Surah 2: Al-Baqarah (246 – 252)

Kisah Talut dan Jalut  

Surah 2: Al-Baqarah (246 – 252) 


Nabi Daud membunuh Jalut

Nabi Daud berjaya membunuh Jalut dengan hanya menggunakan lastik dan batu. Dengan pertolongan Allah, hanya sekali lontar, kelajuan dan kekuatan batu yang dilastik Nabi Daud melayang tepat mengenai dahi Jalut membuatkan raja itu jatuh tersungkur dan mati.

Ayat 246

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلْمَلَإِ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ مِنۢ بَعْدِ مُوسَىٰٓ إِذْ قَالُوا۟ لِنَبِىٍّ لَّهُمُ ٱبْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُّقَـٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِن كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ أَلَّا تُقَـٰتِلُوا۟ ۖ قَالُوا۟ وَمَا لَنَآ أَلَّا نُقَـٰتِلَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِن دِيَـٰرِنَا وَأَبْنَآئِنَا ۖ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ ٱلْقِتَالُ تَوَلَّوْا۟ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Allah Ta’ala memberitahu Rasulullah saw tentang apa yang berlaku kepada ketua-ketua kaum Bani Israil setelah kewafatan Nabi Musa as. Mereka meminta nabi mereka melantik seorang pemimpin atau raja agar mereka dapat berperang pada jalanNya seterusnya mengusir musuh-musuh dari negeri mereka bagi mendapatkan kembali kekuasaan dan melaksanakan hukum-hukumNya. Menurut Mujahid, nabi tersebut adalah Nabi Samuel as. 

Oleh sebab nabi mereka telahpun melihat kelemahan dari segi fizikal mahupun mental yang ada pada kaum Bani Israil itu, nabi tersebut menyatakan rasa bimbang sekiranya setelah dipilih pemimpin yang dipinta, mereka tidak mahu ikut berperang. Hal ini dibantah oleh ketua-ketua Bani Israil dan mereka menyatakan bahawa mereka akan berperang kerana mereka telah diusir dari negeri sendiri dan dipisahkan dengan keluarga mereka.  

Setelah nabi tersebut memilih Talut sebagai raja dan pemimpin mereka, sebahagian daripada mereka telah mengelakkan diri daripada peperangan. Oleh itu, benarlah apa yang diperkatakan oleh nabi mereka dalam ayat ini. 

Ayat 247

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوٓا۟ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِٱلْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ ٱلْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُۥ بَسْطَةً فِى ٱلْعِلْمِ وَٱلْجِسْمِ ۖ وَٱللَّهُ يُؤْتِى مُلْكَهُۥ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Ayat ini pula adalah berkenaan dengan penolakan Bani Israil terhadap pelantikan pemimpin yang dipilih oleh nabi mereka. Apabila Talut dilantik sebagai pemimpin, Bani Israil dengan sikap degil mereka, menentang keras pilihan tersebut. Mereka tidak dapat menerimanya kerana Talut bukanlah daripada keturunan raja ataupun nabi. Selain itu, dia adalah seorang yang miskin dan tidak mempunyai harta untuk menjalankan pemerintahan.  

Lalu nabi itu mengatakan bahawa Allah Ta’ala telah memilih Talut daripada golongan mereka sendiri sebagai raja untuk memimpin mereka dan sesungguhnya Dia lebih mengetahui daripada mereka. Pilihan Allah Ta’ala adalah yang terbaik dan mereka mesti mematuhi dan melaksanakan keputusanNya.  

Walaupun Talut seorang yang miskin namun sifat kepimpinan terserlah padanya kerana beliau mempunyai keluasan ilmu berbanding kaumnya. Beliau juga seorang yang perkasa, pandai mengurus, sabar dan sangat kuat dari segi mental dan fizikal. 

Ayat ini juga menunjukkan bahawa keputusan Allah Ta’ala tidak boleh dibantah kerana Dia Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya. Sifat kepimpinan yang ada pada seseorang itu adalah daripadaNya dan Dia berhak memilih sesiapa sahaja di antara mereka yang layak untuk memimpin.  

Sesungguhnya Allah Maha Luas dalam perbuatan dan kekuasaanNya luas tanpa batasan, begitu juga dengan kurniaanNya. Dia berhak melakukan apa sahaja dan setiap ketentuanNya pasti ada hikmah. Hal ini adalah kerana ilmu, hikmah, dan kasih sayang kepada hamba-hambaNya. 

Ayat 248

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ ءَايَةَ مُلْكِهِۦٓ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَـٰرُونَ تَحْمِلُهُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

Ayat ini menerangkan tentang perlantikan Talut itu adalah benar-benar daripada Allah swt. Nabi ini menyatakan kepada Bani Israil bahawa bukti Talut itu benar-benar pemimpin ialah dia akan membawa kembali peti Tabut yang telah dirampas daripada mereka.  

Dalam sebahagian tafsir mengatakan pada zaman Nabi Musa as, peti Tabut itu digunakan sebagai tempat menyimpan kitab Taurat sehinggalah Nabi Musa as wafat. Setelah mereka menderhaka kepada Allah Ta’ala dan membuat kerosakan di muka bumi, Dia mengutus satu kaum menindas mereka dan merampas peti Tabut lalu terlepas dari tangan mereka.  

Peti Tabut itu dapat memberikan ketenangan, ketenteraman dan ketetapan jiwa mereka. Ketenteraman itu sebenarnya bukanlah daripada peti itu, tetapi adalah daripada Allah Ta’ala. 

Menurut sebahagian ulama, maksud ayat, “Peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun,” ialah tongkat dan serpihan lauh Nabi Musa as serta kitab Taurat. 

Kemudian nabi itu memberitahu mereka bahawa tanda Talut itu adalah seorang raja ialah peti Tabut yang terlepas dari tangan mereka akan kembali kepada mereka. Malaikat membawa Tabut kepada Talut sebagai satu bentuk penghormatan kepadanya. Kembalinya Tabut ini menunjukkan perhatian Allah Ta’ala kepada mereka dan sebagai bukti bahawa Talut telah dipilih sebagai pemimpin mereka dalam urusan mereka dan untuk mengalahkan musuh. 

Oleh itu, dengan adanya tanda-tanda tersebut, akhirnya mereka mempercayai nabi mereka dan mengaku akan taat setia kepada kepimpinan Talut. 

Ayat 249

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِٱلْجُنُودِ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّى وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُۥ مِنِّىٓ إِلَّا مَنِ ٱغْتَرَفَ غُرْفَةًۢ بِيَدِهِۦ ۚ فَشَرِبُوا۟ مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُۥ هُوَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ قَالُوا۟ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ ٱللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةًۢ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Allah swt menyatakan keberangkatan Talut, raja Bani Israil dengan membawa tenteranya untuk berperang. Talut memberitahu pasukannya bahawa Allah Ta’ala akan menguji mereka dengan sebatang sungai dalam perjalanan mereka menghadapi musuh. Sementara itu cuaca dalam keadaan panas yang sangat terik sehingga mereka berasa tersangat penat dan haus. 

Talut tidak mengizinkan mereka meminum air sungai itu kecuali dengan hanya satu cedukan tangan. Talut menyatakan bahawa sesiapa yang taat dengan tidak meminum air sungai itu atau meminum hanya sedikit sahaja, maka mereka adalah orang-orang yang beriman dan sesiapa yang ingkar dengan meminum air sungai lebih daripada yang telah ditetapkan maka mereka itulah orang-orang yang kufur.  

Ketika tiba di sungai, sebahagian besar daripada pasukan Talut ini telah minum air sungai itu secara berlebihan. Hanya sejumlah kecil sahaja daripada mereka yang tetap dapat bersabar menahan kehausan dalam cuaca yang panas itu dan mereka berasa cukup dengan satu cedukan tangan sahaja. Maka pada saat itulah orang-orang yang melanggar perintah Talut tertinggal. 

Kemudian apabila Talut bersama-sama sebilangan kecil tenteranya yang beriman menyeberangi sungai untuk menghadapi musuh, mereka menyaksikan tentera musuh mereka sangat ramai. Ini menyebabkan tentera Talut yang lemah iman pada ketika itu mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kesanggupan untuk menghadapi Jalut dan bala tenteranya. 

Orang-orang yang meyakini adanya pertemuan dengan Allah Ta’ala, mengingatkan ahli-ahli pasukan mereka tentang kekuasaan Allah swt dengan mengatakan berapa banyak golongan beriman dan sabar yang bilangan mereka sedikit dapat mengalahkan golongan kafir yang melampaui batas yang banyak bilangannya dengan izin dan ketetapanNya. Janji Allah Ta’ala adalah benar dan sesungguhnya kemenangan itu datang daripadaNya, bukannya pada ramainya tentera. 

Ayat 250

وَلَمَّا بَرَزُوا۟ لِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦ قَالُوا۟ رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”

Ketika tentera Talut yang bilangan mereka sedikit melihat kemaraan Jalut dengan bala tenteranya yang ramai, mereka (tentera Talut) pun memohon pertolongan kepada Allah Ta’ala. Mereka berdoa agar Dia memberikan kesabaran, meneguhkan pendirian mereka agar tidak melarikan diri dan memberikan mereka keupayaan dalam menghadapi musuh serta memberikan kemenangan dalam menentang orang-orang kafir.  

Ini adalah doa yang luar biasa dalam keadaan yang tegang seperti ini. Doa mereka ini menunjukkan penyerahan diri secara mutlak kepada Allah Ta’ala. Mereka memohon kesabaran kerana dengan bersabar mereka akan dapat meneguhkan pendirian atau istiqamah dalam menghadapi musuh sehingga mereka mencapai kemenangan. 

Ayat 251

فَهَزَمُوهُم بِإِذْنِ ٱللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُۥدُ جَالُوتَ وَءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلْمُلْكَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُۥ مِمَّا يَشَآءُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّفَسَدَتِ ٱلْأَرْضُ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.

Kedua-dua pasukan orang-orang beriman dan orang-orang kafir pun bertembung. Pasukan Talut menang dengan izin Allah Ta’ala. Nabi Daud as daripada pasukan Talut menentang Jalut lalu membunuhnya. Nabi Daud as menjadi terkenal lalu mewarisi kerajaan Bani Israil.  

Allah Ta’ala memberikan kenabian kepada Nabi Daud as dengan menurunkan kitab Zabur kepadanya, mengajarnya cara membuat perisai, memberikannya kefahaman bahasa burung, mengajarkannya ilmu-ilmu agama dan cara mengadili sesuatu perkara. Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:  

“Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).” 

Sad 38:20

Ayat ini juga menunjukkan keagungan dan kurniaan Allah Ta’ala ketika manusia memiliki keimanan yang tulus dan benar-benar berserah diri kepadaNya. Dia memenangkan orang-orang beriman dan mengabulkan doa mereka sehingga kumpulan yang kecil pun dapat mengalahkan kumpulan yang besar dengan izinNya.  

Sekiranya Allah Ta’ala tidak membela suatu kaum daripada serangan kaum yang lain sebagaimana Dia telah membela Bani Israil melalui kemaraan Talut dan keberanian Nabi Daud as, nescaya mereka akan musnah.  

Allah yang memberi kurniaan dan rahmat kepada mereka. Dia jugalah yang menolak kejahatan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Dia yang memiliki ketentuan, hikmah, dan hujjah terhadap makhlukNya dalam seluruh perbuatan dan ucapan mereka. 

Ayat 252

تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۚ وَإِنَّكَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa inilah ayat-ayatNya yang disampaikan kepada Rasulullah saw tentang kisah-kisah lampau yang telah diceritakan kepadanya dengan benar, sedangkan sebelum itu Baginda tidak mengetahuinya. Ini sesuai dengan kebenaran yang diketahui oleh ahli kitab dan para ulama Bani Israil. Oleh itu ayat-ayat ini menjadi bukti kebenaran kenabian dan kerasulannya.  

Ayat-ayat Allah Ta’ala dan kisah-kisah ini menjadikan orang-orang yang sezaman dengan Baginda dan juga generasi akan datang beriman dengannya. Kisah-kisah ini menjadi pelajaran bagi orang-orang yang memikirkannya. FirmanNya dalam surah yang lain: 

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” 

Yusuf 12:111