Surah 2: Al-Baqarah (196) 

Perintah untuk Menunaikan Haji dan Umrah 

Surah 2: Al-Baqarah (196) 


Ayat 196

وَأَتِمُّوا۟ ٱلْحَجَّ وَٱلْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا ٱسْتَيْسَرَ مِنَ ٱلْهَدْىِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا۟ رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ ٱلْهَدْىُ مَحِلَّهُۥ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِۦٓ أَذًى مِّن رَّأْسِهِۦ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ فَإِذَآ أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِٱلْعُمْرَةِ إِلَى ٱلْحَجِّ فَمَا ٱسْتَيْسَرَ مِنَ ٱلْهَدْىِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ فِى ٱلْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُۥ حَاضِرِى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksa-Nya (terhadap orang-orang yang melanggar perintah-Nya).

Allah Swt menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman agar menyempurnakan ibadah haji dan umrah untuk-Nya, maka hendaklah mereka melaksanakannya dengan ikhlas kerana-Nya. 

Apabila mereka terkepung atau terhalang (ihshar – ٱحْصَرْ) daripada menyempurnakan kedua-dua ibadah ini setelah berihram seperti adanya musuh atau sakit, maka yang wajib mereka lakukan adalah menyembelih binatang korban yang mudah didapati seperti unta, lembu atau kambing agar dapat mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala dan dapat keluar daripada keadaan berihram dengan bertahallul iaitu mencukur rambut atau memotong beberapa helai daripadanya. Penyembelihan binatang korban itu adalah sebagai denda (dam). 

Apabila seseorang sedang berihram telah melakukan suatu yang dilarang ketika dalam ihram seperti mencukur rambut atau memakai pakaian yang berjahit atau menutup kepalanya maka wajib atasnya membayar fidyah iaitu dengan memilih salah satu daripada tiga perkara: 

  • Berpuasa tiga hari. 
  • Memberi makan enam orang miskin, setiap seorang setengah sha’ daripada makanan. (Satu sha’ dalam timbangan sekarang adalah sama dengan 3 kg – ukuran yang paling berhati-hati). 
  • Menyembelih seekor kambing untuk dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram. 

Dalam ayat ini juga terdapat penjelasan tentang haji tamattu’ iaitu melakukan umrah dahulu sebelum ibadah haji (pada bulan-bulan haji). Sekiranya orang-orang yang mengerjakan haji ini bukan penduduk Mekah atau tanah suci di sekitarnya, berihram dengan niat umrah pada bulan-bulan haji dan telah bertahallul dan masih tinggal di Mekah serta melakukan haji pada tahun itu wajib atasnya menyembelih binatang korban (hadyu). Sekiranya dia tidak mampu maka dia wajib berpuasa selama tiga hari di Mekah dan tujuh hari di kampung halamannya. Inilah sepuluh hari yang sempurna. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan mereka agar bertakwa kepada-Nya dengan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya seksaan-Nya amat pedih bagi orang-orang yang melanggar perintah-perintah-Nya.