Surah 2: Al-Baqarah (172 – 173) 

Perintah Makan Makanan yang Baik dan Larangan Makan Makanan yang Haram 

Surah 2: Al-Baqarah (172 – 173) 


Ayat 172

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ayat ini merupakan perintah khusus kepada orang-orang mukmin dan bukannya kepada seluruh manusia kerana hanya orang mukmin yang memahami nasihat yang disampaikan.  

Allah Ta’ala memerintahkan mereka makan makanan yang baik-baik dan bersyukur kepadaNya dengan hati, lisan dan juga anggota badan. Dia juga memerintahkan mereka menggunakan nikmat kurniaanNya untuk taat kepadaNya dan mengerjakan amal soleh sama seperti yang diperintahkan kepada para rasul-Nya. FirmanNya:  

“Wahai para rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

Al-Mu’minun 23:51 

Ayat 173

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Ta’ala menyebutkan tentang haram makan makanan yang kotor dan membahayakan seperti yang disebutkan iaitu bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang disebut selain namaNya ketika menyembelihnya.  

Allah Ta’ala menambah lagi makanan yang diharamkan dalam surah yang lain. FirmanNya:  

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala…” 

Al-Mai’idah 5:3  

Terdapat beberapa hadis tentang binatang yang halal dan haram dimakan, antaranya:  

“Ketika perang Khaibar, Rasulullah saw melarang makan daging keledai jinak dan membolehkan makan daging kuda.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

“Makan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap burung yang berkuku tajam adalah haram.” 

(HR. Abu Daud)  

“Dihalalkan bagi kita dua bangkai: ikan dan belalang, dan dihalalkan dua darah: hati dan limpa.” 

(HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Ad-Daruquthni) 

Dibolehkan makan makanan yang haram ketika keadaan darurat merupakan rahmat dan kelapangan Allah Ta’ala kepada hamba-hambaNya. Dibolehkan dengan syarat tidak melampaui batas, iaitu memakannya sedangkan dia tidak menginginkannya, dan tidak mengulangi memakannya (setelah hilang keadaan keterpaksaannya).  

Oleh sebab itu, ayat ini diakhiri dengan dua namaNya yang mulia iaitu bahawa Allah swt Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya.