Surah 2: Al-Baqarah (285 – 286) 

Pujian Allah terhadap Keimanan Orang Beriman 

Surah 2: Al-Baqarah (285 – 286) 


Ayat 285

ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِۦ ۚ وَقَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

Ayat ini menyatakan bahawa Rasulullah saw membenarkan dan meyakini wahyu (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada Baginda. Begitu juga dengan orang-orang yang beriman, mereka meyakini kebenaran Al-Quran dan mereka beramal dengannya. Mereka semua mengimani Allah sebagai Tuhan yang diibadahi, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan juga rasul-rasulNya. 

Mereka juga tidak hanya mengimani sebahagian nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah dan mengingkari sebahagian yang lain, bahkan mereka mengimani kesemuanya serta tidak membeza-bezakan antara nabi-nabi dan rasul-rasul tersebut. 

Ayat 286

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ أَنتَ مَوْلَىٰنَا فَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia tidak akan membebani seseorang di luar kemampuannya. Ini merupakan kelembutan, kasih sayang dan kebaikanNya terhadap makhlukNya. Maka ayat ini telah menghilangkan rasa terbeban yang dirasakan oleh para sahabat. FirmanNya: 

“………………dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan…………..” 

Al-Hajj 22:78 

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala memberi bimbingan kepada hamba-hambaNya dalam memohon kepadaNya. Dia telah menjamin akan memenuhi permohonan tersebut. 

Dia telah membimbing untuk mengatakan, “Wahai Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah,” sekiranya seseorang telah meninggalkan sesuatu kewajipan atau sesuatu perbuatan disebabkan lupa ataupun tidak mengetahui bahawa perbuatan itu adalah haram. 

Kemudian Allah Ta’ala membimbing hamba-hambaNya berdoa, “Wahai Rabb kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami,” supaya tidak dibebani dengan amal-amal yang berat sebagaimana yang dibebankan dengan bebanan yang berat kepada orang-orang terdahulu. 

Selanjutnya, “Wahai Rabb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya, iaitu berupa kewajipan, pelbagai musibah dan ujian yang tidak mampu ditanggung. 

Berkenaan dengan doa, “Wahai Rabb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya,” maksudnya ialah keterasingan dan juga syahwat yang berkobar-kobar. 

Allah Ta’ala juga membimbing hamba-hambaNya supaya berdoa memohon keampunan atas segala kesalahan dan agar melindungi keburukan-keburukan (aib) serta memohon rahmatNya. 

Allah Ta’ala juga mengajar hamba-hambaNya berdoa memohon perlindungan dan bertawakal kepadaNya kerana hanya Dia sahaja yang dapat memberikan perlindungan kepada orang-orang mukmin terhadap orang-orang kafir. 

Para ulama’ berkata, sesungguhnya orang yang berbuat dosa memerlukan tiga perkara: 

  • Keampunan daripada Allah Ta’ala atas dosa-dosa yang pernah terjadi antara dirinya denganNya. 
  • Allah menutupi kesalahannya daripada hamba-hambaNya yang lain sehingga Dia tidak mengaibkannya di tengah-tengah mereka. 
  • Perlindungan daripadaNya sehingga dia tidak terjerumus kembali ke dalam dosa yang sama. 

Dua ayat terakhir surah Al-Baqarah ini mempunyai keutamaan kepada orang yang mengamalkannya. Daripada Ibn Mas’ud ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda: 

“Barangsiapa membaca dua ayat akhir surat Al-Baqarah pada malam hari, maka kedua ayat ini mencukupi baginya (daripada segala keburukan, godaan syaitan, gangguan jin dan manusia).” 

(HR. Al-Bukhari)