Kisah Nabi Musa as – Kurniaan kepada Bani Israil
Surah 7: Al-A’raf (160 – 162)
Ayat 160
وَقَطَّعْنَـٰهُمُ ٱثْنَتَىْ عَشْرَةَ أَسْبَاطًا أُمَمًا ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ إِذِ ٱسْتَسْقَىٰهُ قَوْمُهُۥٓ أَنِ ٱضْرِب بِّعَصَاكَ ٱلْحَجَرَ ۖ فَٱنۢبَجَسَتْ مِنْهُ ٱثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا ۖ قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَّشْرَبَهُمْ ۚ وَظَلَّلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلْغَمَـٰمَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ ۚ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَـٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka “Mann” dan “Salwa”. (Lalu Kami berfirman): “Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah membahagikan kaum Nabi Musa as kepada dua belas golongan atau suku yang disebut dengan asbat (أَسْبَاط) ertinya beberapa umat atau golongan. Ini kerana mereka memang berasal daripada dua belas orang anak-anak Nabi Yaakub as. Masing-masing golongan memiliki peraturan dan sistem dalam mencari rezeki dan mengatur kehidupan mereka.
Dalam ayat ini, disebutkan beberapa nikmat yang dilimpahkan oleh Allah Ta’ala kepada Bani Israil, antaranya ialah:
- Pertolongan Allah Ta’ala terhadap mereka ketika mereka meminta air kepada Nabi Musa as saat kehausan di padang pasir. Saat itu Dia mewahyukan kepada Baginda agar memukul tongkatnya pada batu. Setelah Baginda melakukannya tiba-tiba memancarlah dua belas mata air sesuai dengan jumlah asbat tersebut. Masing-masing asbat mempunyai mata air tersendiri. Mereka masing-masing mengetahui mata air dan tempat minum mereka. Ini merupakan mukjizat Nabi Musa as untuk membuktikan kerasulannya dan untuk memperlihatkan kekuasaan Allah Ta’ala serta merupakan salah satu nikmat kurniaan-Nya yang telah dilimpahkan-Nya kepada Bani Israil.
- Melindungi mereka dengan awan semasa mereka berjalan di tengah-tengah padang pasir dan pada waktu panas terik matahari yang membakar itu. Hal ini terjadi setelah mereka meninggalkan negeri Mesir dan menyeberangi Laut Merah. Ketika mereka sampai di padang pasir di Semenanjung Sinai dan ditimpa panas yang terik, mereka meminta Nabi Musa as berdoa kepada Allah Swt agar memberikan pertolongan-Nya. Allah Ta’ala mendatangkan awan yang dapat melindungi mereka daripada panas terik matahari.
- Makanan yang disebut “al-manna” iaitu sejenis makanan yang manis seperti madu yang turun terus-menerus dari langit sejak fajar menyingsing sampai matahari terbit. Di samping itu dianugerahkan juga kepada mereka bahan makanan berupa burung puyuh yang dinamakan “salwa.”
Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Bani Israil memakan rezeki yang baik berupa nikmat-nikmat yang diturunkan khusus hanya untuk mereka. Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah mensyukuri nikmat-nikmat tersebut.
Allah Ta’ala telah melimpahkan kurniaan-Nya yang amat besar kepada Bani Israil tetapi mereka tetap tidak mahu bersyukur, bahkan mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang-Nya. Mereka ingkar kepada-Nya dan kepada rasul-rasul-Nya yang menyebabkan mereka mendapat azab dan seksaan-Nya. Mereka ditimpakan seksaan itu semata-mata kerana perbuatan mereka sendiri dan Allah Ta’ala sekali-kali tidak pernah menganiayai mereka.
Ayat 161
وَإِذْ قِيلَ لَهُمُ ٱسْكُنُوا۟ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةَ وَكُلُوا۟ مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ وَقُولُوا۟ حِطَّةٌ وَٱدْخُلُوا۟ ٱلْبَابَ سُجَّدًا نَّغْفِرْ لَكُمْ خَطِيٓـَٔـٰتِكُمْ ۚ سَنَزِيدُ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: “Tinggalah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai, dan berdoalah dengan berkata: `(Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami)’, dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Ayat 162
فَبَدَّلَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْهُمْ قَوْلًا غَيْرَ ٱلَّذِى قِيلَ لَهُمْ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِجْزًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا كَانُوا۟ يَظْلِمُونَ
Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.
Ayat 161 dan 162 surah Al-A’raf ini sudah dijelaskan dalam ayat 58 dan 59 surah Al-Baqarah. Pada ayat 58 dan 59 surah Al-Baqarah, Allah Ta’ala memerintahkan Bani Israil memasuki Baitul Maqdis dengan menundukkan diri sebagai tanda ketaatan dan tanda bersyukur kepada-Nya sambil berdoa kepada-Nya agar mereka diberikan keampunan. Jika mereka mengerjakan semua perintah itu, mereka dijanjikan akan mendapat dua perkara iaitu Allah Swt akan mengampuni segala dosa dan kesalahan mereka dan akan memberikan tambahan nikmat dan pahala kepada mereka.
Namun orang-orang Yahudi yang sememangnya terkenal dengan sifat yang suka menentang dan derhaka mendorong mereka untuk menentang perintah Allah Ta’ala sehingga berani menyalahi perintah tersebut dengan perkataan dan perbuatan iaitu menukar daripada berjalan membongkok seraya merendahkan diri kepada mengundur seraya mengangkat kepala mereka. Mereka juga menukar perkataan “hittatun” (حطة) yang bermaksud “Ampunilah kesalahan kami” kepada “hintah” (حنطة) yang bermaksud “sebiji gandum”.
Akibat daripada keingkaran, pembangkangan dan perbuatan mengolok-olokkan perintah Allah Ta’ala, mereka ditimpakan dengan azab yang sangat buruk. Menurut sebahagian ahli tafsir, azab yang ditimpakan kepada mereka itu adalah wabak penyakit taun yang menular di kalangan mereka.