Kisah Maryam Melahirkan Anak (Nabi Isa as) tanpa Ayah
Surah 3: Ali ‘Imran (42 – 47)
Maryam melahirkan Isa Al-Masih yang diciptakan oleh Allah Ta’ala dengan kalimat-Nya iaitu “kun fa ya kun” (Jadilah, lalu jadilah dia) dan bukan melalui percampuran benih kedua-dua ibu dan bapa seperti anak-anak biasa
Ayat 42
وَإِذْ قَالَتِ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَـٰمَرْيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰكِ وَطَهَّرَكِ وَٱصْطَفَىٰكِ عَلَىٰ نِسَآءِ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
Allah Swt memerintahkan malaikat untuk menyampaikan kepada Maryam bahawa Dia telah memilih Maryam kerana banyaknya ibadah yang dilakukannya, bersungguh-sungguh dalam beramal, zuhud, kemuliaan dan kesuciannya daripada kekotoran serta bisikan syaitan. Allah Ta’ala juga telah memilihnya atas semua wanita di muka bumi ini. Daripada Ali bin Abi Talib ra, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Maryam binti ‘Imran adalah wanita paling baik pada zamannya dan Khadijah binti Khuwailid adalah wanita paling baik pada zamannya.”
(HR. At-Tirmidzi)
Abu Hurairah dan Anas bin Malik ra, mereka berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Sebaik-baik wanita seluruh alam ada empat, Maryam binti ‘Imran, Asiyah binti Muzahim isteri Firaun, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad.”
(HR. At-Tirmidzi)
Ayat 43
يَـٰمَرْيَمُ ٱقْنُتِى لِرَبِّكِ وَٱسْجُدِى وَٱرْكَعِى مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ
“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk “.
Allah Swt menyatakan bahawa malaikat memerintahkan Maryam memperbanyakkan ibadah, khusyu’, rukuk, sujud dan tekun beramal untuk menghadapi ketetapan Allah ke atas dirinya. Ketetapan tersebut ialah perkara yang telah ditakdirkan oleh Allah Ta’ala sebagai ujian kepadanya dan peningkatan darjat baginya di dunia dan di akhirat. Ujian tersebut ialah Allah Ta’ala akan zahirkan kekuasaan dan keagungan-Nya iaitu daripada diri Maryam akan lahir seorang anak tanpa ayah.
Ayat 44
ذَٰلِكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ ۚ وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ إِذْ يُلْقُونَ أَقْلَـٰمَهُمْ أَيُّهُمْ يَكْفُلُ مَرْيَمَ وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ إِذْ يَخْتَصِمُونَ
Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).
Itulah berita-berita ghaib yang Allah Swt ceritakan kepada Rasulullah saw, padahal Baginda tidaklah berada bersama dengan mereka ketika mereka berselisih pendapat tentang pengasuhan Maryam. Allah berfirman:
“Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Hud 11:49
Ketika ibu Maryam membawa Maryam kepada para pelayan Baitul Maqdis, orang-orang yang berada di sana bertengkar untuk menentukan siapa di antara mereka yang akan memelihara dan mengasuh Maryam. Ini kerana Maryam adalah anak perempuan kepada pembesar mereka. Lalu mereka melakukan pengundian. Ada yang berpendapat mereka melakukannya dengan melemparkan anak panah untuk menentukan siapa di antara mereka yang berhak untuk menjaga Maryam. Sebahagian pendapat mengatakan alat undian tersebut ialah pena-pena. Nabi Zakaria as memenangi undian tersebut, maka Bagindalah yang menjaga dan mengasuhnya.
Ayat 45
إِذْ قَالَتِ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَـٰمَرْيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ ٱسْمُهُ ٱلْمَسِيحُ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).
Ayat ini mengandungi berita gembira daripada Allah melalui malaikat Jibril kepada Maryam bahawa dia akan mendapat seorang anak yang istimewa. Anak tersebut ialah Isa Al-Masih putera Maryam yang diciptakan oleh Allah Ta’ala dengan kalimat-Nya iaitu “kun fa ya kun” (Jadilah, lalu jadilah dia) dan bukan melalui percampuran benih kedua-dua ibu dan bapa seperti anak-anak biasa.
Menurut jumhur ulama Baginda dinamakan Al-Masih kerana beberapa sebab. Antaranya kerana Baginda banyak mengembara ataupun dengan makna sentuhan kerana jika Baginda mengusap atau menyentuh orang sakit maka akan sembuh penyakitnya dengan izin Allah Ta’ala.
Nabi Isa as dinasabkan kepada ibunya, Maryam kerana Baginda tidak mempunyai ayah. Nama Isa putera Maryam ini masyhur di dunia dan dikenali oleh orang-orang beriman. Nabi Isa as juga memiliki kedudukan tinggi di dunia dan di akhirat. Allah Swt menjadikannya termasuk dalam kalangan rasul-rasul Ulul ‘Azmi, pemilik syariat yang besar dan mempunyai ramai pengikut. Allah Ta’ala menyebarkan pujian untuknya di timur dan barat. Di akhirat, dia termasuk orang-orang yang didekatkan dengan Allah Swt.
Ayat 46
وَيُكَلِّمُ ٱلنَّاسَ فِى ٱلْمَهْدِ وَكَهْلًا وَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
“Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dia masih kecil dalam buaian, dan semasa dia dewasa, dan dia adalah dari orang-orang yang soleh.”
Nabi Isa as diberikan mukjizat sebagai tanda kekuasaan Allah Swt dapat berbicara ketika masih bayi. Semasa di dalam buaian, Baginda menyeru manusia agar beribadah semata-mata kepada Allah Swt dan tidak menyekutukan-Nya. Demikian juga ketika dewasa Allah Ta’ala menyampaikan wahyu kepadanya.
Muhammad bin Ishak meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada yang boleh berbicara ketika masih bayi kecuali Isa bin Maryam dan bayi dalam kisah Juraij.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain, Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada yang boleh berbicara dalam buaian kecuali tiga orang: Isa, bayi dalam kisah Juraij dan seorang bayi lainnya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 47
قَالَتْ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى وَلَدٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِى بَشَرٌ ۖ قَالَ كَذَٰلِكِ ٱللَّهُ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ إِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Maryam berkata: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: `Jadilah engkau’, lalu menjadilah dia.”
Ketika mendengar berita tentang kelahiran anaknya, Maryam terkejut dan dia mengadu kepada Allah Swt, bagaimana dia akan melahirkan anak sedangkan dia tidak mempunyai suami, malahan niat untuk bernikah pun tidak ada dan dia juga bukanlah seorang penzina.
Lalu malaikat menyampaikan jawapan kepadanya daripada Allah Ta’ala, demikianlah Allah Maha Agung tidak ada sesuatupun yang dapat melemahkannya. Ayat “apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: `Jadilah engkau’, lalu menjadilah dia.” menunjukkan jarak masa yang sangat sedikit, iaitu kejadiannya sangat cepat seperti satu kerdipan mata. Firman-Nya:
“Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan (cepat jadinya) seperti sekelip mata.”
Al-Qamar 54:50