Surah 2: Al-Baqarah (255) 

Ayat Kursi

Surah 2: Al-Baqarah (255) 


Ayat 255

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

Ayat ini dikenali sebagai Ayat Kursi dan merupakan ayat yang isinya paling utama dan paling agung di dalam Al-Quran. Rasulullah saw bersabda ketika ditanya oleh Abu Zar ra:  

“Ayat manakah yang diturunkan kepadamu yang paling agung?” Jawab Baginda: “Ia adalah ayat Kursi.” 

(HR. Ahmad)  

Terdapat beberapa sifat dan keagungan Allah Ta’ala yang disebutkan dalam ayat Kursi ini:  

Keesaan Allah Ta’ala dalam UluhiyyahNya (ketuhananNya)

Inilah maksud ayat, “Allah, tidak ada Ilah (yang berhak disembah dengan benar) melainkan Dia,” iaitu Allah Yang Esa dalam UluhiyyahNya. Setiap hambaNya wajib mentauhidkanNya dan membersihkanNya daripada sifat yang tidak layak bagiNya. Dialah yang sebenarnya berhak disembah dan bukan selainNya. 

Allah Ta’ala adalah ‘ٱلْحَىُّ’ dan ‘ٱلْقَيُّومُ’ bermaksud Yang Hidup kekal dan Yang terus-menerus mengendalikan semua urusan makhluk-Nya

Semua makhluk amat memerlukanNya sedangkan Dia tidak memerlukan makhlukNya. Semuanya tidak akan terjadi tanpa perintahNya. FirmanNya:  

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah berdirinya langit dan bumi dengan perintahNya………….” 

Ar-Rum 30:25 

Allah swt tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur

Allah swt Maha Sempurna, suci daripada segala sifat kekurangan dan kelalaian. Dia sentiasa mengatur segala urusan makhlukNya sepanjang masa sama ada siang atau malam dan sentiasa mengawasi serta menyaksikan setiap perbuatan hambaNya. Oleh itu tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuanNya.  

Allah pemilik semua yang ada di langit dan di bumi serta di antara kedua-duanya

Dialah Pencipta, Pemberi Rezeki dan Pengatur. SelainNya adalah dicipta, diberi rezeki dan diatur olehNya. Ini menunjukkan bahawa semua makhluk adalah hambaNya dan berada dalam kerajaan dan kekuasaanNya. Firman Allah Ta’ala: 

“Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.” 

Maryam 19:93  

Syafaat adalah milik Allah Ta’ala

Tidak ada seorang pun yang dapat memberi syafaat tanpa izinNya. Walaupun begitu, apabila Allah Ta’ala hendak merahmati hamba-hambaNya yang dikehendakiNya, Dia akan mengizinkan orang yang hendak dimuliakanNya itu memberi syafaat, dan orang yang akan memberi syafaat itu tidaklah mampu memberi syafaat sebelum mendapat keizinanNya. Firman-firmanNya: 

“(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.” 

An-Najm 53:26 

“Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya.” 

Al-Anbiya’ 21:28 

Allah Ta’ala mengetahui segala sesuatu

Allah Ta’ala Maha Mengetahui segala yang terjadi pada masa lalu, sekarang dan yang akan datang. IlmuNya meliputi segala sesuatu, sama ada yang besar ataupun yang kecil, secara umum ataupun secara tafshil (terperinci), zahir ataupun batin, yang ghaib ataupun yang nampak. FirmanNya:  

“Dan tidaklah kami (Jibril) turun, kecuali dengan perintah Rabbmu. KepunyaanNya apa-apa yang ada di hadapan kita, apa-apa yang ada di belakang kita dan apa-apa yang ada di antara kedua-duanya, dan tidaklah Rabbmu lupa.” 

Maryam 19:64 

Tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui ilmu Allah Ta’ala kecuali yang diajarkanNya

Ini bermaksud selain Allah Ta’ala, tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui ilmuNya walaupun sedikit, kecuali yang diajar atau diberitahu olehNya. Ada juga berpendapat bahawa manusia tidak mengetahui tentang Zat dan sifat Allah Ta’ala sedikitpun kecuali yang diberitahukanNya. FirmanNya:  

“Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (daripada hal-hal dunia), dan apa yang di belakang mereka (daripada perkara akhirat), sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmuNya.” 

Taha 20:110 

Kursi Allah Ta’ala meliputi langit dan bumi

Kursi Allah Ta’ala dijelaskan dalam hadis-hadis di bawah. Ibnu ‘Abbas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:  

“Kursi adalah tempat letak kedua-dua kaki (Allah) dan ‘Arasy tiada siapa yang mengetahui keluasannya kecuali Allah Ta’ala.” 

(HR. Hakim)  

“Tidaklah tujuh langit dibandingkan kursi (Allah) kecuali seperti cincin yang dilemparkan di tanah lapang dan besarnya ‘Arasy dibandingkan kursi adalah seperti tanah lapang dibandingkan dengan cincin.” 

(HR. Abu Nu’aim) 

Allah Ta’ala tidak berasa berat memelihara langit dan bumi dan segala yang ada di antara kedua-duanya

Kekuasaan Allah Ta’ala meliputi segala sesuatu maka tidak berat dan tidak sukar bagiNya untuk menjaga langit dan bumi serta seluruh isinya, akan tetapi hal ini amat mudah dan ringan bagiNya. 

Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar

Allah Maha Tinggi zatNya di atas ‘ArasyNya, Maha Tinggi dengan kekuasaanNya di atas semua makhluk dan Maha Tinggi kedudukanNya kerana sempurna sifatNya. Dia Maha Besar, semua pembesar dan raja adalah kecil di hadapanNya. Maha Suci Allah yang memiliki keagungan, keperkasaan dan mampu mengalahkan segala sesuatu.