Kisah Nabi Ibrahim as dan 4 Ekor Burung
Surah 2: Al-Baqarah (260)
Allah Swt menghidupkan semula 4 ekor burung setelah dimatikan
Ayat 260
وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِنِى كَيْفَ تُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ ۖ قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن ۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَـٰكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِى ۖ قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِّنَ ٱلطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ ٱجْعَلْ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ٱدْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا ۚ وَٱعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala menceritakan tentang permintaan kekasih-Nya, iaitu Nabi Ibrahim as kepada-Nya agar diperlihatkan secara langsung bagaimana Dia menghidupkan orang yang telah mati.
Permintaan Nabi Ibrahim as itu bukanlah menandakan Baginda ragu-ragu terhadap kekuasaan Allah Ta’ala menghidupkan orang yang telah mati. Baginda meminta agar Dia memperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan kembali selepas kematian hanyalah kerana ingin meningkatkan pengetahuannya daripada ‘ilmul yaqin (ilmu yang diyakini) kepada ‘ainul yaqin (bukti yang nyata) iaitu Baginda ingin melihat sendiri proses tersebut bagi menguatkan lagi keyakinannya. Rasulullah saw bersabda:
“Hanya mendengar berita sahaja tidak sama dengan melihat dan menyaksikan sendiri.”
(HR. At-Tabari)
Lalu Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Ibrahim as mengumpulkan empat ekor burung yang ada berhampiran dengannya, mencincang burung-burung tersebut, mencampurkan dan menggaulkan kesemuanya menjadi satu. Setelah itu membahagikan campuran tersebut kepada beberapa bahagian dan meletakkan pada beberapa buah gunung. Selepas itu memanggil burung yang telah dicincang tadi. Maka kelihatanlah bahagian burung-burung tersebut berterbangan dan saling bersatu kembali antara bahagian dengan bahagian yang lain sehingga menjadi burung-burung yang sempurna dan dengan cepat terbang ke arah Baginda as.
Begitulah Allah Ta’ala menghidupkan kembali makhluk yang telah mati hanya dengan perintah-Nya. Dia-lah yang Maha Perkasa, tidak ada sesuatupun yang membuat-Nya lemah. Dia Maha Bijaksana dalam penciptaan dan pengaturan-Nya. Firman-Nya:
“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” maka terjadilah ia.”
Yasin 36: 82
“Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih berupa asap, lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi, “Datanglah kamu berdua menurut perintahKu dengan sukarela atau terpaksa.” Kedua-duanya menjawab, “Kami datang dengan sukarela.”
Fussilat 41:11