Surah 3: Ali ‘Imran (52 – 53)

Penolong-penolong Nabi Isa

Surah 3: Ali ‘Imran (52 – 53)


Hawariyyun

Al-Hawariyyun (para sahabat atau pengikut setia atau para penolong) mengikuti dan mentaati rasulNya iaitu Nabi Isa as

Ayat 52

فَلَمَّآ أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ ٱلْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ قَالَ ٱلْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).

Walaupun kebanyakan Bani Israil mengingkari Nabi Isa as dan tetap bernekad membunuhnya, terdapat sebilangan kecil yang mempercayai dan menjadi penyokongnya untuk mengajak beriman kepada Allah swt. Rasulullah saw bersabda: 

“Setiap nabi mempunyai penolong (hawariy), sedangkan penolongku adalah Az-Zubair.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 53

رَبَّنَآ ءَامَنَّا بِمَآ أَنزَلْتَ وَٱتَّبَعْنَا ٱلرَّسُولَ فَٱكْتُبْنَا مَعَ ٱلشَّـٰهِدِينَ

“Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)”.

Allah swt menyatakan bahawa Al-Hawariyyun (para sahabat atau pengikut setia atau para penolong Nabi Isa as) mengikuti dan mentaati rasulNya iaitu Nabi Isa as. Ini membuktikan kebenaran keimanan mereka kerana keimanan memerlukan seseorang itu mengamalkan apa yang diperintahkan. 

Oleh itu, mereka memohon agar Allah swt memasukkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (yang bersaksi) bahawa Dia adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan mereka juga bersaksi terhadap kebenaran para rasulNya. 


Infografik Kisah Nabi Isa