Kisah Habil dan Qabil
Surah 5: Al-Maidah (27 – 31)
Qabil berasa hasad dengki dan iri hati terhadap Habil lalu membunuhnya
Ayat 27
وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ٱبْنَىْ ءَادَمَ بِٱلْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ ٱلْـَٔاخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Bahawasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa;
Para mufassir mengatakan kedua-dua anak Nabi Adam as ini bernama Qabil dan Habil.
Allah Swt menyuruh Rasulullah saw menceritakan kepada Bani Israil kisah dua orang putera Nabi Adam as dengan jelas iaitu tidak mengandungi kesamaran, kedustaan, keraguan dan penambahan atau pengurangan. Kisah tersebut adalah berkaitan dengan persembahan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala oleh kedua-dua orang putera Nabi Adam as.
Allah Swt menerima korban daripada Habil kerana dia seorang yang bertakwa dan tidak menerima korban daripada Qabil kerana dia bukan seorang yang bertakwa. Oleh itu, Qabil berasa hasad dengki dan iri hati terhadap Habil dan dia mengatakan bahawa dia benar-benar akan membunuh Habil.
Ayat ini merupakan dalil bahawa Allah Swt hanya menerima korban daripada orang-orang yang bertakwa yang mengerjakan amal dengan penuh keikhlasan hanya kerana-Nya.
Ayat 28
لَئِنۢ بَسَطتَ إِلَىَّ يَدَكَ لِتَقْتُلَنِى مَآ أَنَا۠ بِبَاسِطٍ يَدِىَ إِلَيْكَ لِأَقْتُلَكَ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam;
Dalam kitab Sahih Ibnu Kathir, dikatakan Habil adalah seorang yang soleh dan korbannya diterima oleh Allah Swt dengan sebab ketakwaannya. Ketika Qabil mengancam untuk membunuhnya tanpa satu dosa pun yang dilakukannya, dia mengatakan bahawa dia tidak akan membalas perbuatan buruk saudaranya itu. Dia tidak akan melakukannya kerana takut kepada Allah Swt dan dia akan bersabar bagi mendapatkan pahala daripada-Nya.
Abdullah bin ‘Amr mengatakan, meskipun dia seorang yang paling kuat tetapi dia terhalang disebabkan rasa takut kepada Allah. Rasulullah saw bersabda:
“Jika dua orang muslim saling berhadapan dengan pedang masing-masing, maka pembunuh dan yang dibunuh ada di neraka.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh itu (wajar masuk neraka), lalu mengapa orang yang terbunuh (juga masuk neraka)?” Baginda menjawab, “Kerana dia juga berkeinginan untuk membunuh sahabatnya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 29
إِنِّىٓ أُرِيدُ أَن تَبُوٓأَ بِإِثْمِى وَإِثْمِكَ فَتَكُونَ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلنَّارِ ۚ وَذَٰلِكَ جَزَٰٓؤُا۟ ٱلظَّـٰلِمِينَ
“Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim”.
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Ad-Dhahak, Qatadah dan As-Suddi mengatakan, bahawa Habil yang mengatakan: “Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri.” iaitu dosa akibat pembunuhan terhadap dirinya (Habil) dan dosa Qabil sendiri yang sudah ada sebelum itu.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa Habil menakut-nakutkan saudaranya Qabil dengan api neraka, tetapi itu tidak menghentikan dan mencegah Qabil daripada keinginan membunuhnya.
Ayat 30
فَطَوَّعَتْ لَهُۥ نَفْسُهُۥ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُۥ فَأَصْبَحَ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
Allah Swt menyatakan bahawa Qabil menganggap mudah membunuh saudaranya. Nafsunya menjadikan segala sesuatu nampak baik, nafsunya juga membisiknya dan mendorongnya untuk membunuh hingga akhirnya Qabil membunuh Habil walaupun telah diberi nasihat serta larangan.
Inilah pembunuhan yang pertama di atas muka bumi. Sesiapa yang memulakan keburukan, maka dia menanggung dosa itu dan menanggung dosa orang-orang yang mengikutinya. Rasulullah saw bersabda:
“Tidaklah seorang jiwa dibunuh secara zalim, melainkan anak Adam yang pertama ikut menanggung darahnya, kerana dia adalah orang yang pertama memulakan pembunuhan.”
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Menurut Ibnu Jarir, dia mengatakan:
“Manusia yang paling sengsara ialah anak lelaki Adam yang telah membunuh saudara lelakinya. Tidaklah darah ditumpahkan di muka bumi, sejak dia membunuh saudaranya itu hingga hari kiamat, melainkan dia mendapat keburukan daripadanya sebab dia adalah orang yang telah memulakan pembunuhan.”
Maksud rugi dalam ayat ini ialah kerugian yang ditanggung semasa di dunia dan juga di akhirat kerana dosa membunuh adalah dosa besar. Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada satu dosa pun yang lebih cepat untuk disegerakan hukuman oleh Allah di dunia, di samping hukuman disimpan untuk pelakunya pada hari akhirat kecuali kezaliman dan memutuskan silaturrahim.”
(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Ayat 31
فَبَعَثَ ٱللَّهُ غُرَابًا يَبْحَثُ فِى ٱلْأَرْضِ لِيُرِيَهُۥ كَيْفَ يُوَٰرِى سَوْءَةَ أَخِيهِ ۚ قَالَ يَـٰوَيْلَتَىٰٓ أَعَجَزْتُ أَنْ أَكُونَ مِثْلَ هَـٰذَا ٱلْغُرَابِ فَأُوَٰرِىَ سَوْءَةَ أَخِى ۖ فَأَصْبَحَ مِنَ ٱلنَّـٰدِمِينَ
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal.
As-Suddi mengatakan selepas Habil dibunuh, Qabil membiarkan sahaja mayat saudaranya itu di atas tanah. Ini kerana Qabil tidak mengetahui apakah yang sepatutnya dia lakukan terhadap jenazah Habil.
Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata: “Datang seekor burung gagak kepada burung gagak yang sudah mati, lalu burung itu berusaha menggali tanah sehingga ia benar-benar menutupinya. Kemudian orang yang membunuh saudaranya itu berkata: “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?”
Inilah akibat kemaksiatan yang berasal daripada perasaan dengki terhadap orang lain iaitu kerugian dan penyesalan di dunia dan juga di akhirat.