Hukum Berkaitan dengan Wanita yang Ditalak
Surah 2: Al-Baqarah (228 – 231)
Ayat 228
وَٱلْمُطَلَّقَـٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَـٰثَةَ قُرُوٓءٍ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِىٓ أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَـٰحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Perkataan quru’ adalah perkataan jamak daripada perkataan qar’un yang bermaksud suci atau haid.
Tempoh iddah bagi wanita yang masih subur ketika dijatuhkan talak ialah tiga kali suci atau tiga kali haid. Tujuannya adalah untuk memastikan ketika diceraikan, wanita itu tidak mengandung. Dalam tempoh iddah ini, dia tidak boleh menikah dengan lelaki lain sehingga selesai tempoh iddahnya.
Dalam ayat ini, ayat “Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.” bermaksud wanita-wanita yang beriman kepada Allah Ta’ala dan hari akhirat tidak akan menyembunyikan apa yang telah Allah Ta’ala ciptakan dalam rahimnya. Ini merupakan ancaman kepada wanita-wanita yang diceraikan kerana hanya mereka sahaja yang mengetahui tentang diri mereka. Mereka tidak boleh mengatakan hal yang tidak benar berkaitan dengan tempoh iddah malah mereka diperintahkan menyatakan keadaan yang sebenar.
Suami yang menceraikan isterinya berhak merujuk isterinya selama masih dalam iddah. Hal ini jika rujuk tersebut dilakukan oleh suami dengan niat untuk memperbaiki keadaan dan memperoleh kebaikan dalam menerajui rumahtangga.
Para isteri memiliki hak ke atas suami mereka sebagaimana hak yang dimiliki oleh suami ke atas mereka. Masing-masing wajib menunaikan hak-hak tersebut secara makruf. Rasulullah saw bersabda:
“Bertakwalah kepada Allah dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kalian telah menikahi mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluannya dengan kalimah Allah. Kalian memiliki (hak) atas mereka agar mereka tidak mengizinkan seorang pun yang kalian benci memijak tikar (rumah) kalian. Sekiranya mereka melakukan hal yang demikian, maka pukullah dengan pukulan yang tidak melukainya. Dan diwajibkan atas kalian (suami) untuk memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik.”
(HR. Muslim)
Antara kelebihan suami atas isteri ialah isteri wajib taat kepada suami kerana suami bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga sekali gus memberi nafkah. Firman Allah Ta’ala:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
An-Nisa’ 4:34
Allah Maha Perkasa dalam menyeksa sesiapa sahaja yang menderhakai-Nya. Dia Maha Bijaksana dalam segala perintah, syariat dan ketetapan-Nya.
Ayat 229
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا۟ مِمَّآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ شَيْـًٔا إِلَّآ أَن يَخَافَآ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا ٱفْتَدَتْ بِهِۦ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Ayat ini telah menghapuskan kebiasaan yang berlaku pada permulaan Islam iaitu seorang lelaki berhak merujuk isterinya meskipun dia telah mentalaknya beratus kali asalkan masih dalam iddah. Hal ini banyak merugikan para isteri. Oleh itu Allah Ta’ala menghadkan dengan hanya tiga kali talak dan boleh merujuk kembali pada talak yang pertama dan kedua sahaja.
Apabila seorang lelaki telah dua kali mentalak isterinya, maka hendaklah dia takut kepada Allah Ta’ala agar tidak menjatuhkan talak kali yang ketiga. Dia perlu memilih mempertahankan pernikahannya dan bergaul dengan isterinya secara makruf ataupun menceraikannya secara baik tanpa menzalimi hak isterinya sedikitpun dan tidak menyebut keburukan bekas isterinya.
Tidak halal bagi suami mengambil sedikitpun daripada mahar dan pemberian lain yang telah mereka serahkan kepada bekas isteri kecuali jika kedua-dua belah pihak takut tidak dapat menjalankan hak-hak suami isteri. Maka ketika itu mereka boleh menyerahkan hal mereka kepada wali.
Jika suami isteri masih lagi berselisih dan isteri tidak sanggup lagi melaksanakan hak suami serta tidak mampu menggauli suaminya disebabkan tersangat membenci suaminya, maka dia ada ruang untuk meminta supaya dirinya dilepaskan dengan memberikan tebusan kepada suaminya dengan membawa kes ini ke mahkamah. Ini dinamakan talaq khuluk atau dipanggil ‘tebus talak’ dalam bahasa Melayu.
Manakala tebusan yang dikenakan ke atas isteri tersebut adalah berupa apa yang pernah diberikan oleh suaminya supaya suaminya menceraikannya. Tidak ada dosa baginya mengeluarkan tebusan itu kepada suaminya dan tidak ada dosa bagi suami menerima tebusan daripada isterinya.
Segala syariat yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala hakikatnya adalah ketentuan-ketentuan-Nya. Oleh itu setiap orang wajib mengikutinya. Ini kerana melanggar hukum-hukum-Nya adalah satu kezaliman.
Ayat 230
فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُۥ مِنۢ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُۥ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يَتَرَاجَعَآ إِن ظَنَّآ أَن يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.
Ayat ini menjelaskan bahawa jika suami mentalak isterinya pada ketiga kalinya, maka haram baginya untuk merujuk isterinya sebelum bekas isterinya menikahi lelaki lain. Ini bermaksud suami boleh merujuk kembali setelah bekas isterinya bersetubuh dengan suaminya yang baru dan ditalakkan.
Jika bekas isteri belum bercampur dengan suami barunya, maka belum halal bagi suami pertama untuk merujuk kembali. Perlulah diingatkan bahawa pernikahan bekas isterinya dengan suami baru itu bukanlah dibuat semata-mata untuk menghalalkannya kembali kepada bekas suaminya.
Apabila suami kedua telah menceraikannya atau telah meninggal dunia dan tempoh iddahnya telah pun selesai, maka tidak ada dosa bagi wanita itu dan bekas suami pertamanya kembali bernikah dengan akad nikah dan mahar yang baru sekiranya mereka yakin dapat menegakkan hukum-hukum Allah Ta’ala yang telah disyariatkan.
Dalam ayat ini, Allah Swt menjelaskan hukum-hukum syariat-Nya agar hamba-hamba-Nya dapat mengambil manfaat daripadanya.
Ayat 231
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُوا۟ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُۥ ۚ وَلَا تَتَّخِذُوٓا۟ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ هُزُوًا ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمَآ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَٱلْحِكْمَةِ يَعِظُكُم بِهِۦ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Ayat ini merupakan perintah daripada Allah Swt kepada para suami sekiranya salah seorang daripada mereka menceraikan isterinya dengan talak raj’i (talak yang masih boleh dirujuk kembali iaitu talak kali pertama atau kali kedua) maka pihak suami hendaklah menyelesaikan perkara itu dengan cara yang baik.
Apabila isteri yang diceraikan itu menghampiri tempoh iddahnya, suami boleh merujuknya dengan cara yang baik dan mempersaksikan rujuknya itu kepada orang lain serta berniat menggaulinya dengan baik. Firman Allah Ta’ala:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Ar-Rum 30:21
Suami juga boleh menceraikan isterinya itu dengan membiarkan tempoh iddahnya tamat dan mengeluarkan bekas isterinya daripada rumahnya dengan cara yang baik tanpa ada permusuhan, pertelingkahan dan saling memburukkan antara satu sama lain.
Allah Ta’ala telah menetapkan perintah dan larangan serta memberikan ancaman kepada para suami melalui Al-Quran dan As-Sunnah (hadis) yang telah diturunkan-Nya. Oleh itu, para suami diingatkan supaya bertakwa kepada-Nya dengan menjalankan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala amalan hamba-hamba-Nya sama ada yang nyata atau tersembunyi. Oleh itu, sekiranya mereka mempermainkan ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya, Dia Maha Mengetahui dan akan membalas semua amalan tersebut.