Perdebatan Nabi Ibrahim as dengan Kaumnya
Surah 6: Al-An’am (80 – 83)
Berhala-berhala yang disembah oleh kaum Nabi Ibrahim as
Ayat 80
وَحَآجَّهُۥ قَوْمُهُۥ ۚ قَالَ أَتُحَـٰٓجُّوٓنِّى فِى ٱللَّهِ وَقَدْ هَدَىٰنِ ۚ وَلَآ أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَشَآءَ رَبِّى شَيْـًٔا ۗ وَسِعَ رَبِّى كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا ۗ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ
Dan dia dibantah oleh kaumnya, dia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Dia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?
Allah Ta’ala menerangkan bahawa semua ajakan Nabi Ibrahim as kepada jalan yang benar mendapat tentangan yang hebat daripada kaumnya walaupun dengan dalil-dalil yang kuat yang sesuai dengan logik akal manusia. Baginda dibantah oleh kaumnya ketika Baginda menyampaikan agama tauhid. Mereka membantah kerana Baginda mengemukakan kebatilan agama mereka iaitu menyembah berhala dan mendewakan bintang-bintang.
Kemudian Nabi Ibrahim as menegaskan pendiriannya terhadap bantahan mereka itu iaitu Baginda tidak gentar menghadapi malapetaka dan akibat-akibat daripada mengingkari berhala-berhala dan bintang-bintang yang mereka sembah itu. Ini kerana sembahan-sembahan mereka adalah benda-benda mati yang tidak dapat menolak mudarat dan tidak pula dapat memberikan manfaat kecuali apabila Allah Swt menghendaki bencana itu berlaku dan semuanya itu berlaku adalah semata-mata hanya kerana kekuasaan-Nya. Segala bencana yang menimpa manusia walaupun dari mana datangnya hanya kerana kehendak dan ilmu-Nya. Firman Allah:
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.”
As-Syura 42:21
Pada akhir ayat ini, Nabi Ibrahim as menyatakan bahawa Allah Ta’ala Maha Mengetahui segala sesuatu. Ilmu-Nya terlalu luas dan tiada sesuatu apa pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya. Kemudian Baginda bertanya kepada kaumnya kenapa mereka masih tidak mahu mengambil pelajaran daripada apa yang telah diterangkannya bahawa segala sembahan mereka adalah sebuah kebatilan. Hal ini sama seperti bantahan Nabi Hud as terhadap kaumnya, firman Allah Swt:
“(Kaum ‘Aad) berkata, ‘Wahai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu. Kami tidak mengatakan melainkan bahawa sebahagian sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu.'” (Hud) menjawab, “Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan saksikanlah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu persekutukan, dengan selain-Nya, sebab itu jalankanlah tipu dayamu semuanya terhadapku dan janganlah kamu memberi tangguh kepadaku. Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Rabbku dan Rabbmu. Tidak ada suatu binatang melatapun melainkan Dia yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Rabbku di atas jalan yang lurus.”
Hud 11:53-56
Ayat 81
وَكَيْفَ أَخَافُ مَآ أَشْرَكْتُمْ وَلَا تَخَافُونَ أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُم بِٱللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِۦ عَلَيْكُمْ سُلْطَـٰنًا ۚ فَأَىُّ ٱلْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِٱلْأَمْنِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?”
Nabi Ibrahim as menegaskan kepada kaumnya bahawa Baginda tidak takut kepada berhala-berhala mati yang mereka sembah sedangkan mereka sendiri tidak takut terhadap kesyirikan mereka. Ini kerana apa yang mereka yakini itu tidak berdasarkan wahyu dan tidak juga menepati logik akal yang sihat. Baginda mengatakan bahawa Baginda hanyalah takut kepada Tuhannya sahaja iaitu Allah Ta’ala Yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.
Ayat 82
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَـٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Maksud kezaliman dalam ayat ini ialah mensyirikkan Allah Ta’ala iaitu tidak memurnikan peribadatan hanya semata-mata kepada Allah Swt sebaliknya menyekutukan-Nya dengan selain-Nya. Orang-orang yang mempercayai Allah Ta’ala dan mengikuti Rasul-Nya, tidak akan mencampuradukkan keimanan dengan kesyirikan. Mereka itulah yang akan mendapat ketenangan dan keselamatan pada hari kiamat serta mendapat petunjuk dan taufiq menuju jalan yang hak.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud ra, dia mengatakan, ketika turun ayat, ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَٰنَهُم بِظُلْمٍ (“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman”), para sahabat berasa berat dengan hal itu, lalu mereka berkata, “Wahai Rasulullah, kalau begitu siapakah di antara kami yang tidak menzalimi diri sendiri?” Rasulullah saw bersabda:
“Ertinya tidak seperti yang kamu maksudkan. Tidakkah kamu mendengar perkataan seorang hamba yang soleh, “Wahai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan (Allah) benar-benar kezaliman yang besar. (Luqman 31:13) dan kezaliman tersebut tidak lain adalah syirik.”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 83
وَتِلْكَ حُجَّتُنَآ ءَاتَيْنَـٰهَآ إِبْرَٰهِيمَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ ۚ نَرْفَعُ دَرَجَـٰتٍ مَّن نَّشَآءُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa itulah bantahan yang kuat yang digunakan oleh Nabi Ibrahim as kepada kaumnya seperti firman-firman-Nya tentang bukti-bukti kebenaran tauhid yang disampaikannya. Hujjah-hujjah tersebut diberikan supaya kaumnya dapat memikirkan dan menilai kebenaran bukti-bukti itu dan menerimanya dengan sepenuh hati, sehingga mereka meninggalkan kesyirikan dan berpindah kepada agama tauhid yang memang sesuai dengan fitrah mereka.
Sesungguhnya Allah Ta’ala mengangkat sesiapa sahaja yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya beberapa darjat di dunia dengan memberikannya ilmu, hikmah, keimanan dan taufiq serta darjat kenabian. Sesiapa yang mendapat darjat kenabian sesungguhnya dia beruntung. Firman-Nya:
“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian (daripada) mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengannya) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa darjat. Dan Kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami perkuatkan dia dengan Ruhul Qudus…………..”
Al-Baqarah 2:253
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menegaskan bahawa Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui dalam setiap perbuatan-Nya. Dia mengangkat darjat seseorang atau menjatuhkannya adalah berdasarkan keadaan siapa yang layak diberikan darjat itu dan mempunyai kesanggupan untuk menerimanya.