Syariat Berperang
Surah 2: Al-Baqarah (191 – 194)
Ayat 191
وَٱقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُم مِّنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ ۚ وَٱلْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۚ وَلَا تُقَـٰتِلُوهُمْ عِندَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ حَتَّىٰ يُقَـٰتِلُوكُمْ فِيهِ ۖ فَإِن قَـٰتَلُوكُمْ فَٱقْتُلُوهُمْ ۗ كَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.
Orang-orang mukmin diperintahkan oleh Allah Ta’ala memerangi orang-orang musyrik yang memerangi mereka di mana sahaja mereka itu ditemui, baik di tanah halal ataupun di Tanah Haram (Mekah dan sekitarnya). Ini sebagaimana firman-Nya:
“………..dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
At-Taubah 9:36
Antara sebab-sebab diperintahkan mengusir orang-orang musyrik dari Mekah ialah:
- Mereka pernah mengusir orang-orang mukmin dari Mekah iaitu negeri asal orang-orang mukmin.
- Adanya orang-orang musyrik di Mekah akan mendatangkan bahaya kepada kemurniaan agama Islam.
- Fitnah kewujudan mereka di Mekah lebih besar daripada membunuh. Maksud fitnah dalam ayat ini ialah kekafiran, kesyirikan dan berpaling daripada jalan Allah Ta’ala yang mereka lakukan itu lebih berat, lebih kejam dan lebih dahsyat daripada pembunuhan. Ini kerana bagi orang-orang mukmin yang merdeka, akidah merupakan satu perkara yang paling berharga dan tinggi nilainya daripada segala yang ada dalam dunia ini. Akidah melibatkan balasan syurga atau neraka. Selain itu kaum musyrikin ini juga melakukan penganiayaan terhadap kaum muslimin dengan cara mengusir, merampas harta serta menghalang mereka melaksanakan ibadah dan sebagainya.
Namun Allah Ta’ala melarang kaum muslimin memerangi kaum musyrikin dalam Masjidil Haram kerana sesiapa yang memasukinya bererti aman kecuali jika kaum musyrikin memerangi mereka.
Ayat 192
فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Jika orang-orang musyrik berhenti memerangi kaum muslimin dan memeluk Islam, Allah Ta’ala akan mengampuni dosa-dosa mereka walaupun sebelum ini mereka telah melakukan dosa yang sangat besar, iaitu mereka kufur dan mensyirikkan Allah. Firman-Nya:
“Katakanlah, ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”
Az-Zumar 39:53
Ayat 193
وَقَـٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَلَا عُدْوَٰنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
Allah Swt memerintahkan kaum muslimin memerangi kaum musyrikin sehingga tidak ada lagi orang-orang yang melakukan kesyirikan dan juga tidak ada lagi gangguan dalam beragama. Umat Islam akan berasa aman dalam mentaatiNya dan usaha penyebaran dakwah Rasulullah saw tidak lagi terganggu. Inilah yang dimaksudkan dengan ayat, “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah”
Maksud “dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah.” ialah sehingga agama Allah Ta’ala menang mengatasi agama-agama lain.
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari ra, dia berkata Rasulullah saw pernah ditanya tentang seseorang yang berperang kerana keberanian, berperang kerana kesombongan, berperang kerana riya’; manakah antara ketiga-tiga tersebut termasuk berperang di jalan Allah? Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang berperang agar kalimat Allah menjadi paling tinggi, maka dia berada di jalan Allah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda:
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) kecuali Allah. Apabila mereka mengatakannya, maka terpeliharalah darah dan harta mereka daripadaku, kecuali dengan haknya dan hisab mereka terserah kepada Allah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” ialah sekiranya orang-orang musyrik menghentikan perbuatan mereka berupa kesyirikan dan pembunuhan terhadap kaum muslimin, maka Allah Ta’ala memerintahkan kaum muslimin menghentikan permusuhan terhadap mereka.
Ayat 194
ٱلشَّهْرُ ٱلْحَرَامُ بِٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ وَٱلْحُرُمَـٰتُ قِصَاصٌ ۚ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَٱعْتَدُوا۟ عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا ٱعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ
(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.
Sekiranya umat Islam diserang pada bulan-bulan haram (Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah), iaitu bulan yang tidak dibenarkan berperang, umat Islam dibolehkan membalas serangan tersebut pada bulan itu juga kerana pihak musuh yang terlebih dahulu memulakannya.
Ayat “Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu;” bermaksud jika berlaku pencerobohan oleh orang-orang kafir pada perkara-perkara yang dilarang, maka mereka boleh dikenakan hukum qisas iaitu orang-orang beriman boleh melakukan pembalasan yang setimpal dan dengan tindakan yang serupa.