Perintah Makan Makanan yang Halal dan Larangan Mengikuti Langkah Syaitan
Surah 2: Al-Baqarah (168 – 169)
Ayat 168
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَـٰلًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Allah Ta’ala memerintahkan manusia makan rezeki yang dikurniakan-Nya di muka bumi ini daripada yang halal lagi baik. Maksud (طَيِّبْ) dalam ayat ini ialah baik dan bermanfaat serta tidak membahayakan diri. Manakala (حَلَٰلًا) iaitu halal bermaksud tidak ada syubhat (keraguan) di dalamnya dan tidak mengandungi unsur dosa serta tidak pula berkaitan dengan hak orang lain.
Maksud “Wahai sekalian manusia” di dalam ayat ini ialah seruan kepada seluruh manusia baik yang mukmin mahupun yang kafir. Ini kerana nikmat yang Allah Ta’ala berikan adalah untuk seluruh manusia. Kekufuran seseorang itu tidak menghalangnya mendapat nikmat-Nya di dunia.
Makanan yang diharamkan ada 2 jenis:
- Diharamkan kerana zatnya seperti bangkai, darah, nanah, daging babi (kecuali jika darurat) dan binatang-binatang yang disembelih bukan atas nama Allah Ta’ala.
- Diharamkan kerana sebab-sebab tertentu seperti makanan yang diperoleh melalui sumber riba, tipu daya, rasuah dan lain-lain.
Seterusnya Allah Ta’ala melarang manusia mengikuti langkah-langkah syaitan. Ini kerana syaitan adalah musuh manusia yang nyata dan tidak pernah menginginkan sesuatu perkara melainkan bertujuan menjerumuskan manusia ke dalam neraka bersama-sama dengannya.
Ayat 169
إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِٱلسُّوٓءِ وَٱلْفَحْشَآءِ وَأَن تَقُولُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).
Ayat ini merupakan peringatan daripada Allah Ta’ala agar manusia menjauhkan diri daripada syaitan yang merupakan musuh mereka. Syaitan akan menggoda dan merayu manusia agar melakukan dosa, iaitu maksiat yang sememangnya buruk di sisi syara’ dan akal sama ada berupa perkataan ataupun perbuatan.
Ada yang berpendapat bahawa ٱلسُّوٓءِ (jahat) adalah segala yang memburukkan keadaan orang yang melakukannya termasuklah segala bentuk maksiat. Manakala ٱلْفَحْشَآءِ (keji) adalah segala perbuatan yang keji iaitu segala bentuk dosa dan maksiat seperti zina, liwat, membunuh, minum arak dan lain-lain.
Syaitan juga menyuruh manusia mengatakan terhadap Allah Ta’ala apa yang tidak mereka ketahui dengan menanamkan keyakinan bahawa itu adalah syariat-Nya dalam akidah dan syiar keagamaan. Selain itu, ia juga menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal untuk tujuan merosakkan akidah dan mengubah syariat-Nya.