Surah 2: Al-Baqarah (240) 

Iddah Wanita Kematian Suami 

Surah 2: Al-Baqarah (240) 


Ayat 240

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزْوَٰجِهِم مَّتَـٰعًا إِلَى ٱلْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍ ۚ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِى مَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعْرُوفٍ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang yang menghampiri ajal dan dia akan meninggalkan isterinya mestilah membuat wasiat untuk isterinya supaya diberi mut’ah untuk terus menerus tinggal di rumah sehingga setahun dan wali tidak boleh mengusirnya atau melarangnya tinggal di rumah yang dia tinggal bersama suaminya dahulu serta tidak menghentikan nafkah baginya sebelum habis tempoh satu tahun. Maksudnya ialah isteri yang menjadi balu itu mendapat nafkah harta peninggalan suaminya yang meninggal selama setahun penuh.  

‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata dahulu isteri yang kematian suami mesti menjalani iddah selama satu tahun di rumahnya dan diberi nafkah daripada harta bekas suaminya. 

Namun tempoh iddah dalam ayat ini dihapuskan setelah Allah Ta’ala menurunkan ayat 234 dalam surah ini tentang tempoh iddah wanita kematian suami adalah selama empat bulan sepuluh hari kecuali bagi wanita hamil, tempoh iddahnya adalah sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya. FirmanNya:  

“Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari……………” 

Al-Baqarah 2:234 

“……………….Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya…………” 

At-Talaq 65:4 

Hukum memberi nafkah bagi isteri kematian suami selama setahun dalam ayat ini juga terhapus setelah turunnya ayat waris. Allah Ta’ala menetapkan bagi mereka seperempat atau seperlapan daripada harta yang ditinggalkan suami. FirmanNya:  

“……………Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu……………” 

An-Nisa’ 4:12