Surah 7: Al-A’raf (138 – 141)

Kisah Nabi Musa as – Bani Israil Meminta Berhala

Surah 7: Al-A’raf (138 – 141)


Ayat 138

وَجَـٰوَزْنَا بِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْبَحْرَ فَأَتَوْا۟ عَلَىٰ قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصْنَامٍ لَّهُمْ ۚ قَالُوا۟ يَـٰمُوسَى ٱجْعَل لَّنَآ إِلَـٰهًا كَمَا لَهُمْ ءَالِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menyelamatkan Bani Israil menyeberangi laut sehingga mereka terlepas daripada penindasan Firaun dan kaumnya. Ini adalah semata-mata kerana pertolongan dan rahmat-Nya. Peristiwa ini merupakan mukjizat bagi Nabi Musa as. 

Ketika mereka sampai ke suatu negeri yang penduduknya menyembah berhala, ingatan mereka kembali kepada adat kebiasaan dan kepercayaan nenek-moyang mereka, yang biasa mereka lakukan sebelum itu seperti menyembah sembahan-sembahan selain Allah Ta’ala, baik yang berupa binatang, patung, batu dan sebagainya. 

Mereka dengan spontan meminta kepada Nabi Musa as agar dibuatkan berhala untuk sembahan mereka. Mereka lebih suka menyembah sesuatu yang dapat dilihat, dihiasi dan sebagainya daripada menyembah sesuatu yang ghaib. 

Permintaan daripada kalangan Bani Israil kepada Nabi Musa as agar dijadikan patung berhala untuk mereka sembah ini merupakan satu kebodohan dan sangat menghairankan. Ini kerana mereka telah melintasi lautan dan melihat sendiri dengan jelas tanda-tanda kekuasaan Allah Swt yang sangat besar. Namun mereka masih ingin menyekutukan-Nya dengan patung-patung seperti itu yang tidak boleh memberi apa-apa manfaat atau mendatangkan mudarat. Ini menunjukkan betapa besarnya kejahilan mereka terhadap Allah Ta’ala dan ayat-ayat-Nya. 

Ayat 139

إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ مُتَبَّرٌ مَّا هُمْ فِيهِ وَبَـٰطِلٌ مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

“Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu”.

Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang yang menyembah selain Allah Ta’ala akan dihancurkan dan dibinasakan-Nya dan berhala-berhala yang mereka sembah itu tidak mampu memberi manfaat dan tidak pula dapat memberi mudarat kepada siapapun. Perbuatan mereka menyembah berhala itu adalah batil dan sia-sia serta tidak diberi pahala sedikitpun bahkan mereka akan diberikan seksaan yang pedih. 

Ayat 140

قَالَ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْغِيكُمْ إِلَـٰهًا وَهُوَ فَضَّلَكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu)?”

Ayat ini menyatakan bahawa permintaan Bani Israil adalah permintaan yang sangat aneh dan menghairankan. Mereka sepatutnya lebih bersyukur atas kurniaan Allah Swt kepada mereka dengan hanya beribadah kepada-Nya dan menafikan sembahan selain-Nya. 

Ayat 141

وَإِذْ أَنجَيْنَـٰكُم مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ ۖ يُقَتِّلُونَ أَبْنَآءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَآءَكُمْ ۚ وَفِى ذَٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ

Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Ayat ini merupakan peringatan kepada Bani Israil yang meminta dibuatkan tuhan selain-Nya, bahawa mereka telah diberikan nikmat yang melimpah-limpah berupa pengutusan Nabi Musa as kepada mereka, untuk melepaskan mereka daripada belenggu penindasan dan perhambaan Firaun, juga yang telah membunuh setiap anak lelaki mereka yang lahir dan membiarkan hidup anak perempuan mereka, agar Bani Israil tetap dalam keadaan lemah dan tetap dalam perhambaan untuk ditindas selama-lamanya. Mereka juga sepatutnya sentiasa mengingati akan nikmat Allah Swt yang menyelamatkan mereka daripada kehinaan bertahun-tahun lamanya. Firman Allah Swt: 

“Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada (Firaun) dan pengikut-pengikutnya, mereka menimpakan kepadamu seksaan yang seberat-beratnya, mereka menyembelih anak-anakmu yang laki-laki dan membiarkan hidup anak-anakmu yang perempuan. Dan pada yang demikian itu terdapat ujian-ujian yang besar daripada Rabbmu. Dan (ingatlah), ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Firaun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan.” 

Al-Baqarah 2:49-50 

Ujian yang ditimpakan kepada Bani Israil adalah dalam bentuk musibah dan juga dalam bentuk nikmat. Ujian musibah adalah ketika mereka ditimpakan kekejaman oleh Firaun seperti dibunuh anak-anak lelaki dan dibiarkan hidup anak-anak perempuan, sedangkan ujian nikmat pula adalah ketika Allah Swt menyelamatkan mereka daripada kekejaman itu. 

Maka apakah mereka tidak mengambil pelajaran daripada peristiwa tersebut sehingga mereka meminta dibuatkan berhala?