Surah 3: Ali ‘Imran (15 – 17)

Sifat Orang Bertakwa

Surah 3: Ali ‘Imran (15 – 17)


Ayat 15

قُلْ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيْرٍ مِّن ذَٰلِكُمْ ۚ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّـٰتٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضْوَٰنٌ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hamba-Nya;

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberitahu tentang sesuatu yang lebih baik daripada dunia ini iaitu bagi sesiapa yang sentiasa berasa diawasi oleh Allah Ta’ala dan takut kepada azab-Nya, maka balasannya adalah syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya.  

Bagi mereka pasangan-pasangan yang suci bersih daripada sebarang kekotoran seperti hingus, penyakit dan akhlak yang buruk serta tiada lagi haid dan nifas bagi isteri-isteri. Allah Swt juga memberikan mereka kurniaan yang lebih agung berbanding segala bentuk nikmat tersebut iaitu memperoleh keredhaan Allah Ta’ala. Firman-firman-Nya:  

“Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang baik di Syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah keuntungan yang besar.” 

At-Taubah 9:72

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” 

Al-Hadid 57:20

Allah Maha Mengetahui keadaan mereka dan Dia akan memberikan balasan kepada mereka atas apa yang mereka usahakan ketika di dunia dahulu. 

Ayat 16

ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ إِنَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;

Allah Swt menjelaskan sifat hamba-hamba-Nya yang bertakwa iaitu mereka beriman kepada-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan segala syariat-Nya. Mereka juga sentiasa memohon keampunan atas segala dosa dan kelalaian serta memohon rahmat daripada-Nya agar dijauhkan daripada seksaan neraka. 

Ayat 17

ٱلصَّـٰبِرِينَ وَٱلصَّـٰدِقِينَ وَٱلْقَـٰنِتِينَ وَٱلْمُنفِقِينَ وَٱلْمُسْتَغْفِرِينَ بِٱلْأَسْحَارِ

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Sifat lain bagi orang-orang yang bertakwa ialah sabar dalam menjalankan ketaatan dan meninggalkan larangan Allah Ta’ala, redha dengan qadha dan qadar-Nya dan bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amal ibadat. Mereka adalah orang-orang yang benar-benar beriman, jujur dalam perkataan dan diterjemahkan dalam perbuatan. 

Mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah Ta’ala dan menginfakkan sebahagian harta mereka pada jalan-Nya sama ada infak yang wajib (zakat) atau yang sunat (sedekah) seperti membantu kaum kerabat, menyambung silaturahim, memenuhi keperluan orang yang memerlukan pertolongan dan bantuan. 

Ayat, “dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.” bermaksud selain yang disebutkan di atas, orang-orang yang bertakwa ini sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta’ala pada waktu sahur termasuklah melakukan solat tahajud pada akhir malam (iaitu waktu sahur). Ini kerana itulah waktu yang paling baik untuk berdoa, tambahan pula pada waktu itu jiwa manusia paling bersih dan hati mereka paling tenang tanpa diganggu kesibukan duniawi. 

Maksud Istighfar ialah memohon ampun dengan lisan sambil diikuti oleh kehadiran hati, kerana Allah Swt tidak menerima doa orang yang hatinya lalai daripada mengingati Allah. Rasulullah saw bersabda: 

“Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia setiap malam, ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Dia berfirman, ‘Sesiapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Sesiapa yang meminta keampunan kepadaKu, maka akan Aku ampuninya.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa ‘Aisyah ra berkata: 

“Setiap malam Rasulullah saw sentiasa menunaikan solat witir, pada awal malam, pertengahan malam atau akhir malam. Dan solat witir Baginda berakhir sebelum terbit fajar.”