Surah 2: Al-Baqarah (197) 

Bulan-bulan Haji dan Beberapa Larangan dalam Haji 

Surah 2: Al-Baqarah (197) 


Ayat 197

ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَـٰتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar ra, dia mengatakan maksud, “Beberapa bulan yang dimaklumi,” dalam ayat ini ialah bulan Syawwal, Zulkaedah dan sepuluh hari pertama daripada bulan Zulhijjah.  

Ibnu ‘Abbas ra, Jabir, ‘Ata’, Tawus dan Mujahid mengatakan maksud ayat, “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi,” ialah ihram untuk haji tidak sah dilakukan kecuali pada bulan-bulan haji.  

Waktu haji ini dikhususkan pada beberapa bulan yang dimaklumi di antara seluruh bulan dalam setahun menunjukkan bahawa haji tidak sah bila dilakukan sebelumnya.  

Imam As-Syafi’e rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Tidak patut seseorang berihram untuk haji kecuali pada bulan-bulan haji kerana Allah Ta’ala berfirman, ‘(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi.’” 

Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dalam sahihnya daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Seseorang tidak boleh berihram untuk haji kecuali pada bulan  haji dan termasuk sunnah haji adalah berihram untuk haji pada bulan-bulan haji.” Sanad ini sahih. Ditegaskan dalam sebuah hadis marfu’ (bersumber daripada Rasulullah saw) yang diriwayatkan oleh Ibnu Maradawaih daripada Jabir, Rasulullah saw bersabda:  

“Tidak patut seseorang berihram untuk haji kecuali pada bulan-bulan haji.” 

(HR Ibnu Abi Syaibah)