Perbuatan Orang Munafik yang Berdusta dan Orang Mukmin yang Soleh
Surah 2: Al-Baqarah (204 – 207)
Ayat 204
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُۥ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَيُشْهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِى قَلْبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلْخِصَامِ
Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
Ada beberapa pendapat tentang ayat ini, iaitu:
- Daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan segolongan orang-orang munafik yang membicarakan dan mencaci maki Khubaib dan sahabat-sahabatnya yang terbunuh dalam peristiwa Ar-Raji’. Kemudian Allah Ta’ala menurunkan firman-Nya yang mencela sikap orang-orang munafik dan memuji sikap Khubaib dan teman-temannya, iaitu, “Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah……….” (Al-Baqarah: 207)
- Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Al-Qurazi, daripada Nauf (iaitu Al-Bikali, seorang yang suka membaca kitab-kitab terdahulu) dia mengatakan, “Sesungguhnya aku menjumpai sifat beberapa golongan daripada umat ini di dalam Kitab Allah terdahulu, ada suatu kaum mengejar dunia dengan agama. Kata-kata mereka lebih manis daripada madu, tetapi hati mereka lebih pahit daripada jadam, mereka menampilkan dirinya di mata orang lain dengan berpakaian bulu kambing, padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah Ta’ala berfirman, ‘Mereka berani (lancang) terhadap diriKu dan mereka terpedaya dengan rahmatKu. Aku bersumpah dengan diri-Ku, Aku benar-benar akan menimpakan kepada mereka suatu fitnah yang membuat orang yang penyantun (dari kalangan mereka) menjadi kebingungan.’” Selanjutnya Al-Qurazi mengatakan, “Aku mentadabburi sifat-sifat tersebut di dalam Al-Quran, ternyata aku dapati mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang munafik,” sebagaimana firman-Nya, “Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya padahal dia adalah penentang yang paling keras.” (Al-Baqarah: 204)
- Ada juga yang berpendapat, jika orang munafik ingin menampakkan keislamannya di hadapan orang lain, maka dia bersumpah dan mempersaksikan Allah dalam sumpahnya itu untuk mendapatkan kepercayaan daripada mereka bahawa apa yang diucapkannya bersesuaian dengan apa yang ada dalam hatinya. Pengertian inilah yang benar, dikatakan oleh ‘Abdur Rahman bin Zaid Aslam dan dipilih oleh Ibnu Jarir. Pendapat ini disandarkan kepada Ibnu ‘Abbas ra, dan Ibnu Jarir meriwayatkannya melalui Mujahid.
Daripada ‘Aisyah ra secara marfu’ (sampai kepada Rasulullah) bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah adalah penentang yang paling keras.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 205
وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِى ٱلْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ ٱلْحَرْثَ وَٱلنَّسْلَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلْفَسَادَ
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
Allah Ta’ala menjelaskan dalam ayat ini tentang hakikat sebenar golongan munafik. Sikap mereka sangat berbeza apabila berada di hadapan dan di belakang orang lain. Mereka tidak mempunyai keinginan kecuali membuat kerosakan di muka bumi dengan memusnahkan tanam-tanaman dan tempat pembiakan binatang ternak yang kedua-duanya (tanam-tanaman dan binatang ternak) merupakan sumber kehidupan manusia.
Ada juga yang mentafsirkan ayat ini bahawa Allah Ta’ala menjelaskan kepada Rasulullah saw tentang sifat orang munafik, iaitu apabila dia beredar meninggalkan Baginda dia mengucapkan kata-kata manis dan lemah lembut, tetapi dia berusaha berbuat kebinasaan di muka bumi. Ayat ini asalnya ditujukan kepada Al-Akhnas bin Syuraik yang bermusuhan dengan suku Bani Thaqif di Taif. Al-Akhnas telah datang ke Taif dan menyerang orang-orang di Taif dengan membakar tanam-tanaman dan binatang ternakan mereka. Namun begitu ayat ini ditujukan juga kepada umum.
Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.
Ayat 206
وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتْهُ ٱلْعِزَّةُ بِٱلْإِثْمِ ۚ فَحَسْبُهُۥ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ
Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
Apabila orang yang buruk ucapan dan perbuatannya itu dinasihati dan diingatkan agar takut kepada Allah Ta’ala dan menjauhi perbuatan tersebut serta kembali kepada kebenaran, nescaya dia enggan menerima. Dia menolak dengan sombong dan marah disebabkan dosa-dosa telah meliputi dirinya. Ini sebagaimana firman-Nya dalam surah yang lain:
“Dan apabila dibacakan di hadapan mereka ayat-ayat Kami yang terang, nescaya kamu melihat tanda-tanda keingkaran pada muka orang-orang yang kafir itu. Hampir-hampir mereka menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami di hadapan mereka. Katakanlah, “Apakah akan aku khabarkan kepadamu yang lebih buruk daripada itu, iaitu neraka?” Allah telah mengancamkannya kepada orang-orang yang kafir. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”
Al-Hajj 22:72
Disebabkan kesombongan mereka itu, neraka Jahannam adalah balasan yang selayaknya buat mereka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Ayat 207
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشْرِى نَفْسَهُ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ رَءُوفٌۢ بِٱلْعِبَادِ
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.
Allah Swt menjelaskan bahawa di samping terdapat orang-orang munafik yang mempunyai sifat-sifat tercela, ada orang-orang mukmin yang mempunyai sifat-sifat yang sangat terpuji.
Ibnu ‘Abbas ra, Anas bin Malik, Sa’id bin Al-Musayyab, Abu ‘Uthman An-Nahdi, ‘Ikrimah dan beberapa orang ulama yang lainnya mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Shuhaib bin Sinan Ar-Rumi. Ketika beliau memeluk agama Islam dan hendak berhijrah dari Mekah ke Madinah, orang-orang Quraisy menahannya berhijrah dengan membawa hartanya. Mereka hanya akan membenarkannya berhijrah sekiranya dia meninggalkan hartanya di Mekah. Maka Shuhaib pun meninggalkan hartanya lalu berhijrah. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat di atas tentang dirinya. Apabila Shuhaib bertemu dengan ‘Umar bin Al-Khattab ra dan beberapa sahabat di hujung daerah Hurrah, mereka mengatakan kepadanya apa yang dilakukannya itu adalah suatu perdagangan yang menguntungkan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda kepadanya:
“Perdagangan yang paling beruntung adalah perdagangan Shuhaib.”
(HR. At-Tabari)
Makna ayat di atas juga adalah umum untuk ditujukan kepada setiap orang yang berjuang pada jalan Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”
At Taubah 9:111