Surah 2: Al-Baqarah (267 – 268)

Perintah supaya Memilih Barang yang Baik apabila Bersedekah 

Surah 2: Al-Baqarah (267 – 268) 


Ayat 267

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk menginfakkan sebahagian daripada harta kekayaan mereka yang paling baik dan paling berharga yang telah dianugerahkan melalui usaha mereka. Firman Allah Swt:  

“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” 

Ali ‘Imran 3:92 

Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya dengan sengaja memilih benda-benda yang buruk untuk diinfakkan. Itulah yang dimaksudkan dengan ٱلْخَبِيثَ (al-khabiitha) dalam ayat ini dan tidak sepatutnya seseorang itu menginfakkan sesuatu yang dia sendiri tidak mahu mengambilnya kerana kurang nilainya atau kelihatan buruk. Ini kerana sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. 

Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Oleh itu, Dia tidak memerlukan kepada makhluk-Nya sedangkan makhluk-Nya memerlukan-Nya. Kurniaan-Nya amat luas dan apa yang ada pada-Nya tidak akan pernah habis. Namun Dia memerintahkan hal ini adalah untuk kebaikan dan manfaat makhluk itu sendiri dan untuk mewujudkan kasih sayang antara orang-orang kaya dengan orang-orang miskin. 

Ayat 268

ٱلشَّيْطَـٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِٱلْفَحْشَآءِ ۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa syaitan itu menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan sehingga manusia mempertahankan harta dan enggan menginfakkan harta tersebut bagi mendapatkan keredhaan-Nya. Selain itu, ia juga menyuruh manusia melakukan maksiat dan melanggar pelbagai larangan Allah.  

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh manusia dan ia telah bersumpah untuk menyesatkan manusia. Firman Allah Ta’ala:  

“Iblis berkata, ‘Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu (di antara zuriat-zuriat Adam) itu yang dibersihkan daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan.’” 

Sad 38:82-83

Sedangkan Allah Ta’ala memerintahkan manusia melakukan hal yang berlawanan daripada ajakan syaitan. Dia menjanjikan keampunan dan kurniaan berupa kenikmatan.