Surah 3: Ali ‘Imran (133 – 135)

Sifat Orang Bertakwa

Surah 3: Ali ‘Imran (133 – 135)


Ayat 133

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Allah swt menyeru orang-orang yang beriman agar bersegera dan berlumba-lumba dalam melakukan dua perkara iaitu: 

  • Mendapatkan keampunan terhadap dosa-dosa dengan melakukan taubat yang sebenar. 
  • Mendapatkan Syurga yang seluas langit dan bumi serta pelbagai kenikmatan di dalamnya dengan beramal soleh. 
Ayat 134

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Kemudian Allah swt menyebutkan sifat-sifat orang-orang bertakwa yang akan menjadi penghuni Syurga. 

  • Mereka adalah orang-orang yang bersedekah baik ketika lapang dan senang ataupun ketika sempit dan susah, dalam keadaan sihat ataupun sedang sakit. Allah Ta’ala berfirman: 

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. 

Al-Baqarah 2:274 

Rasulullah saw bersabda: 

“Jagalah diri kalian daripada seksaan Neraka walaupun hanya dengan (bersedekah) sepotong kurma.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

  • Orang-orang yang menahan marah padahal mereka mampu melepaskan kemarahannya dan bersabar daripada membalas keburukan yang dilakukan kepada mereka. Rasulullah saw bersabda: 

“Orang yang kuat bukanlah kerana kekuatan fizikalnya, tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dan mengawal dirinya ketika marah.” 

(HR. Ahmad) 

  • Orang-orang yang memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain padahal dia mampu membalasnya. Oleh itu mereka ini digelar sebagai ‘Al-Muhsinin’ iaitu orang-orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan seperti dengan cara memberikan kemaafan dan hadiah. Ini adalah akhlak yang paling sempurna yang merupakan tingkatan tertinggi iaitu sifat ihsan. Rasulullah saw bersabda: 

“Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya) kecuali kemuliaan, serta tidaklah seseorang merendahkan diri di (hadapan) Allah kecuali Dia akan meninggikan (darjat)nya.” 

(HR. Muslim) 

  • Ihsan yang memberikan manfaat sama ada yang bersifat agama ataupun dunia kepada makhluk serta menghindarkan keburukan daripada mereka. Ini termasuk mengajak kepada yang makruf dan mencegah kepada yang mungkar, mengajarkan orang yang tidak tahu, menasihati orang yang lalai, memberikan nasihat (tulus) kepada manusia secara umum ataupun khusus, berusaha menyatukan mereka, memberikan sedekah dan nafkah yang wajib ataupun sunat sesuai keadaan mereka dan sifatnya, menghindarkan gangguan dan sebagainya. 
Ayat 135

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً أَوْ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلُوا۟ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Ayat ini juga menyebutkan sifat-sifat penghuni syurga iaitu apabila mereka telah melakukan dosa yang akibat buruk daripada perbuatan mereka bukan sahaja menimpa dirinya tetapi juga menimpa orang lain maka mereka segera ingat kepada janji dan ancaman Allah Ta’ala, lalu mereka bertaubat kepadaNya memohon keampunan dan rahmatNya. Ini kerana mereka yakin bahawa tiada yang dapat mengampuni dosa kecuali Allah Ta’ala. Firman-firmanNya: 

“Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat daripada hamba-hambaNya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”  

At-Taubah 9:104 

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

An-Nisa’ 4:110 

Ayat ini merupakan motivasi kepada orang-orang yang berdosa agar tidak berputus asa daripada rahmat dan pengampunanNya iaitu segera bertaubat kepadaNya, menyesali, meninggalkan perbuatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya serta menggantikan semua keburukan dengan amal soleh.