Surah 7: Al-A’raf (113 – 126)

Kisah Nabi Musa as – Pertandingan Sihir

Surah 7: Al-A’raf (113 – 126)


Ayat 113

وَجَآءَ ٱلسَّحَرَةُ فِرْعَوْنَ قَالُوٓا۟ إِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ ٱلْغَـٰلِبِينَ

Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?”

Setelah Firaun mengerahkan orang-orangnya untuk mengumpulkan ahli-ahli sihir yang terpandai dari pelbagai pelosok wilayah kekuasaannya, maka datanglah ahli-ahli sihir tersebut kepadanya. Mereka pun bertanya kepadanya tentang upah kepada mereka atas tugas yang berat ini iaitu apabila mereka berhasil mengalahkan Nabi Musa as kelak. 

Ayat 114

قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ لَمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ

Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)”.

Allah Ta’ala menyatakan syarat yang disepakati antara Firaun dan para ahli sihirnya. Jika mereka berjaya mengalahkan Nabi Musa as, Firaun akan memberikan hadiah yang sangat besar. Firaun memberikan harapan kepada mereka bahawa dia akan memberikan segala yang mereka inginkan serta menjadikan mereka sebagai teman rapat di sisinya. 

Ayat 115

قَالُوا۟ يَـٰمُوسَىٰٓ إِمَّآ أَن تُلْقِىَ وَإِمَّآ أَن نَّكُونَ نَحْنُ ٱلْمُلْقِينَ

Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?”

Setelah mendapat jawapan dan janji yang menggembirakan daripada Firaun tersebut, maka ahli-ahli sihir lalu menoleh kepada Nabi Musa as sambil bertanya kepadanya, siapakah yang akan melemparkan tongkatnya terlebih dahulu. 

Ayat 116

قَالَ أَلْقُوا۟ ۖ فَلَمَّآ أَلْقَوْا۟ سَحَرُوٓا۟ أَعْيُنَ ٱلنَّاسِ وَٱسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَآءُو بِسِحْرٍ عَظِيمٍ

Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).

Menurut hadis riwayat At-Tabari, daripada Ibnu ‘Abbas ra, para ahli sihir sebenarnya melemparkan tali-tali besar dan kayu-kayu panjang tetapi disebabkan oleh sihir, semua itu dilihat seperti ular-ular yang merayap, kemudiannya ditelan oleh ular jelmaan tongkat Nabi Musa as. Firman Allah Swt: 

“Kami berkata, ‘Janganlah kamu takut, sesungguhnya kamulah yang paling unggul (menang). Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana sahaja ia datang.'” 

Taha 20:68-69 

Ayat 117

وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَإِذَا هِىَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ

Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).

Allah Ta’ala mewahyukan Nabi Musa as agar melemparkan tongkatnya. Ular tersebut berubah menjadi ular yang besar dan menelan segala yang dilemparkan oleh para ahli sihir. 

Ayat 118

فَوَقَعَ ٱلْحَقُّ وَبَطَلَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa dengan lenyapnya semua ular ciptaan ahli-ahli sihir Firaun daripada pandangan orang-orang yang menyaksikannya, maka menanglah mukjizat yang dikurniakan-Nya kepada Nabi Musa as atas perbuatan ahli-ahli sihir yang penuh dengan kebatilan dan kepalsuan itu. Sihir mereka menjadi tidak berdaya menghadapi mukjizat utusan-Nya. Firman-Nya: 

“Maka setelah mereka melemparkan Musa berkata, “Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya.” Sesungguhnya Allah tidak akan terus berlangsungnya perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.” 

Yunus 10:81

Ayat 119

فَغُلِبُوا۟ هُنَالِكَ وَٱنقَلَبُوا۟ صَـٰغِرِينَ

Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.

Kekalahan para ahli sihir tersebut, sebagaimana disebutkan dalam ayat di atas, adalah kekalahan Firaun dan para pembesarnya. Oleh itu, hilanglah kehebatan mereka di mata orang ramai dan jadilah mereka orang-orang yang hina. 

Ayat 120

وَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سَـٰجِدِينَ

Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,

Ketika para ahli sihir menyaksikan mukjizat Nabi Musa as, mereka segera bersujud kepada Allah Ta’ala, kerana kebenaran (Al-Haq). Mukjizat Baginda telah memukau dan mendorong mereka untuk sujud kerana mereka telah yakin tentang kebenaran seruan Baginda dan bahawa Baginda bukanlah ahli sihir seperti yang mereka sangka sebelum ini sebagaimana tuduhan Firaun dan para pembesarnya. 

Selain itu, mereka juga telah menyedari bahawa sihir mereka yang dibangga-banggakan selama ini hanyalah kebatilan dan tidak berdaya bila berhadapan dengan kebenaran yang datang daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Mereka sudah tidak mempunyai penghargaan sedikitpun terhadap Firaun dan para pembesarnya yang telah berusaha dengan segala daya upaya untuk mengingkari kekuasaan dan kebesaran Allah Ta’ala yang merupakan Pencipta dan Penguasa alam semesta. 

Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Ular Nabi Musa menelan semua tali dan tongkat yang dilemparkan oleh para ahli sihir. Akhirnya para ahli sihir tersebut menyedari bahawa apa yang mereka saksikan adalah sesuatu yang datang dari langit dan bukannya sihir. Kemudian mereka tersungkur dan bersujud, lalu mereka berkata آمَنَّا بِرِبِّ الْعَالَمِينَ (“Kami beriman dengan Rabb semesta alam.”) 

Ayat 121

قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.

Ini adalah ucapan para ahli sihir Firaun apabila melihat mukjizat Nabi Musa as iaitu tongkatnya bertukar menjadi ular yang sebenar dan menelan kesemua ular sihir mereka. Hal ini mendorong mereka untuk bersujud kepada Allah Ta’ala dan mengucapkan bahawa mereka beriman kepada Rabb semesta alam. 

Ayat 122

رَبِّ مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ

“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.

Rabb yang dimaksudkan oleh para ahli sihir itu adalah Rabb kepada Nabi Musa as dan Nabi Harun as iaitu Tuhan segala sesuatu dan seluruh makhluk sama ada manusia mahupun jin. Secara tidak langsung, ini juga menunjukkan bahawa mereka telah menafikan ketuhanan Firaun. Mereka telah menyedari bahawa Firaun bukanlah Tuhan seperti yang mereka akui selama ini, bahkan di sebalik kekuasaannya, ada kekuasaan yang lebih tinggi dan lebih agung. 

Ayat 123

قَالَ فِرْعَوْنُ ءَامَنتُم بِهِۦ قَبْلَ أَنْ ءَاذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَمَكْرٌ مَّكَرْتُمُوهُ فِى ٱلْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا۟ مِنْهَآ أَهْلَهَا ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Firaun menjadi marah yang amat sangat apabila para ahli sihirnya berpihak kepada Nabi Musa as dan mengakui kebenarannya serta beriman dengan Tuhan yang disembah oleh Nabi Musa as dan Nabi Harun as sebelum mendapat keizinannya. Ucapan Firaun ini menunjukkan bahawa dia masih belum menyedari bahawa apa yang diperlihatkan oleh Nabi Musa as di hadapannya adalah mukjizat pemberian Allah Ta’ala yang tidak akan dapat dikalahkan oleh sesiapapun. 

Lalu Firaun menuduh para ahli sihirnya itu telah mengadakan kesepakatan dengan Nabi Musa as untuk mengusir pembesar-pembesar Mesir keluar dari negeri mereka dan seterusnya mereka dapat menguasai dan mengendalikan negeri tersebut. Firman-Nya: 

“………Sesungguhnya dia adalah pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu sekalian………..” 

Taha 20:71 

Ayat 124

لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَـٰفٍ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ

“Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Firaun memandang para ahli sihir itu telah bersalah. Ini kerana mereka telah beriman kepada Allah Ta’ala tanpa meminta izinnya terlebih dahulu. Oleh itu, dia berasa berhak dan berkuasa sambil mengancam dan bersumpah untuk menjatuhkan hukuman yang berat terhadap mereka dengan memotong tangan kanan dan kaki kiri atau sebaliknya. Sesudah itu masing-masing mereka akan disalib. 

Hukuman tersebut juga adalah sebagai ancaman kepada orang lain yang juga berniat untuk melakukan tipu daya seperti itu terhadapnya atau bermaksud untuk memberontak dan membebaskan diri daripada kekuasaannya. Firman-Nya: 

“………………Maka sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kaki kamu sekalian secara bersilang dan sesungguhnya aku akan menyalib kamu sekalian pada pangkal pohon kurma dan sesungguhnya kamu akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal seksaannya.” 

Taha 20:71 

Ibnu ‘Abbas ra berkata: “Firaun adalah orang yang pertama menyalib dan memotong tangan dan kaki secara bersilang.” 

Ayat 125

قَالُوٓا۟ إِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepada-Nya-lah kami mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa para ahli sihir sedikitpun tidak berasa gentar menghadapi ancaman Firaun kepada mereka. Iman mereka telah mantap dan dengan penuh keyakinan mengatakan bahawa sesungguhnya hanya kepada Allah Ta’ala mereka akan kembali dan mendapatkan keampunan serta rahmat-Nya yang sangat mereka dambakan. Firman-Nya: 

“Mereka berkata, ‘Tidak ada kemudharatan (bagi kami), sesungguhnya kami akan kembali kepada Rabb kami, sesungguhnya kami amat menginginkan bahawa Rabb kami akan mengampuni kesalahan kami, kerana kami adalah orang-orang yang pertama beriman.'” 

Asy-Syu’ara 26:50-51 

Ayat 126

وَمَا تَنقِمُ مِنَّآ إِلَّآ أَنْ ءَامَنَّا بِـَٔايَـٰتِ رَبِّنَا لَمَّا جَآءَتْنَا ۚ رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ

“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami”. (Mereka berdoa): “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepada-Mu)”.

Allah Ta’ala menyatakan ucapan seterusnya daripada para ahli sihir kepada Firaun. Mereka menyingkapkan kejahatan Firaun terhadap mereka, bahawa Firaun ingin membalas dendam kepada mereka dengan menyeksa mereka secara kejam. Semuanya itu hanyalah kerana mereka telah beriman kepada ayat-ayat-Nya ketika ayat-ayat tersebut telah datang kepada mereka. 

Kemudian para ahli sihir Firaun berdoa memohon kepada Allah Ta’ala agar Dia memberikan kesabaran kepada mereka supaya tetap memeluk agama-Nya dan berpegang teguh kepadanya. Mereka juga memohon agar Dia mematikan mereka dalam keadaan berserah diri kepada-Nya iaitu dalam keadaan mengikuti Nabi Musa as dan mentauhidkan-Nya.