Surah 2: Al-Baqarah (146 – 147) 

Ahli Kitab Menyembunyikan Kebenaran tentang Kerasulan Rasulullah saw

Surah 2: Al-Baqarah (146 – 147) 


Ayat 146

ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَعْرِفُونَهُۥ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَآءَهُمْ ۖ وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ ٱلْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa orang-orang berilmu daripada kalangan ahli kitab mengetahui kebenaran syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw sebagaimana mereka mengetahui dan mengenali anak-anak mereka sendiri. Allah Ta’ala juga memberitahu bahawa meskipun mereka yakin dan mengetahui secara pasti tentang sifat-sifat Rasulullah saw, seperti yang telah tertulis di dalam kitab mereka, mereka masih menyembunyikan kebenaran tersebut. 

Ayat 147

ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُمْتَرِينَ

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

Allah Ta’ala memberi penegasan kepada Rasulullah saw dan orang-orang mukmin bahawa apa yang dibawa oleh Baginda adalah kebenaran yang datang daripadaNya dan tidak perlu diragukan.