Surah 2: Al-Baqarah (243 – 245) 

Kisah Orang yang Keluar dari Kampung kerana Takut Mati, Dorongan Berjihad dan Menginfakkan Harta pada Jalan Allah Swt 

Surah 2: Al-Baqarah (243 – 245) 


Ayat 243

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ خَرَجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ ٱلْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ ٱللَّهُ مُوتُوا۟ ثُمَّ أَحْيَـٰهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:” Matilah kamu ” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Menurut At-Tabari, Allah Ta’ala memberitahu Rasulullah saw tentang kisah sekumpulan manusia yang pergi meninggalkan kampung halaman untuk menghindari kematian. Lalu Dia mematikan mereka kemudian menghidupkan mereka supaya mereka dan orang-orang yang hidup sesudah mereka mengetahui bahawa yang menghidupkan mereka hanyalah Dia Yang Maha Berkuasa. 

Kisah tersebut mengandungi pelajaran yang menunjukkan bahawa tidaklah berguna menghindari diri daripada takdir Allah. Sesungguhnya tiada tempat berlindung daripada ketentuan Allah kecuali kepada-Nya. Begitu juga sekiranya mereka keluar dari kampung halaman kerana mengelak daripada terkena penyakit itu agar dapat hidup lama namun boleh berlaku sebaliknya. Kematian yang mereka elakkan itu boleh mendatangi mereka dengan cepat setelah mereka berhijrah. Rasulullah saw bersabda:  

“Apabila suatu negeri (berjangkit wabak penyakit) sementara kalian berada di dalamnya maka janganlah kalian keluar kerana ingin melarikan diri daripadanya. Dan apabila kalian mendengar di suatu negeri terjangkit wabak maka janganlah kalian datang ke sana.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)  

Ayat ini juga memberi pengajaran bahawa tidak ada ertinya seseorang takut atau menipu diri sendiri. Allah Ta’ala menjadikan ayat ini sebagai permulaan perintah-Nya kepada orang-orang beriman daripada umat Rasulullah saw untuk berjihad. 

Ayat 244

وَقَـٰتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran agama-Nya); dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan sebagaimana mengelakkan diri daripada takdir tidak memberi manfaat, begitulah juga dengan mengelakkan diri daripada jihad, semuanya tidak akan mempercepatkan atau melambatkan ajal kematian. Ini kerana ajal dan rezeki telahpun ditentukan oleh Allah. Firman-Nya:  

“Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi berperang, ‘Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh.’ Katakanlah, ‘Tolaklah kematian itu daripada dirimu, jika kamu orang-orang yang benar.’” 

Ali ‘Imran 3:168 

Ayat 245

مَّن ذَا ٱلَّذِى يُقْرِضُ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَـٰعِفَهُۥ لَهُۥٓ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ وَٱللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْصُۜطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu semua dikembalikan.

Kemudian Allah Ta’ala menganjurkan hamba-hamba-Nya untuk berinfak pada jalan-Nya kerana Dia-lah yang memberi rezeki. Dialah yang menyempitkan dan melapangkan rezeki bagi hamba-hamba-Nya. Kepada-Nya tempat kembali manusia pada hari kiamat.  

Menahan diri dengan tidak berinfak bukanlah cara untuk memperbanyakkan harta. Begitu juga berinfak tidaklah menyempitkan harta. Bahkan infak yang dikeluarkan oleh seseorang itu tidak akan sia-sia kerana Allah Ta’ala akan menggantikannya dengan berlipat ganda. Oleh itu, kerjakanlah amal yang soleh agar mendapat ganjaran di akhirat nanti. Firman-Nya:  

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” 

Al-Baqarah 2:261