Perintah untuk Bertolak dari Arafah ke Muzdalifah
Surah 2: Al-Baqarah (199)
Ayat 199
ثُمَّ أَفِيضُوا۟ مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ ٱلنَّاسُ وَٱسْتَغْفِرُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra, dia berkata, “Orang-orang Quraisy dan orang-orang seagama dengan mereka wukuf di Muzdalifah. Mereka menamakannya Al-Humus, sedangkan orang-orang Arab lainnya melaksanakan wukuf di Arafah. Setelah kedatangan Islam, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw untuk datang ke Arafah dan wukuf di sana, setelah itu bertolak darinya (menuju ke Muzdalifah).”
Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang yang mengerjakan haji agar memperbanyakkan istighfar (memohon ampun) kepada-Nya. Dia sangat luas keampunan dan rahmat-Nya kepada yang benar-benar ikhlas memohon kepada-Nya.
Ibnu Murdawaih meriwayatkan sebuah hadis oleh Imam Bukhari, daripada Syaddad bin Aus, dia mengatakan Rasulullah saw pernah bersabda, “Saiyyidul istighfar (penghulu istighfar) ialah seorang hamba mengucapkan:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتِنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلِيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ،
‘(Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Engkau, Engkau-lah yang menciptakan aku, dan aku adalah hamba-Mu, dan aku sentiasa memegang teguh janji-Mu menurut kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang telah aku perbuat. Aku mengakui anugerah nikmat-Mu bagiku, dan aku mengakui dosa-dosaku. Maka ampunilah daku, kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau.)’
Barangsiapa yang membacanya pada malam hari, lalu dia mati pada malam itu juga, nescaya dia masuk syurga. Dan barangsiapa yang membacanya pada siang hari, lalu dia meninggal dunia pada siang hari, nescaya dia masuk syurga.”
(HR. Al-Bukhari)