Surah 2: Al-Baqarah (265 – 266) 

Perumpamaan bagi Orang Mukmin yang Berinfak dengan Ikhlas dan Perumpamaan bagi Orang yang Menggantikan Amalan Baik dengan Kemaksiatan 

Surah 2: Al-Baqarah (265 – 266) 


Ayat 265

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمُ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍۭ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَـَٔاتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.

Perumpamaan dalam ayat ini, Allah Ta’ala berikan kepada orang yang berinfak pada jalan-Nya semata-mata kerana-Nya dan mengharapkan keredhaan daripada-Nya.  

Orang yang berinfak itu diumpamakan sebagai sebidang tanah yang subur di dataran yang tinggi dan di atasnya tumbuh pohon-pohon yang selalu menghasilkan buah-buahan yang berkualiti dan melimpah, sama ada ketika hujan yang turun itu lebat atau hanya hujan gerimis.  

Dia membelanjakan hartanya sesuai mengikut kemampuannya. Sekiranya dia memiliki harta yang banyak, maka harta yang dikeluarkannya juga adalah banyak. Namun sekiranya dia hanya memiliki harta yang sedikit, dia tetap berinfak mengikut kemampuannya sehingga dia selalu melakukan kebaikan-kebaikan meskipun apa yang dimilikinya sedikit. 

Allah Maha Mengetahui segala rahsia dan Maha Melihat seluruh perkara zahir dan yang tersembunyi. Dia akan memberi balasan daripada setiap amalan sesuai dengan keikhlasan hamba-hamba-Nya. 

Ayat 266

أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَن تَكُونَ لَهُۥ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَابٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ لَهُۥ فِيهَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ وَأَصَابَهُ ٱلْكِبَرُ وَلَهُۥ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَآءُ فَأَصَابَهَآ إِعْصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَٱحْتَرَقَتْ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

Ayat ini pula menjelaskan perumpamaan bagi orang-orang yang bersedekah tetapi tidak ikhlas atau diikuti dengan sifat mengungkit-ungkit dan menyakiti penerima sedekah. Lalu amalan solehnya itu terhapus seperti kebun yang terbakar sedangkan dia sudah tua dan anak-anaknya masih kecil yang tidak dapat menolongnya. Oleh itu ketika di akhirat nanti apabila dia memerlukan sesuatu daripada amal perbuatannya yang baik, dia tidak dapat memperolehnya sedikit pun.  

Demikianlah, Allah Ta’ala menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia agar mereka dapat mengambil pelajaran dan memahami maksud-maksud sebenar perumpamaan yang diberikan-Nya. Firman-Nya:  

“Dan perumpamaan perumpamaan ini Kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.” 

Al-‘Ankabut 29:43