketenteraman. 

Oleh itu, Nabi Isa as menunaikan permintaan kaumnya dengan berdoa kepada Allah Ta’ala agar Dia menurunkan hidangan makanan dari langit untuk mereka. Dalam doa Nabi Isa as, Baginda meminta agar hari turunnya hidangan itu akan menjadi hari raya bagi mereka dan generasi mereka yang seterusnya. Hal ini juga akan menjadi tanda atau bukti kesempurnaan kekuasaan Allah Ta’ala dan kebenaran kenabiannya. 

Pada akhir ayat ini, Nabi Isa as memohon rezeki daripada Allah Ta’ala. Ini kerana Allah sebaik-baik Pemberi Rezeki. Dia Maha Kaya lagi Maha Terpuji, tidak ada lagi selain-Nya yang berhak memberi rezeki dan Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan. 

Ayat 115

قَالَ ٱللَّهُ إِنِّى مُنَزِّلُهَا عَلَيْكُمْ ۖ فَمَن يَكْفُرْ بَعْدُ مِنكُمْ فَإِنِّىٓ أُعَذِّبُهُۥ عَذَابًا لَّآ أُعَذِّبُهُۥٓ أَحَدًا مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk”.

Allah Ta’ala berjanji bahawa Dia akan mengabulkan doa tersebut dan akan menurunkan hidangan sesuai dengan permintaan mereka. Namun janji ini disertai dengan syarat berupa balasan sekiranya ada pelanggaran. 

Sesiapa yang mendustakan dan menentang Allah Ta’ala setelah turunnya hidangan itu, Dia akan mengazabnya dengan azab yang pedih yang tidak pernah ditimpakan-Nya kepada seorang pun di antara hamba-hamba-Nya. Ini kerana setelah turunnya bukti yang nyata ini, tidak ada lagi alasan bagi sesiapa pun untuk mengingkari atau mengejek-ejek kekuasaan Allah Ta’ala.