Larangan bagi Wali Menghalang Suami Isteri untuk Rujuk
Surah 2: Al-Baqarah (232)
Ayat 232
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا تَعْضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحْنَ أَزْوَٰجَهُنَّ إِذَا تَرَٰضَوْا۟ بَيْنَهُم بِٱلْمَعْرُوفِ ۗ ذَٰلِكَ يُوعَظُ بِهِۦ مَن كَانَ مِنكُمْ يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۗ ذَٰلِكُمْ أَزْكَىٰ لَكُمْ وَأَطْهَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
‘Ali bin Abi Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata bahawa ayat ini diturunkan berkaitan dengan seorang lelaki yang mentalak isterinya dengan talak satu atau dua, lalu isterinya menjalani iddahnya sehingga selesai. Setelah itu barulah terfikir oleh bekas suami untuk merujuk dan menikahi kembali bekas isterinya. Lalu diterima oleh bekas isteri namun dilarang oleh pihak walinya. Maka Allah Ta’ala melarang pihak wali daripada menghalang pernikahan.
Dalam riwayat yang lain, Imam Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa ayat ini berkaitan dengan Ma’qil bin Yasar Al-Muzni dan saudara perempuannya. Apabila saudara perempuannya diceraikan oleh suaminya dan membiarkan isterinya hingga selesai iddahnya lalu suaminya melamarnya kembali, tetapi Ma’qil bin Yasar menolaknya. Maka turunlah ayat ini.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa seorang wanita tidak boleh menikahkan dirinya sendiri kecuali dengan adanya wali yang menikahkannya. Rasulullah saw bersabda:
“Seorang wanita tidak boleh menikahkan wanita lain dan tidak pula boleh menikahkan dirinya sendiri. Sesungguhnya hanya wanita penzinalah yang menikahkan dirinya sendiri.”
(HR. Ibnu Majah)