Surah 2: Al-Baqarah (139 – 141)

Perdebatan Orang Musyrik tentang Pemasalahan Tauhid 

Surah 2: Al-Baqarah (139 – 141) 


Ayat 139

قُلْ أَتُحَآجُّونَنَا فِى ٱللَّهِ وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ وَلَنَآ أَعْمَـٰلُنَا وَلَكُمْ أَعْمَـٰلُكُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُخْلِصُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya ? Padahal Dia-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengingkari (membantah) orang-orang Yahudi atas perdebatan mereka terhadap agama-Nya kerana mengaku merekalah paling dekat dengan-Nya berbanding Baginda dan orang-orang beriman.  

Ini kerana orang-orang Yahudi telah berdebat dengan Rasulullah saw tentang Allah Swt, ketulusan ibadah dan tunduk patuh kepada-Nya, mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Padahal Allah yang berhak diibadahi dengan sebenar-benarnya dan sesungguhnya tiada sekutu bagi-Nya. Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan agar Baginda menghentikan perdebatan tersebut setelah kebenaran telah disampaikan. 

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw berlepas diri daripada orang-orang musyrik atas apa yang mereka sembah dan demikian pula mereka berlepas diri daripada Baginda. Hanya kepada-Nya sahaja Baginda dan orang-orang beriman mengikhlaskan hati dalam beribadah kepada-Nya. 

Ayat 140

أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطَ كَانُوا۟ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ ۗ قُلْ ءَأَنتُمْ أَعْلَمُ أَمِ ٱللَّهُ ۗ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَـٰدَةً عِندَهُۥ مِنَ ٱللَّهِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

Allah Ta’ala membantah dakwaan ahli kitab yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim as dan nabi-nabi selepasnya serta anak cucu mereka beragama Yahudi atau Nasrani, sedangkan mereka sama sekali bukan beragama Yahudi atau Nasrani. Apa yang mereka dakwakan itu adalah dusta belaka. Allah Ta’ala menjelaskan hal ini dalam firman-Nya: 

“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik.” 

Ali ‘Imran 3:67 

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang menutupi kesaksian daripada Allah Ta’ala iaitu kesaksian bahawa Nabi Ibrahim as dan Nabi Yaakub as adalah hanif dan muslim (berserah diri kepada Allah) serta bukan Yahudi atau Nasrani. Ini kerana terdapat kesaksian Allah Ta’ala dalam kitab mereka yang mengatakan bahawa Dia akan mengutus seorang nabi berserta keterangan tentang sifat-sifatnya. 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt mengatakan bahawa Dia akan menghitung semua amal yang mereka kerjakan dan akan memberikan balasan terhadap mereka. 

Ayat 141

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْـَٔلُونَ عَمَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

Ayat ini sama dengan ayat 134 dalam surah ini. Allah Ta’ala mengulanginya lagi sebagai peringatan kepada Bani Israil agar tidak berbangga dengan nasab atau keturunan nenek moyang mereka. Ini kerana nasab dan keturunan bukanlah satu kemuliaan dan ia tidak dapat memberi manfaat sekiranya mereka tidak beriman kepada Allah Ta’ala. 

Orang-orang terdahulu akan mendapat ganjaran atas perbuatan mereka. Begitu juga dengan orang-orang yang masih hidup sekarang ini akan diberikan balasan mengikut amalan mereka. Mereka tidak akan ditanya tentang tindakan orang lain dan juga tidak diberikan ganjaran atas amal perbuatan orang lain.