Kisah Nabi Syuaib as dan Penduduk Madyan
Surah 7: Al-A’raf (85 – 93)
Penduduk Madyan yang sering menipu dalam timbangan jual beli dan menakut-nakutkan orang dalam melakukan kebaikan
Ayat 85
وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۗ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ قَدْ جَآءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ فَأَوْفُوا۟ ٱلْكَيْلَ وَٱلْمِيزَانَ وَلَا تَبْخَسُوا۟ ٱلنَّاسَ أَشْيَآءَهُمْ وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Dia berkata: “Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Allah Swt mengutuskan Nabi Syu’aib as kepada penduduk Madyan. Madyan terletak di pantai Laut Merah di tenggara Gunung Sinai.
Nabi Syu’aib as menyeru kaumnya agar beribadah kepada Allah Ta’ala, tidak menyekutukan-Nya dan ini merupakan seruan setiap rasul. Baginda juga menjelaskan kepada kaumnya bahawa Dia telah menegakkan berbagai-bagai hujjah dan bukti yang menunjukkan kebenaran apa yang Baginda bawa.
Kemudian Nabi Syu’aib as menasihati kaumnya dalam hal mu’amalah (pergaulan mereka) dengan manusia iaitu agar mereka mencukupkan sukatan dan timbangan serta tidak merugikan hak-hak orang lain sedikitpun. Ini bermaksud mereka dilarang mengkhianati harta orang lain dan mengambilnya dengan cara mengurangi sukatan dan timbangan secara terselindung sebagaimana firman Allah Swt:
“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang iaitu orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dipenuhkan dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangkannya. Tidakkah orang-orang itu yakin, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan pada suatu hari yang besar, iaitu hari ketika manusia berdiri menghadap Rabb semesta alam?”
Al-Mutaffifin 83:1-6
Ayat 86
وَلَا تَقْعُدُوا۟ بِكُلِّ صِرَٰطٍ تُوعِدُونَ وَتَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِهِۦ وَتَبْغُونَهَا عِوَجًا ۚ وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ كُنتُمْ قَلِيلًا فَكَثَّرَكُمْ ۖ وَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
“Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan.
Ada beberapa pendapat tentang ayat, “Dan janganlah kamu duduk di tiap-tiap jalan dengan menakut-nakutkan” iaitu:
- Pendapat pertama ialah Nabi Syu’aib as melarang kaumnya merompak atau menakut-nakutkan orang yang lalu di jalanan dengan pembunuhan sekiranya mereka tidak memberikan harta kepada perompak tersebut.
- Pendapat kedua adalah daripada Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, dan beberapa orang ulama lain, mengatakan bahawa maksud ayat ini ialah Nabi Syu’aib as melarang kaumnya menakut-nakutkan orang-orang mukmin yang datang kepadanya dengan tujuan untuk mengikuti ajarannya. Namun begitu pendapat yang pertama adalah lebih jelas.
Pendapat yang kedua itu dikaitkan dengan firman Allah Swt, “Dan menghalang orang yang beriman dari jalan Allah dan menginginkan agar jalan Allah itu menjadi bengkok” yang bermaksud, mereka menginginkan supaya jalan Allah Ta’ala itu menjadi bengkok dan menyimpang.
Kemudian Nabi Syu’aib as mengingatkan mereka kepada masa dahulu, mereka dalam keadaan lemah, kerana sedikitnya jumlah mereka, kemudian mereka menjadi kuat setelah jumlah mereka bertambah. Oleh itu mereka diingatkan supaya bersyukur terhadap nikmat Allah Swt kepada mereka.
Selain itu, Nabi Syu’aib as juga mengingatkan mereka agar memperhatikan kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan daripada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka. Orang-orang sebelum mereka itu telahpun ditimpakan azab kerana mereka berani berbuat maksiat kepada Allah Swt dan mendustakan para rasul-Nya.
Ayat 87
وَإِن كَانَ طَآئِفَةٌ مِّنكُمْ ءَامَنُوا۟ بِٱلَّذِىٓ أُرْسِلْتُ بِهِۦ وَطَآئِفَةٌ لَّمْ يُؤْمِنُوا۟ فَٱصْبِرُوا۟ حَتَّىٰ يَحْكُمَ ٱللَّهُ بَيْنَنَا ۚ وَهُوَ خَيْرُ ٱلْحَـٰكِمِينَ
“Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukum-Nya di antara kita semua, dan Dia-lah jua sebaik-baik hakim”.
Nabi Syu’aib as menyatakan sekiranya ada di kalangan kaumnya yang masih tidak mahu beriman dengan apa yang dibawanya, maka tunggulah sehingga Allah Ta’ala menetapkan keputusan antara Baginda dan kaumnya. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik hakim dalam menetapkan hukuman. Dia akan menyelamatkan orang-orang yang benar dan membinasakan orang-orang yang melakukan kebatilan.
Ayat 88
قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لَنُخْرِجَنَّكَ يَـٰشُعَيْبُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَكَ مِن قَرْيَتِنَآ أَوْ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَا ۚ قَالَ أَوَلَوْ كُنَّا كَـٰرِهِينَ
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama kami”. Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?
Ini adalah jawapan daripada para pembesar penduduk Madyan terhadap suruhan Nabi Syu’aib as agar menyembah Allah Ta’ala semata-mata, menyempurnakan sukatan dan timbangan serta melarang mereka membuat kerosakan di muka bumi juga peringatan tentang datangnya azab sekiranya mereka masih menolak untuk beriman.
Para pembesar itu bersumpah dan mengancam dengan memberikan pilihan kepada Baginda berserta pengikutnya yang beriman sama ada mereka mengeluarkan Baginda serta pengikut-pengikutnya dari kampung halaman ataupun mereka akan memaksa Baginda dan pengikut-pengikutnya kembali kepada agama nenek moyang mereka.
Pada akhir ayat ini diterangkan bahawa Nabi Syu’aib as menjawab kata-kata mereka dengan pertanyaan dalam bentuk pengingkaran dan kehairanan iaitu adakah mereka akan tetap memaksa Baginda dan pengikutnya untuk kembali kepada agama mereka atau mengusirnya dengan para pengikutnya dari negeri Madyan apabila Baginda menolak anjuran mereka itu.
Ayat 89
قَدِ ٱفْتَرَيْنَا عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا إِنْ عُدْنَا فِى مِلَّتِكُم بَعْدَ إِذْ نَجَّىٰنَا ٱللَّهُ مِنْهَا ۚ وَمَا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّعُودَ فِيهَآ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ رَبُّنَا ۚ وَسِعَ رَبُّنَا كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا ۚ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلْنَا ۚ رَبَّنَا ٱفْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِٱلْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْفَـٰتِحِينَ
“Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Syu’aib as menegaskan kepada kaumnya, bahawa dia dan para pengikutnya sekali-kali tidak akan meninggalkan agama yang benar serta kembali kepada agama mereka, kecuali jika Allah Swt menghendakinya. Ini bermaksud bahawa Baginda berserta para pengikutnya dengan penuh keyakinan mempercayai bahawa agama yang dianuti oleh Baginda berserta para pengikutnya adalah agama yang benar serta dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat manakala agama yang dianuti oleh kaumnya yang kufur itu adalah batil dan jauh menyimpang daripada kebenaran.
Setelah itu, Nabi Syu’aib as menyatakan bahawa dirinya dan para pengikutnya bertawakkal kepada Allah Ta’ala. Mereka yakin Dial-ah yang akan melindungi mereka daripada segala ancaman dan gangguan kaumnya dan daripada segala bahaya yang Baginda sendiri tidak mempunyai keupayaan untuk menghindari dan melawannya. Ini kerana Allah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya kerana Dia Maha Adil lagi Maha Mengetahui.
Pada akhir ayat ini, Nabi Syu’aib as berdoa dan memohon kepada Allah Ta’ala agar Dia membuat keputusan antara Baginda dengan kaumnya yang ingkar. Ini kerana Dia yang memutuskan segala sesuatu dengan kebenaran dalam setiap perselisihan yang terjadi antara para rasul dengan kaum yang kafir.
Ayat 90
وَقَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لَئِنِ ٱتَّبَعْتُمْ شُعَيْبًا إِنَّكُمْ إِذًا لَّخَـٰسِرُونَ
Dan berkatalah pula Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): “Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah orang-orang yang rugi”.
Ayat ini menunjukkan bahawa kaum Nabi Syu’aib as tetap mengingkari ayat-ayat Allah Ta’ala dan mendustakan rasul-Nya. Mereka bukan sahaja tidak mahu beriman dengan apa yang dibawa oleh Baginda, malah mereka sudah menjadi keterlaluan dalam berbuat kezaliman. Antaranya mereka menghalang orang lain beriman kepada agama yang dibawa oleh Nabi Syu’aib as dengan bersumpah mengatakan sesiapa yang mengikuti Baginda akan rugi.
Ayat 91
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دَارِهِمْ جَـٰثِمِينَ
Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa penduduk Madyan yang ingkar itu telah ditimpa azab iaitu gempa yang sangat dahsyat. Ini kerana mereka enggan beriman kepada-Nya dan kerasulan Nabi Syu’aib as. Mereka juga cuba menyesatkan dan menjadikan orang-orang yang telah beriman kepada Baginda kembali kufur. Firman-Nya:
“Dan ketika datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-samanya dengan rahmat Kami. Dan orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang menggegarkan, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumah mereka.”
Hud 11:94
Ayat 92
ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ شُعَيْبًا كَأَن لَّمْ يَغْنَوْا۟ فِيهَا ۚ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ شُعَيْبًا كَانُوا۟ هُمُ ٱلْخَـٰسِرِينَ
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.
Allah Ta’ala menyatakan dengan sindiran bahawa orang-orang yang telah mengancam untuk mengusir Nabi Syuaib as dari Madyan, namun merekalah yang binasa dan hilang lenyap, sehingga seakan-akan mereka tidak pernah hidup dan mendiami negeri itu.
Allah Ta’ala juga mengatakan bahawa orang-orang yang mendustakan Nabi Syu’aib as dan mengingkari agama-Nya pasti akan rugi. Merekalah yang benar-benar mendapat kerugian yang sangat besar, sedangkan orang-orang yang beriman dan mengikuti agama yang dibawa oleh Nabi Syu’aib as selamat dan memperoleh redha-Nya.
Ayat 93
فَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَـٰقَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّى وَنَصَحْتُ لَكُمْ ۖ فَكَيْفَ ءَاسَىٰ عَلَىٰ قَوْمٍ كَـٰفِرِينَ
Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)”.
Kemudian Nabi Syu’aib as berpaling daripada mereka setelah mereka ditimpa azab, kebinasaan dan kehancuran. Baginda mengatakan bahawa tidak mungkin Baginda bersedih atas apa yang berlaku terhadap kaumnya yang kufur kerana mereka telah mengingkari keesaan Allah Ta’ala dan mendustakannya sebagai utusan-Nya.