Surah 7: Al-A’raf (154 – 156)

Kisah Nabi Musa – Permintaan Bani Israil untuk Melihat Allah

Surah 7: Al-A’raf (154 – 156)


Ayat 154

وَلَمَّا سَكَتَ عَن مُّوسَى ٱلْغَضَبُ أَخَذَ ٱلْأَلْوَاحَ ۖ وَفِى نُسْخَتِهَا هُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ هُمْ لِرَبِّهِمْ يَرْهَبُونَ

Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil Lauh-lauh Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya).

Setelah Nabi Musa as kembali tenang dan hilang rasa marahnya kepada kaumnya disebabkan penyembahan mereka kepada patung anak lembu, salah sangka terhadap saudaranya Nabi Harun as dan setelah memohon rahmat serta keampunan daripada Allah Ta’ala, maka Baginda mengumpulkan kembali kepingan-kepingan Taurat yang berserakan yang telah dilemparkannya itu yang mengandungi petunjuk, rahmat bagi kaumnya. 

Ayat 155

وَٱخْتَارَ مُوسَىٰ قَوْمَهُۥ سَبْعِينَ رَجُلًا لِّمِيقَـٰتِنَا ۖ فَلَمَّآ أَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ قَالَ رَبِّ لَوْ شِئْتَ أَهْلَكْتَهُم مِّن قَبْلُ وَإِيَّـٰىَ ۖ أَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَّآ ۖ إِنْ هِىَ إِلَّا فِتْنَتُكَ تُضِلُّ بِهَا مَن تَشَآءُ وَتَهْدِى مَن تَشَآءُ ۖ أَنتَ وَلِيُّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا ۖ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْغَـٰفِرِينَ

Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Bukit Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.

Terdapat beberapa riwayat tentang ayat ini, antaranya ialah daripada ‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan Allah swt memerintahkan Nabi Musa as memilih tujuh puluh orang daripada kaumnya. Baginda pun memilih tujuh puluh orang dan membawa pergi bersama-samanya untuk berdoa kepada Rabb mereka. 

Lalu berangkatlah Nabi Musa as bersama tujuh puluh orang pilihan menuju tempat yang telah ditentukan. Maka tatkala mereka digoncang gempa bumi yang disebabkan petir (halilintar) yang amat dahsyat, baginda pun berdoa kepada Allah Ta’ala seperti doa di atas. 

Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala menjelaskan sebab mereka disambar petir dan akibat yang mereka alami sebagaimana firmanNya: 

“Dan (ingatlah), ketika kamu berkata, ‘Wahai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, oleh itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya. Setelah itu Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati, supaya kamu bersyukur.” 

Al-Baqarah 2:55-56 

Allah Ta’ala menyatakan bahawa semuanya itu merupakan ujian daripadaNya terhadap mereka. Namun mereka tidak tahan dan kuat untuk menghadapi ujian tersebut sehingga mereka tetap mendesak Nabi Musa as agar Dia memperlihatkan zatNya kepada mereka. Tindakan mereka itulah menyebabkan mereka diazab dengan petir (halilintar) sehingga mereka mati semuanya. 

Kemudian Allah Ta’ala menghidupkan mereka kembali agar mereka bertaubat dan bersyukur terhadap nikmatNya yang telah dilimpahkanNya kepada mereka. Ujian yang ditimpakanNya kepada hamba-hambaNya, dapat menguji keimanan mereka. Orang-orang yang tidak kuat keimanan mereka akan bertambah sesat, manakala kepada hamba-hambaNya yang kuat keimanan mereka, akan diberikan petunjukNya. 

Ayat 156

وَٱكْتُبْ لَنَا فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِنَّا هُدْنَآ إِلَيْكَ ۚ قَالَ عَذَابِىٓ أُصِيبُ بِهِۦ مَنْ أَشَآءُ ۖ وَرَحْمَتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلَّذِينَ هُم بِـَٔايَـٰتِنَا يُؤْمِنُونَ

“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia boleh berbuat apa sahaja yang dikehendakiNya dan menetapkan apa sahaja yang diinginkanNya. Kesemuanya mempunyai hikmah dan keadilan. Maha Suci Allah, tidak ada ilah yang berhak diibadahi kecuali Dia. 

Firman Allah Ta’ala, “Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu,” merupakan ayat yang sangat agung kandungannya. Ini sebagaimana ucapan para malaikat pemikul ‘Arasy dan para malaikat lain yang berada di sekelilingnya seperti dalam firmanNya: 

“(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Rabb mereka dan mereka beriman kepadaNya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (sambil mengucapkan), ‘Wahai Rabb kami, rahmat dan ilmuMu meliputi segala sesuatu, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang menyala-nyala.’” 

Al-Mu’min 40:7 

Seterusnya Allah swt menyatakan bahawa Dia akan memastikan agar rahmatNya itu akan dapat diraih oleh orang-orang yang bertakwa sebagai kurniaan dan kebaikan daripadaNya kepada mereka. Maksudnya, Allah swt akan memberikan rahmat itu kepada orang-orang yang menjaga diri daripada melakukan kesyirikan dan dosa-dosa besar. Juga akan diberikan kepada orang-orang yang menunaikan zakat. Ada pendapat mengatakan, yang dimaksudkan dengannya ialah penyucian jiwa dan ada juga yang mengatakan menunaikan zakat harta. Namun makna kedua-duanya boleh diterima secara umum. Begitu juga rahmat Allah swt akan diberikan kepada orang-orang yang beriman kepadaNya iaitu yang membenarkanNya.