Surah 2: Al-Baqarah (261)

Balasan terhadap Orang yang Menginfakkan Hartanya pada Jalan Allah Swt

Surah 2: Al-Baqarah (261) 


Ayat 261

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

Ayat ini merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah Ta’ala tentang gandaan pahala yang diberikan kepada sesiapa yang menginfakkan harta bendanya pada jalan-Nya dengan tujuan mendapatkan keredhaan-Nya.  

Allah Ta’ala menyatakan bahawa kebaikan itu akan dilipatgandakan mulai daripada sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. Bahkan Dia boleh melipatgandakan lebih dari itu. Perumpamaan ini menunjukkan bahawa pahala amal soleh itu dikembangkan oleh Allah Ta’ala sebagaimana seseorang menanam benih di atas tanah yang subur. Rasulullah saw bersabda: 

“Barangsiapa yang menginfakkan hartanya yang lebih pada jalan Allah maka pahalanya digandakan hingga tujuh ratus. Dan barangsiapa yang menafkahkan hartanya untuk memenuhi keperluan diri dan keluarganya atau menjenguk orang sakit atau membuang sesuatu halangan di jalan yang boleh mengganggu orang yang melaluinya, maka setiap satu kebaikan pahalanya digandakan hingga sepuluh kali ganda. Puasa adalah perisai selama orang yang berpuasa tidak merosakkan puasanya (dengan melakukan kemaksiatan). Barangsiapa yang ditimpa musibah pada tubuhnya, maka hal itu boleh menghapuskan dosa dan kesalahannya.” 

(HR. Ahmad)