Kisah Nabi Musa as – Mukjizat
Surah 7: Al-A’raf (103 – 112)
Ayat 103
ثُمَّ بَعَثْنَا مِنۢ بَعْدِهِم مُّوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَظَلَمُوا۟ بِهَا ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
Ini adalah permulaan kepada kisah Nabi Musa as dan Firaun yang diceritakan kepada Nabi Muhammad saw untuk meneguhkan hatinya dan sebagai peringatan kepada kaumnya (kafir Quraisy), selepas Allah Swt sebutkan kisah-kisah para nabi sebelumnya.
Firaun adalah gelaran bagi raja-raja Mesir dahulu. Firaun dan pengikutnya juga mengingkari dakwah Nabi Musa as. Lalu Allah Swt membinasakan mereka yang melakukan kerosakan, iaitu menenggelamkan mereka dan mengiringinya dengan celaan dan laknat di dunia dan pada hari kiamat. Itulah seburuk-buruk pembalasan yang diberikan.
Ayat 104
وَقَالَ مُوسَىٰ يَـٰفِرْعَوْنُ إِنِّى رَسُولٌ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.
Nabi Musa as menjelaskan kepada Firaun, bahawa Baginda diutus oleh Allah Pencipta, Pemelihara dan Penguasa seluruh alam.
Ayat 105
حَقِيقٌ عَلَىٰٓ أَن لَّآ أَقُولَ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْحَقَّ ۚ قَدْ جِئْتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ فَأَرْسِلْ مَعِىَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ
“Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin).
Nabi Musa as mengatakan kepada Firaun bahawa Baginda tidak layak mengatakan sesuatu terhadap-Nya, Tuhan semesta alam yang menguasai segala sesuatu, menciptakan dan mengatur segalanya kecuali yang benar iaitu semuanya yang datang daripada Allah Ta’ala.
Seterusnya Nabi Musa as mengatakan kepada Firaun bahawa sesungguhnya Baginda datang dengan membawa hujjah yang pasti daripada Allah Swt yang telah diberikan kepadanya sebagai bukti kebenaran terhadap apa yang Baginda bawa.
Oleh itu, Baginda meminta supaya Firaun melepaskan Bani Israil daripada tawanan dan kekuasaannya dan membiarkan mereka menyembah Rabbnya dan juga Rabb mereka, kerana mereka itu daripada keturunan seorang Nabi yang mulia, iaitu Yaakub bin Ishak bin Ibrahim as.
Ayat 106
قَالَ إِن كُنتَ جِئْتَ بِـَٔايَةٍ فَأْتِ بِهَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ
Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
Firaun tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Nabi Musa as dan tidak akan memenuhi tuntutan Baginda. Kemudian Firaun mengatakan sekiranya Nabi Musa as mempunyai hujjah, maka Baginda hendaklah mengemukakan buktinya.
Ayat 107
فَأَلْقَىٰ عَصَاهُ فَإِذَا هِىَ ثُعْبَانٌ مُّبِينٌ
Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
Nabi Musa as terus menjawab tentangan Firaun dengan melemparkan tongkat yang dipegang dengan tangan kanannya ke tanah, lalu tongkat itu bertukar menjadi ular besar yang bergerak-gerak.
Ayat 108
وَنَزَعَ يَدَهُۥ فَإِذَا هِىَ بَيْضَآءُ لِلنَّـٰظِرِينَ
Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
Setelah itu, Nabi Musa as mengeluarkan tangan dari bajunya, tiba-tiba tangan itu bertukar menjadi putih bercahaya seperti dalam firman Allah Swt:
“Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia akan keluar putih (bersinar) bukan kerana penyakit…………..”
An-Naml 27:12
Kedua-dua bukti (mukjizat) yang disebutkan ini menunjukkan kebenaran apa yang dibawa oleh Nabi Musa as iaitu Baginda adalah utusan Allah Rabbul ‘alamin. Namun bagi orang-orang yang tidak beriman walaupun telah ditunjukkan pelbagai bukti, mereka tidak akan beriman sehingga mendapat azab yang pedih.
Ayat 109
قَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِ فِرْعَوْنَ إِنَّ هَـٰذَا لَسَـٰحِرٌ عَلِيمٌ
Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
Ini adalah kata-kata pembesar-pembesar Firaun di kalangan kaumnya yang mempunyai pemikiran yang sama dengannya dan menjadi pembantunya. Mereka mengatakan bahawa Nabi Musa as berpengalaman dan menguasai ilmu sihir.
Ayat 110
يُرِيدُ أَن يُخْرِجَكُم مِّنْ أَرْضِكُمْ ۖ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ
“Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”
Para pembesar kaum Firaun bersetuju dengan perkataan Firaun tentang Nabi Musa as bahawa Baginda adalah ahli sihir yang pandai. Kemudian mereka bermusyawarah dan bersepakat untuk melawan sihirnya. Firman Allah Swt:
“Firaun berkata kepada pembesar-pembesar yang berada di sekelilingnya, ‘Sesungguhnya Musa ini benar-benar seorang ahli sihir yang pandai, dia hendak mengusir kamu dari negerimu sendiri dengan sihirnya, maka dengan sebab itu apakah yang kamu anjurkan?'”
Asy-Syu’ara 26:34-35
Selain itu pembesar-pembesar Firaun juga mengatakan bahawa kepakaran Nabi Musa as dalam bidang sihir akan dapat membantunya merebut kekuasaan Firaun dan mengeluarkan mereka daripada daerah itu. Firman Allah Swt:
“Mereka berkata, ‘Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya, dan supaya kamu berdua mempunyai kekuasaan di muka bumi? Kami tidak akan mempercayai kamu berdua.'”
Yunus 10:78
Setelah mendengar perkataan pembesar-pembesarnya, Firaun bertanya kepada mereka, tentang apa yang akan mereka cadangkan kepadanya.
Ayat 111
قَالُوٓا۟ أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَأَرْسِلْ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَـٰشِرِينَ
Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);
Maka pembesar-pembesar Firaun itu menjawab dengan memberi cadangan agar Firaun menangguhkan dahulu hal Nabi Musa as dan Nabi Harun as. Kemudian Firaun dicadangkan agar mengutuskan pasukan-pasukannya ke kota-kota dan daerah kekuasaannya untuk mengumpulkan para ahli sihir.
Ayat 112
يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَـٰحِرٍ عَلِيمٍ
“Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.
Para pembesar kaum Firaun itu mengatakan, hendaklah dibawakan ahli-ahli sihir yang sangat mahir, yang diharapkan akan dapat mengalahkan mukjizat Nabi Musa as yang telah diperlihatkannya kepada mereka. Ini menunjukkan betapa hebatnya mukjizat daripada Allah Ta’ala kepada Baginda sehingga mereka merasakan perlu untuk dikumpulkan semua ahli sihir yang pandai untuk melawannya.
Pada zaman itu, sihir sangat banyak sehingga hampir semua orang meyakini dan menyangka bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Musa as tidak ada bezanya dengan sihir daripada ahli-ahli sihir mereka. Oleh itu, mereka mengumpulkan para ahli sihir mereka untuk menandingi mukjizat Nabi Musa as. Firman Allah Swt:
“Dan kami pun pasti akan mendatangkan (pula) kepadamu sihir seperti itu, maka buatlah suatu waktu untuk pertemuan antara kami dan kamu, yang kami tidak akan menyalahinya dan tidak (pula) kamu di suatu tempat yang pertengahan (letaknya).” Berkata (Musa), “Waktu untuk pertemuan (kami dengan) kamu itu ialah pada hari raya dan hendaklah dikumpulkan manusia pada waktu sepenggalahan naik.” Maka Firaun meninggalkan (tempat itu), lalu mengatur tipu dayanya, kemudian dia datang.”
Taha 20:58-60