Haram Bernikah dengan Orang Musyrik
Surah 2: Al-Baqarah (221)
Ayat 221
وَلَا تَنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكَـٰتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ وَلَا تُنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا۟ ۚ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْعُونَ إِلَى ٱلنَّارِ ۖ وَٱللَّهُ يَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱلْجَنَّةِ وَٱلْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِۦ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
Ayat ini menjelaskan tentang pengharaman kaum muslimin menikahi wanita-wanita musyrik penyembah berhala selagi mereka masih dalam kesyirikan. Walau bagaimanapun mereka dibenarkan menikahi wanita-wanita ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang menjaga kehormatan mereka. Firman Allah Ta’ala:
“……………..(Dan dihalalkan menikahi) wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberikan kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kahwin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina………..”
Al-Ma’idah 5:5
Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan budak perempuan (hamba sahaya) yang beriman kepada-Nya dan Rasul-Nya walaupun hodoh dan hina adalah lebih baik daripada perempuan merdeka yang musyrik walaupun dia berasal daripada keturunan yang terhormat dan sangat cantik serta kaya. Ini kerana iman adalah faktor penentu kesempurnaan agama dan kehidupan.
Manakala menikahkan wanita muslimah baik yang merdeka mahupun hamba sahaya dengan lelaki musyrik adalah haram hukumnya. Seorang lelaki yang beriman meskipun dia miskin dia tetap lebih baik daripada lelaki musyrik. Ini kerana seseorang yang memiliki keyakinan syirik baik lelaki ataupun wanita akan menyeru pasangan mereka ke arah mensyirikkan Allah Ta’ala. Dengan demikian mereka akan menyeret pasangan masing-masing ke neraka sedangkan Allah Ta’ala menyeru hamba-hamba-Nya ke syurga dengan mendapatkan keampunan daripada-Nya.
Allah Ta’ala menerangkan ayat-ayat dan hukum-hukum-Nya ini kepada manusia agar mereka mengambil peringatan dan pelajaran.