Surah 2: Al-Baqarah (177) 

Sifat Orang Beriman dan Bertakwa

Surah 2: Al-Baqarah (177) 


Ayat 177

لَّيْسَ ٱلْبِرَّ أَن تُوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلْكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُوا۟ ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلْبَأْسِ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُتَّقُونَ

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

Ketika Allah swt memerintahkan orang-orang mukmin menjadikan Kaabah sebagai kiblat mereka yang sebelum ini mereka menghadap ke Baitul Maqdis, sebahagian daripada ahli kitab dan kaum muslimin berasa keberatan. Lalu Dia memberi penjelasan tentang hikmah pertukaran arah kiblat tersebut. 

Maksud pertukaran itu tidak lain adalah tentang ketaatan kepada Allah Ta’ala, kepatuhan terhadap semua perintahNya, menghadap ke mana sahaja yang Dia perintahkan dan mengikut sahaja apa yang disyariatkanNya. Itulah yang disebut sebagai kebajikan, ketakwaan dan keimanan yang sempurna. Sedangkan menghadap ke arah timur atau barat itu tidaklah dikira sebagai kebajikan dan ketaatan selagi bukan kerana perintahNya. 

Ayat ini juga menunjukkan bahawa ajaran Islam terdiri daripada aqidah dan syariat. Aqidah menerangkan tentang keimanan manakala syariat menerangkan tentang amalan-amalan yang diperintahkan dalam Islam. Pada amalan tersebut terdapat akhlak kepada Allah Ta’ala dan akhlak kepada manusia. 

Kebajikan adalah iman yang hakiki dan sempurna kepada pokok-pokok aqidah iaitu: 

  • Beriman kepada Allah sebagai Tuhan yang Esa dan tiada sekutu bagiNya. Itulah iman yang mendatangkan perasaan yang agung dan tinggi dalam hati seseorang, membuat hati menjadi tenteram dan tenang. FirmanNya: 

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” 

Ar-Ra’d 13:28 

  • Beriman kepada hari akhirat iaitu mempercayai adanya tempat perhitungan amal dan balasan sama ada ke syurga atau ke neraka. 
  • Membenarkan adanya para malaikat yang diciptakan daripada cahaya, sentiasa tunduk dan patuh pada arahan Allah Ta’ala. 
  • Beriman kepada semua kitab iaitu Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. 
  • Beriman kepada semua nabi tanpa membezakan antara satu dengan yang lain. Hal ini menuntut kita mencontohi kesabaran dan ketaatan mereka terhadap perintah Allah Ta’ala. 
  • Menginfakkan harta yang dicintai kepada orang-orang yang memerlukan seperti: 
  • Kaum kerabat. Mereka ini adalah golongan yang paling berhak untuk diberikan pertolongan kerana adanya hubungan kekeluargaan. Berbuat kebajikan kepada kaum kerabat merealisasikan dua perkara iaitu silaturrahim dan pahala sedekah. Rasulullah saw bersabda: 

“Sedekah kepada orang-orang miskin dapat satu pahala. Sedekah kepada kaum kerabat dapat dua pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturrahim. Mereka adalah orang yang paling utama bagimu untuk mendapatkan kebaikan serta pemberianmu.” 

(HR. Ahmad) 

  • Anak-anak yatim iaitu anak-anak yang kehilangan bapa ketika mereka belum baligh dan tidak ada yang menafkahi mereka. 
  • Orang-orang miskin, apatah lagi orang-orang fakir. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

“Orang miskin itu bukanlah orang yang berjalan mengelilingi orang ramai lalu diberi satu atau dua biji kurma, sesuap atau dua suap makanan, tetapi orang miskin itu adalah orang yang tidak memperoleh penghasilan yang mencukupi, serta tidak mendapatkan jalan untuk memperolehnya sehingga dia berhak diberi sedekah.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

  • Ibnu sabil iaitu orang yang bermusafir dan kehabisan bekalan dalam perjalanan sehingga tidak dapat pulang ke kampung halamannya. Mereka berhak mendapat sedekah sehingga dapat kembali ke negerinya. 
  • Orang-orang yang meminta-minta agar diberikan bantuan kerana keperluan hidup. Etika meminta dilakukan tanpa mendesak. 
  • Membantu memerdekakan hamba sahaya. Mereka adalah hamba sahaya yang ada perjanjian untuk menebus dirinya tetapi tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana sumber untuk melakukannya. 
  • Mendirikan solat secara sempurna dengan rukun-rukun dan syarat-syaratnya sehingga terdidik jiwa dan akhlaknya. Firman Allah Ta’ala:  

“………..Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar……..” 

Al-‘Ankabut  29:45

  • Menunaikan zakat dengan memberi zakat kepada yang berhak menerimanya. Firman Allah Ta’ala: 

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” 

At-Taubah 9:60

  • Orang-orang yang menepati janji apabila berjanji. Lawan daripada sifat ini ialah munafik. Rasulullah saw bersabda: 

Tanda-tanda orang munafik ada tiga. Jika berbicara dia bohong. Jika berjanji dia mungkiri. Bila diberi kepercayaan dia khianat.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

  • Orang-orang yang sabar dalam kesusahan, kesempitan, penderitaan, mudharat seperti sakit dan dalam peperangan menghadapi musuh. 

Orang-orang yang mempunyai sifat-sifat kebajikan seperti di atas, itulah orang-orang yang benar-benar beriman dan bertakwa.