Surah 2: Al-Baqarah (211 – 212) 

Kehidupan Dunia Dijadikan Indah dalam Pandangan Orang Kafir

Surah 2: Al-Baqarah (211 – 212) 


Ayat 211

سَلْ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ كَمْ ءَاتَيْنَـٰهُم مِّنْ ءَايَةٍۭ بَيِّنَةٍ ۗ وَمَن يُبَدِّلْ نِعْمَةَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُ فَإِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.

Allah swt memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang Yahudi di Madinah, namun pertanyaan tersebut bukanlah kerana hendakkan jawapan tetapi sebagai celaan tentang nikmat-nikmat kurniaanNya yang telah mereka terima.  

Betapa banyak anugerah Allah swt yang telah diberikan kepada nenek moyang mereka seperti diutuskan Nabi Musa as dengan pelbagai mukjizat berupa tongkat, tangannya bercahaya putih, terbelahnya laut Merah, tenggelamnya Firaun di hadapan mata mereka, mereka dilindungi awan, dikurniakan manna dan salwa serta lain-lain lagi.  

Allah Ta’ala juga banyak mengurniakan mukjizat kepada para rasul mereka yang mulia, seperti Nabi ‘Isa as dan lain-lain. Mukjizat-mukjizat itu merupakan keterangan-keterangan yang jelas dan bukti yang pasti atas kebenaran dakwah mereka, sama seperti mukjizat Rasulullah saw yang menunjukkan kenabian baginda. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memberi amaran keras untuk menyeksa sesiapa sahaja yang menyimpang daripada agamaNya yang lurus sesudah datang kepadanya bukti-bukti kebenaran dan dia mengetahuinya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa dan amat pedih seksaanNya. 

Ayat 212

زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۘ وَٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ فَوْقَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَٱللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menjadikan kehidupan dunia ini indah bagi orang-orang kafir. Mereka puas dan berasa tenang dengannya serta mereka mengumpulkan harta tetapi enggan membelanjakannya kepada  perkara-perkara yang diperintahkan kepada mereka dan diredhaiNya.  

Selain itu mereka memandang hina orang-orang beriman yang berpaling dari kesenangan dunia, iaitu yang membelanjakan sebahagian daripada apa yang mereka peroleh untuk ketaatan kepada Rabb mereka.  

Sesungguhnya orang-orang beriman membelanjakannya demi memperoleh keredhaan Allah Ta’ala. Oleh itu, mereka adalah orang-orang yang beruntung di akhirat kelak. Mereka akan menetap pada kedudukan yang paling tinggi di dalam syurga, sedangkan orang-orang kafir berada di neraka bahagian paling bawah dan kekal untuk selama-lamanya. 

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan Dia memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendakiNya daripada kalangan makhlukNya dan memberinya kurniaanNya yang banyak tanpa batas dan tanpa hitungan, baik di dunia mahupun di akhirat.