Surah 7: Al-A’raf (127 – 129)

Kisah Nabi Musa as – Firaun Mengancam Bani Israil

Surah 7: Al-A’raf (127 – 129)


Ayat 127

وَقَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِ فِرْعَوْنَ أَتَذَرُ مُوسَىٰ وَقَوْمَهُۥ لِيُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَيَذَرَكَ وَءَالِهَتَكَ ۚ قَالَ سَنُقَتِّلُ أَبْنَآءَهُمْ وَنَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ وَإِنَّا فَوْقَهُمْ قَـٰهِرُونَ

Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka”.

Allah Ta’ala memberitahu tentang kerjasama antara Firaun dengan para pembesar kaumnya serta tentang niat jahat dan kebencian yang mereka sembunyikan terhadap Nabi Musa as dan kaumnya. 

Pembesar-pembesar kaum Firaun itu berkata kepada Firaun adakah dia hanya akan membiarkan Nabi Musa as dan kaumnya melakukan kerosakan di muka bumi. Mereka juga menyatakan kepadanya bahawa Baginda as dan kaumnya akan menghancurkan rakyatnya dengan menyeru mereka untuk menyembah Rabb mereka bukan menyembahnya. 

Ucapan para pembesar kaum Firaun itu adalah tanda bahawa mereka berasa sangat takut terhadap tindakan yang dilakukan oleh Nabi Musa as dan kaumnya. Padahal Firaun dan kaumnya itulah yang sebenarnya para perosak, tetapi mereka tidak menyedarinya. 

Firaun memberikan jawapan kepada pembesar-pembesar kaumnya bahawa mereka akan membunuh anak-anak lelaki Bani Israil dan akan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka. Ini merupakan tindakan Firaun kali kedua. Kali pertama dia telah melakukan hal tersebut sebelum Nabi Musa as dilahirkan, dengan tujuan agar tidak ada yang mengancam kekuasaannya. Namun kenyataannya menunjukkan hal yang berbeza daripada apa yang diharapkan oleh Firaun. 

Ayat 128

قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ ٱسْتَعِينُوا۟ بِٱللَّهِ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۖ إِنَّ ٱلْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۖ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”.

Ketika Firaun bertekad untuk membinasakan Bani Israil, Nabi Musa as menyuruh kaumnya berdoa memohon pertolongan daripada Allah Swt dan bersabar terhadap Firaun dan pengikut-pengikutnya. Baginda menyatakan bahawa bumi Mesir itu akan menjadi milik mereka kerana Allah Swt akan mewarisinya kepada para hamba-Nya yang bertakwa. 

Berdasarkan ayat ini, maka seorang hamba ketika dalam keadaan lemah, hendaklah dia bersabar dan meminta pertolongan kepada Allah Swt dan menunggu bantuan daripada-Nya untuk mendapatkan jalan keluar. 

Ayat 129

قَالُوٓا۟ أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِنۢ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”

Kaum Nabi Musa as mengeluh kepada Baginda bahawa nasib mereka sama sahaja baik sebelum kedatangan Nabi Musa as untuk menyeru mereka kepada agama Allah Swt dan melepaskan mereka daripada diperhambakan oleh Firaun, mahupun setelahnya. Ini menunjukkan jiwa dan daya juang mereka amat lemah. 

Mendengar keluhan kaumnya, Nabi Musa as mengingatkan mereka tentang keadaan mereka pada masa itu agar mereka bersyukur dan bersabar. Baginda berharap agar Allah Swt membinasakan Firaun dan kaumnya serta memberikan pertolongan dan rahmat-Nya untuk membebaskan mereka daripada kekejaman Firaun. Baginda juga berharap agar Allah Swt menjadikan Bani Israil sebagai penguasa di bahagian bumi yang telah dijanjikan-Nya kepada mereka pada kemudian hari. 

Kata-kata Nabi Musa as ini juga mengandungi suatu peringatan yang sangat penting bagi kaumnya iaitu apabila suatu hari nanti mereka telah menjadi penguasa, maka janganlah berbuat sewenang-wenang seperti Firaun dan para pembesarnya. Ini kerana Allah Ta’ala sentiasa mengawasi perbuatan dan tindak-tanduk setiap makhluk-Nya. Oleh itu, apabila mereka berkuasa dan melakukan kezaliman pula, pastilah Allah Ta’ala mendatangkan azab kepada mereka.