Surah 2: Al-Baqarah (258) 

Kisah Nabi Ibrahim dan Raja Namrud

Surah 2: Al-Baqarah (258) 


Kisah Nabi Ibrahim dan Raja Namrud

Raja Namrud yang mengaku dirinya adalah Tuhan

Ayat 258

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبْرَٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦٓ أَنْ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّىَ ٱلَّذِى يُحْىِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحْىِۦ وَأُمِيتُ ۖ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأْتِى بِٱلشَّمْسِ مِنَ ٱلْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ ٱلْمَغْرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِى كَفَرَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Allah Ta’ala menceritakan kepada Rasulullah saw tentang perdebatan antara Nabi Ibrahim as dengan seorang lelaki yang menurut sesetengah pendapat, dia adalah Raja Namrud dari Babilonia. Perdebatan ini terjadi kerana Raja Namrud mengingkari adanya Rabb selain dirinya sendiri. Hal ini sama seperti Firaun yang mengaku dirinya adalah tuhan. Firman Allah:  

“Dan Firaun pula berkata, ‘Wahai pembesarku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta.’” 

Al-Qasas 28:38 

Raja Namrud ini telah melampaui batas dan tersangat kufur serta keras kepala kerana dia telah lama memegang tampuk pemerintahan. Oleh itu, dia meminta Nabi Ibrahim as menunjukkan dalil tentang kewujudan Rabb yang Baginda serukan kepadaNya. Maka Baginda mengatakan bahawa Rabbnya adalah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan.  

Nabi Ibrahim as mengatakan dalil yang menunjukkan kewujudan Rabbnya ialah adanya segala sesuatu yang tidak pernah ada sebelumnya dan ketiadaan segala sesuatu itu selepasnya. Ini menunjukkan ada yang mencipta kerana tidak mungkin sesuatu itu terjadi dengan sendiri. Itulah Rabb yang Baginda seru kepadaNya dan tiada sekutu bagiNya.  

Raja Namrud yang meninggikan dirinya disebabkan pembangkangan dan kesombongannya, mengatakan bahawa dia juga boleh menghidupkan dan mematikan. Dia menganggap menghidupkan itu ialah membiarkan hidup, dan yang dimaksudkan dengan mematikan ialah membunuh. Lalu Nabi Ibrahim as mengatakan bahawa Rabbnya dapat menerbitkan matahari dari timur dan bertanya kepada Raja Namrud bolehkah dia menerbitkannya dari barat. Oleh itu, Raja Namrud kebingungan dan terdiam kerana menyedari dia tidak berdaya melakukannya. 

Allah Ta’ala tidak akan memberi ilham kepada orang-orang yang zalim untuk menegakkan alasannya walaupun dengan satu hujjah. Mereka terus dibiarkan di atas kekafiran dan kesesatan kerana merekalah yang memilih hal tersebut untuk diri mereka. Sekiranya niat mereka mencari yang hak dan mencari hidayah, tentu Allah Ta’ala akan memberikan mereka petunjuk.