Surah 2: Al-Baqarah (158) 

Safa & Marwah adalah Sebahagian Syiar Islam  

Surah 2: Al-Baqarah (158) 


Ayat 158

إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلْمَرْوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ ٱلْبَيْتَ أَوِ ٱعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ ٱللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

Allah swt menjelaskan bahawa Safa dan Marwah serta sa’i antara kedua-duanya adalah termasuk sebahagian daripada agamaNya, iaitu sebahagian daripada manasik haji dan umrah yang menjadi bukti ketundukan dan penghambaan kepadaNya.  

At-Tabari mengatakan daripada Asy-Sya’bi bahawa dahulu pada masa jahiliyah di bukit Safa ada sebuah berhala yang bernama Isaf, dan di atas bukit Marwah ada berhala bernama Na’ilah. Pada masa itu, apabila telah selesai mengerjakan tawaf di Kaabah, mereka (orang-orang Arab jahiliyyah) biasanya akan mengusap kedua-dua berhala ini. Setelah Islam datang dan semua berhala telah dihancurkan, kaum muslimin masih menganggap bahawa Safa dan Marwah bukan termasuk syiar Islam kerana tempat itu dijadikan sa’i demi berhala tersebut. Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat yang menyatakan bahawa kedua-dua bukit itu termasuk sebahagian daripada syiar agama. Tidak ada dosa bagi kaum muslimin melakukan sa’i antara kedua-duanya kerana mereka mengerjakan sa’i kerana Allah Ta’ala dan bukan kerana berhala. 

Allah Ta’ala menyuruh kita mengagungkan syiarNya seperti firmanNya:  

“Demikianlah perintah Allah. Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul daripada ketakwaan hati.” 

Al-Hajj 22:32