Surah 2: Al-Baqarah (151 – 152) 

Pengutusan Rasulullah saw Merupakan Nikmat yang Terbesar  

Surah 2: Al-Baqarah (151 – 152) 


Ayat 151

كَمَآ أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا۟ تَعْلَمُونَ

(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

Ayat di atas turut menyenaraikan beberapa tugas Rasulullah saw:

  • Membacakan ayat-ayat Allah kepada manusia. Ini termasuklah ayat-ayat Al-Quran dan lain-lain yang membimbing ke jalan yang lurus. 
  • Mensucikan manusia seperti daripada syirik kepada tauhid, daripada takbur kepada tawadhuk, daripada riya’ kepada ikhlas dan lain-lain. 
  • Mengajarkan Al-Quran dan As-Sunnah kepada manusia. Manusia yang berpegang teguh kepada kedua-duanya akan selamat daripada kesesatan. 
  • Mengajarkan manusia apa yang belum diketahui seperti berita tentang alam ghaib, perjalanan hidup para nabi, keadaan umat zaman silam dan lain-lain. 
Ayat 152

فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

Kemudian Allah Ta’ala menyuruh manusia agar mensyukuri nikmat-Nya kerana kemuncak zikir (mengingati-Nya) adalah syukur dan kemuncak kesyukuran pula adalah mempertingkatkan ibadah atau kepatuhan kepada-Nya. Firman-Nya: 

“Dan (ingatlah juga), tatkala ketika Rabbmu memaklumkan, ‘Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’” 

Ibrahim 14:7