Surah 2: Al-Baqarah (272 – 274) 

Rasulullah saw Tidak Dapat Memberi Hidayah dan Penjelasan tentang Sedekah 

Surah 2: Al-Baqarah (272 – 274) 


Ayat 272

لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَىٰهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۗ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنفُسِكُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ ٱللَّهِ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw bahawa bukanlah menjadi kewajipan Baginda untuk memberi hidayah kepada manusia. Tugas Baginda hanyalah menyampaikan risalah-Nya iaitu menyeru manusia menyembah-Nya, memberi khabar gembira berupa Syurga kepada mereka yang beriman dan berita ancaman dengan seksaan Neraka kepada yang kufur.  

Hidayah hanyalah milik Allah Swt. Dia yang melapangkan dada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki untuk memeluk agama-Nya. Ini setelah diberikan akal kepada manusia untuk memikirkan dan membuat pilihan mana yang betul dan mana yang salah serta diberikan-Nya bukti-bukti atau dalil-dalil yang nyata lagi jelas tentang kebenaran agama-Nya.  

Ganjaran pahala yang diperoleh melalui bersedekah adalah untuk diri sendiri, asalkan dikeluarkan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala. Apa sahaja infak yang ikhlas kepada-Nya, akan diberikan-Nya pahala dan tidak akan dikurangi sedikit pun. Firman-Nya: 

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan barangsiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Rabbmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” 

Fussilat 41:46 

Ayat 273

لِلْفُقَرَآءِ ٱلَّذِينَ أُحْصِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِى ٱلْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ ٱلْجَاهِلُ أَغْنِيَآءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَـٰهُمْ لَا يَسْـَٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلْحَافًا ۗ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ

Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Dalam sebahagian tafsir menyatakan bahawa ayat ini turun tentang Ahlus Suffah iaitu orang-orang miskin daripada sahabat Muhajirin yang berjumlah lebih kurang empat ratus orang. Mereka tinggal berhampiran masjid Rasulullah saw. Mereka mempelajari Al-Quran pada malam hari dan ikut berjihad pada waktu siangnya. Kehidupan mereka dalam kemiskinan, kesempitan dan kepayahan namun hati mereka sangat mulia. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang yang paling berhak menerima sedekah adalah golongan yang mempunyai lima ciri-ciri ini: 

  • Orang-orang yang menyerahkan diri mereka untuk berjihad atau beramal pada jalan Allah Ta’ala seperti menuntut ilmu. Mereka adalah golongan yang mengorbankan diri untuk umat Islam. 
  • Orang-orang yang tidak mampu bekerja seperti sakit, tua, takut diancam musuh dan termasuk kategori darurat lainnya. 
  • Orang-orang yang memiliki sifat ‘iffah (menjaga diri daripada sifat meminta-minta) dan menjaga diri daripada sifat tamak terhadap apa yang ada dalam tangan orang lain, sehingga orang lain menyangka mereka adalah orang-orang yang kaya kerana sifat ‘iffah yang mereka miliki, kesabaran dan menjaga diri daripada sifat tercela sama ada cara percakapan atau cara berpakaian. Rasulullah saw bersabda: 

“Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling menemui orang ramai untuk meminta dan dia akan berlalu pergi jika diberi satu atau dua kurma, satu atau dua suapan makanan, dan satu atau dua makanan. Orang miskin iaitu orang yang tidak memiliki kecukupan, namun keadaannya itu tidak nampak dan tidak diketahui orang lain dan dia tidak meminta-minta sesuatu kepada orang lain.” 

(HR. Ahmad)

  • Mereka boleh dikenali dengan memerhatikan ciri atau tanda-tanda khusus yang mereka miliki, boleh juga melakukan sedikit penyelidikan tentang mereka dengan bertanya kepada kerabat dan jirannya. 
  • Orang-orang yang meminta tetapi tidak cara memaksa atau mendesak. Rasulullah saw bersabda: 

“Janganlah kalian bersikap mendesak atau memaksa dalam meminta kerana sungguh demi Allah, jika ada salah seorang daripada kalian yang meminta sesuatu kepadaku, lalu dia berhasil mendapatkannya tetapi ketika memberikan sesuatu kepadanya, aku berasa tidak suka padanya maka apa yang aku berikan kepadanya tidak akan diberkati.” 

(HR. Muslim) 

Sesungguhnya harta yang disedekahkan sama ada sedikit atau banyak semuanya diketahui oleh Allah Ta’ala. Niat yang ikhlas ketika bersedekah dan tidak diikuti dengan perkataan yang mengungkit-ungkit atau menyakiti hati penerima sedekah, akan diberikan ganjaran oleh Allah. 

Ayat 274

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Ini adalah pujian daripada Allah Ta’ala kepada orang-orang yang menafkahkan harta mereka pada jalan-Nya. Infak pada jalan Allah bermaksud infak di atas ketaatan dan untuk mencari keredhaan-Nya pada setiap waktu sama ada siang atau malam dan dalam semua keadaan, sama ada dalam keadaan tersembunyi atau terang-terangan dan bukan pula untuk perkara yang haram, makruh atau hanya untuk memenuhi keinginan hawa nafsu semata-mata. Bahkan nafkah yang diberikan kepada keluarga pun termasuk di dalam kategori infak. Rasulullah saw bersabda:  

“Sesungguhnya jika seseorang muslim memberikan nafkah kepada keluarganya (isteri) sambil mengharapkan pahala daripada Allah, maka nafkah itu merupakan sedekah baginya.” 

(HR. Ahmad) 

Mereka akan mendapat pahala di sisi Allah Ta’ala pada hari kiamat kerana infak yang dikeluarkan atas dasar ketaatan. Mereka tidak akan berasa bimbang terhadap pelbagai kengerian pada hari kiamat kelak dan tidak pula bersedih hati terhadap keluarga dan dunia yang ditinggalkan kerana mereka telah mendapat kehidupan yang lebih baik di sana.