Bentuk-bentuk Ujian Allah Swt dan Keutamaan Orang yang Bersabar Menghadapinya
Surah 2: Al-Baqarah (155 – 157)
Ayat 155
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Allah Swt memberitahu bahawa Dia benar-benar akan menguji hamba-hamba-Nya. Ujian yang diberikan-Nya itu kadang-kadang berupa kesusahan, rasa takut, kelaparan, berkurangnya harta kerana kesukaran mendapatkannya atau hilang jiwa dengan sebab terjadi kematian sama ada mati biasa ataupun mati syahid pada jalan Allah.
Kadang-kadang Allah Ta’ala juga berikan ujian berupa kekurangan buah-buahan dan hasil tanaman serta lain-lain lagi. Tujuan ujian ini adalah untuk mengetahui keadaan diri hamba-hamba-Nya. Firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.”
Muhammad 47:31
Sesiapa yang bersabar dengan ujian, Allah Ta’ala akan memberikan ganjaran pahala. Sebaliknya sesiapa yang berputus asa, Dia akan membalasnya dengan seksaan-Nya. Oleh sebab itulah Allah Ta’ala menyatakan, “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Ayat 156
ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Allah Ta’ala memuji orang-orang yang bersabar, apabila ditimpa musibah mereka segera mengucapkan kalimah “Istirja’’ iaitu ucapan, إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ (“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali.”) Ucapan ini menunjukkan mereka berusaha menenangkan diri atas apa yang mereka rasai dan menyedari bahawa diri mereka adalah milik Allah Ta’ala. Dia boleh memperlakukan hamba-Nya mengikut kehendak-Nya.
Selain itu, mereka mengetahui bahawa Allah Ta’ala tidak akan mensia-siakan amalan mereka pada hari kiamat kelak meskipun sebesar biji sawi.
Pahala tentang ucapan “Istirja” ketika tertimpa musibah telah disebutkan dalam banyak hadis. Antaranya daripada Ummu Salamah ra. Rasulullah saw bersabda:
“Tidak seorang pun di antara orang-orang muslim yang ditimpa musibah, lalu dibacanya apa yang diperintahkan Allah Ta’ala:
إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ. اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
(“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali.” Ya Allah berikanlah pahala dalam musibahku ini dan berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya),’ nescaya Allah Ta’ala memberi ganjaran kepadanya dalam bencana tersebut dan memberikan ganti kepadanya yang lebih baik daripadanya.”
(HR. Muslim)
Ayat 157
أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.
Allah Ta’ala menjanjikan tiga ganjaran kepada orang-orang yang sabar:
- Selawat, iaitu keberkatan dalam hidup, pengampunan terhadap dosa-dosa serta pujian daripada Allah Ta’ala.
- Rahmat, iaitu kasih sayang Allah Ta’ala yang kesannya dapat dilihat daripada ketenangan jiwa seseorang ketika menghadapi musibah. Sikap ini menjadikan orang-orang kafir iri hati kepada orang-orang yang beriman.
- Hidayah, iaitu mereka akan sentiasa mendapat bimbingan daripada Allah Ta’ala untuk menuju ke jalan yang benar. Akhirnya mereka mendapat keselesaan hidup di dunia dan ganjaran pahala di akhirat.