Surah 2: Al-Baqarah (142 – 145) 

Pertukaran Arah Kiblat  

Surah 2: Al-Baqarah (142 – 145) 


Ayat 142

سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Al-Bara’ ra, bahawa Rasulullah saw ketika berada di Madinah, Baginda menunaikan solat dengan menghadap ke arah Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Sedangkan Baginda sangat mengharapkan agar dapat menghadap ke arah Kaabah dan sering mengarahkan pandangan ke langit. Allah Ta’ala pun menurunkan firman-Nya, “Sesungguhnya Kami (sering) melihat mukamu (Muhammad) mendongak ke langit………” (Al-Baqarah 2:144). Kaum Yahudi lantas berkata, “Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka berkiblat kepadanya?” Katakanlah, “Kepunyaan Allah timur dan barat.” 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang lemah akal daripada ahli kitab tertanya-tanya mengapa orang-orang Islam sudah mengubah arah kiblat mereka. Dahulu mereka menghadap Baitul Maqdis, kini menghadap pula ke arah Kaabah. Ini adalah sebagai tanda mereka hanya ingin memperolok-olokkan dan juga menentang Rasulullah saw. 

Oleh itu, Allah Ta’ala mengajar Rasulullah saw mengatakan bahawa semua arah adalah milik Allah. Apabila Dia memerintahkan supaya menghadap ke mana sahaja, ke situlah hambaNya menghadap. Hanya Dia yang dapat memberikan hidayah dan bimbingan kepada sesiapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus. 

Allah Ta’ala menceritakan perubahan arah kiblat dalam ayat ini lebih awal daripada peristiwa tersebut berlaku dan mengajar Rasulullah saw beberapa hujjah sebagai jawapan terhadap golongan yang menentangnya. Ini juga merupakan mukjizat Baginda saw. 

Ayat 143

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَـٰكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا ٱلْقِبْلَةَ ٱلَّتِى كُنتَ عَلَيْهَآ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

Umat Islam adalah umat yang telah mendapat petunjuk Allah Ta’ala sehingga mereka telah menjadi umat yang adil dan terpilih seperti firmanNya: 

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakannya adalah orang-orang yang fasik.” 

Ali ‘Imran 3:110 

Sifat adil dan sederhana terserlah dengan begitu jelas pada segala tindak-tanduk Rasulullah saw yang wajib diikuti oleh umatnya. Baginda akan menjadi saksi ke atas umatnya dan umatnya pula akan menjadi saksi atas keingkaran orang-orang kafir. Firman Allah: 

“……………Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.” 

Al-Hajj 22:78 

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala mendedahkan rahsia dan hikmah mengapa Dia mengubah arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah, iaitu untuk menguji orang-orang yang beriman siapakah antara mereka yang benar-benar beriman kepada Rasulullah saw dan siapa dalam kalangan mereka yang hanya berpura-pura dan ragu-ragu. Ini kerana pertukaran arah kiblat itu dirasakan sangat berat oleh orang yang masih lemah imannya tetapi tidak bagi orang yang telah mendapat petunjukNya. 

Sudah menjadi ketentuan Allah Ta’ala bahawa Dia akan menguji iman manusia adakah imannya mantap atau hanya dakwaan seperti firmanNya: 

“Adakah manusia fikir bahawa mereka akan dibiarkan hanya (sahaja) dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji lagi? dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya orang-orang yang berdusta.” 

Al-‘Ankabut 29:2-3 

Orang-orang yang benar-benar beriman memahami bahawa rahsia dan hikmah beribadah menghadap kiblat hanyalah semata-mata kerana mematuhi perintah Allah Ta’ala, bukan kerana zat tempat atau kiblat itu sendiri. Bagi mereka, ke mana pun berada, mereka mesti menghadap kiblat dan bukanlah menjadi satu masalah tetapi yang paling penting ialah kepatuhan mereka untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala. 

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menegaskan bahawa dengan adanya perubahan arah kiblat tersebut tidak bermaksud amalan mereka yang lepas akan menjadi sia-sia. Ini ada disebutkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Al-Bara’ ra, katanya sebelum kiblat ditukarkan ke Kaabah, sejumlah orang Islam telah meninggal dunia, sedangkan mereka sebelum itu telah solat menghadap Baitul Maqdis dan mereka tidak tahu tentang status mereka. Lalu Allah berfirman, “Dan Allah tidak akan mensia-siakan imanmu.” 

Ayat 144

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Perkara yang mula-mula sekali dinasakh (dihapuskan hukumnya) di dalam Al-Quran adalah masalah kiblat. Hal ini terjadi ketika Rasulullah ‎saw berhijrah ke Madinah. Ketika itu majoriti penduduknya adalah kaum Yahudi. Maka Allah Ta’ala memerintahkan Baginda menghadap ke Baitul Maqdis. Orang-orang Yahudi pun berasa gembira kerana Rasulullah saw menghadap ke Baitul Maqdis dalam tempoh belasan bulan, padahal Baginda sendiri menyukai untuk menghadapkan wajah Baginda ke arah kiblat Nabi Ibrahim as. Oleh itu Baginda berdoa dan memohon kepada Allah Ta’ala sambil mendongak wajahnya ke langit, lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat ini, “Sungguh Kami (sering) melihat mukamu (Muhammad) mendongak ke langit, maka sungguh akan Kami palingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu.” 

Maksud ayat, “Dan di mana sahaja kamu berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya” ialah Allah Ta’ala memerintahkan menghadap ke arah Kaabah dari setiap penjuru bumi, baik timur mahupun barat, utara mahupun selatan, kecuali bagi orang-orang yang dapat melihat Kaabah secara langsung, maka hendaklah dia melihat Kaabah. 

Sekiranya kedudukan mereka yang tidak menghadap ke arah Kaabah maka solat mereka tidak sah dan hendaklah mengulangi semula solat tersebut, kecuali dalam beberapa keadaan iaitu: 

  • Solat sunat dalam keadaan bermusafir. Solat sunat ini boleh dilakukan dengan menghadap ke arah mana sahaja kenderaannya menghadap. 
  • Solat dalam keadaan perang yang berkecamuk. 
  • Solat yang dilakukan oleh orang yang tidak mengetahui kiblat. Dia boleh berijtihad untuk menentukannya, meskipun pada hakikatnya dia keliru. Ini kerana Allah Ta’ala tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. 

Oleh sebab Rasulullah saw sangat mengharapkan akan turun wahyu yang memerintahkan Baginda menghadap ke Kaabah, maka akhirnya Allah Ta’ala mengabulkan doa baginda.  

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan orang-orang Yahudi dan Nasrani mengetahui bahawa pertukaran arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram dan pengutusan Rasul akhir zaman itu adalah benar. Namun mereka mengingkari hal tersebut semata-mata kerana kedengkian, kekufuran dan kedegilan mereka dan bertujuan untuk meragukan pemikiran orang-orang yang lemah imannya. 

Ayat 145

وَلَئِنْ أَتَيْتَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ بِكُلِّ ءَايَةٍ مَّا تَبِعُوا۟ قِبْلَتَكَ ۚ وَمَآ أَنتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ ۚ وَمَا بَعْضُهُم بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ ۚ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala membongkarkan tentang kekufuran, keingkaran dan penentangan orang-orang Yahudi terhadap Rasulullah saw. Sekiranya Baginda mengemukakan semua dalil yang menunjukkan kebenaran apa yang Baginda bawa, nescaya mereka tetap tidak akan mengikutinya dan tetap akan menuruti hawa nafsu mereka. FirmanNya: 

“Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat (hukuman) Rabbmu, tidaklah akan beriman. Meskipun datang kepada mereka pelbagai keterangan, sehingga mereka menyaksikan azab yang pedih.” 

Yunus 10:96-97 

Ayat ini juga merupakan pernyataan tentang kesungguhan dan keteguhan hati Rasulullah saw dalam mengikuti apa yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala. Baginda tidak pernah mengikuti hawa nafsu ahli kitab dalam segala hal. 

Keengganan ahli kitab untuk mengikut kiblat bukan kerana kejahilan tetapi kerana kedegilan. Allah Ta’ala menjelaskan kedegilan mereka terhadap isu kiblat sehingga mereka tidak menerima semua dalil yang menjelaskan kebenaran pertukaran arah kiblat. Ini kerana ayat dan dalil hanyalah berguna kepada orang-orang yang mencari kebenaran. 

Yahudi dan Nasrani masing-masing enggan mengikuti kiblat pihak yang lain apatah lagi untuk berharap yang mereka akan mengikuti kiblat Rasulullah saw. Firman Allah: 

“Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, dan mereka berasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surah itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafiran (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.” 

At-Taubah 9:124-125 

Ayat ini juga merupakan ancaman bagi orang-orang yang lebih mengutamakan keredhaan manusia daripada keredhaan Allah Ta’ala.