Orang Musyrik Hanya Mengikut Agama Nenek Moyang Mereka
Surah 2: Al-Baqarah (170 – 171)
Ayat 170
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلْ نَتَّبِعُ مَآ أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ ۗ أَوَلَوْ كَانَ ءَابَآؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْـًٔا وَلَا يَهْتَدُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
Ayat ini menjelaskan keadaan orang-orang kafir atau orang-orang yang sesat apabila diajak untuk mentauhidkan Allah Ta’ala dan meninggalkan tradisi yang menyalahi ajaran agama-Nya. Mereka tetap mengikut kebiasaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak memahami sedikit pun kebenaran dalam hal-hal aqidah dan ibadah serta tidak memiliki dalil yang menyokong malah menyimpang dari jalan yang benar.
Ayat ini juga menunjukkan tercelanya sikap bertaklid buta (mengikut tanpa dalil). Namun bertaklid (mengikuti) para ahli ijtihad setelah mengetahui dalil yang dibawa adalah dibenarkan. Firman Allah Ta’ala:
“…………….maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”
Al-Anbiya’ 21:7
Ayat 171
وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلَّا دُعَآءً وَنِدَآءً ۚ صُمٌّۢ بُكْمٌ عُمْىٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.
Kemudian Allah Ta’ala membuat suatu perumpamaan tentang sikap orang-orang kafir yang bertaklid (ikut) secara membuta tuli terhadap amalan dan tradisi nenek moyang mereka sehingga mereka terus berada dalam kesesatan. Mereka tidak mahu memahami dan mengkaji dalil-dalil yang disampaikan kepada mereka.
Golongan kafir ini diibaratkan seperti haiwan ternakan. Ini kerana apabila dipanggil oleh penggembala untuk diiringi ke padang rumput dan perairan atau menggertaknya agar menjauhi kawasan terlarang, haiwan ini patuh pada perintah penggembala tersebut. Namun haiwan itu tidak dapat memikirkan dan memahami sedikitpun apa yang dikatakan oleh penggembala. Mereka hanya tunduk kepada arahan suara dan menuruti arahan hanya berdasarkan kebiasaan.
Oleh itu golongan kafir ini disamakan dengan haiwan ternakan kerana mereka tidak mahu mendengar kebenaran seolah-olah mereka tuli dan pekak. Mereka juga tidak mahu melihat tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Ta’ala seolah-olah mereka buta. Oleh itu, mereka tidak dapat melihat jalan kebenaran.