Surah 2: Al-Baqarah (226 – 227) 

Hukum tentang Ilaa’

Surah 2: Al-Baqarah (226 – 227) 


Ayat 226

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَآئِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَآءُو فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sa’id bin Musayyab berkata ilaa’ dulunya merupakan cara masyarakat jahiliah untuk membuat isteri menderita. Sekiranya seorang lelaki tidak lagi menghendaki isterinya tetapi dalam masa yang sama dia tidak ingin isterinya dinikahi oleh lelaki lain, dia bersumpah untuk tidak mendekatinya selama-lamanya. Dia membiarkan isterinya dalam keadaan status tidak (bukan) janda dan bukan pula masih bersuami. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat ini untuk menghadkan tempoh seseorang suami boleh berbuat demikian.  

Maksud “meng-ilaa’” isteri ialah suami bersumpah untuk tidak akan mencampuri isterinya dalam tempoh waktu tertentu, sama ada kurang ataupun lebih daripada empat bulan, namun terdapat beberapa hukum iaitu: 

  • Jika sumpah (ilaa’) si suami itu kurang daripada empat bulan, maka si suami hendaklah menunggu berakhirnya masa yang telah ditentukan. Setelah itu dia (suami) boleh mencampuri isterinya kembali. Bagi si isteri pula hendaklah bersabar, dan tidak berhak menuntutnya untuk rujuk dalam masa tersebut.  
  • Jika sumpah itu lebih daripada empat bulan, si isteri boleh menuntut suaminya kembali mencampurinya atau menceraikannya setelah berlalu tempoh empat bulan tersebut.  

Apabila suami meng-ilaa’ isterinya, isterinya akan menderita kerana tidak disetubuhi dan tidak pula diceraikan, diibaratkan ‘gantung tidak bertali’. Oleh itu selepas turunnya ayat ini, jika suami tidak mahu menceraikan isterinya setelah berlalu empat bulan, hakim boleh campurtangan dalam urusan menjatuhkan talak. Walau bagaimanapun apabila suami mengambil keputusan untuk rujuk (kembali kepada isterinya), itu lebih dicintai Allah Ta’ala daripada menjatuhkan talak. 

Ayat 227

وَإِنْ عَزَمُوا۟ ٱلطَّلَـٰقَ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Sekiranya suami memang bertekad untuk menjatuhkan talak, maka hendaklah dia segera melaksanakannya. Hal ini menunjukkan bahawa suami memang sudah tidak lagi suka dan berkeinginan kepada isterinya.  

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar ucapan-ucapan mereka lagi Maha Mengetahui niat dalam hati ketika meng-ilaa’ isteri. Dia akan memberikan balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan.